Pulau Pinang, Malaysia/Quezon City, Filipina. Dua pertubuhan masyarakat sivil dari Malaysia dan Filipina menggesa 10 negara ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mengisytiharkan seluruh rantau ini sebagai “zon larangan masuk” bagi sisa berbahaya dan sisa lain termasuk sisa isirumah dan sampah plastik.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan EcoWaste Coalition bersama-sama menggesa dasar di peringkat ASEAN yang lebih mantap yang akan melindungi penduduk seramai 655 juta orang di rantau yang kaya dengan biodiversiti dan ekosistem yang kini semakin terancam akibat lambakan sisa global.
Rayuan pertubuhan-pertubuhan ini terhadap dasar serantau untuk mencegah lambakan sisa import timbul daripada anugerah berprestij Asia Environmental Enforcement Awards (AEEA) yang diberikan hari ini kepada penerima dari Malaysia dan Filipina sebagai menghargai dan mengakui kerja mereka dalam memerangi jenayah alam sekitar rentas sempadan yang telah membawa kepada pengeksportan semula sisa plastik yang diimport secara haram ke negara asal mereka.
“Anugerah AEEA kepada agensi penguatkuasa di Malaysia dan Filipina sekali lagi memberikan tumpuan kepada pergerakan sisa haram di Asia dan menekankan perlunya kerjasama yang lebih besar dan kewaspadaan oleh negara dan serantau untuk membendung jenayah alam sekitar”, kata Mageswari Sangaralingam, Pegawai Penyelidik CAP.
“Untuk melindungi rantau ini daripada kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar daripada perdagangan sisa, semua negara ahli ASEAN perlu segera meratifikasi Basel Convention Ban Amendment (BCBA) dan membaiki kelemahan dalam peraturan jika ada yang “menghalalkan” kemasukan sisa berbahaya dan sisa lain yang menyamar sebagai skrap kitar semula. Di peringkat serantau, kami menggesa ASEAN untuk menggunapakai deklarasi, atau lebih baik perjanjian, yang mengisytiharkan rantau ini sebagai zon larangan masuk bagi sisa asing,” kata Aileen Lucero, Koordinator Nasional, EcoWaste Coalition.
“Kini tiba masanya bagi ASEAN untuk bertegas sebagai blok serantau untuk mengecam lambakan sisa global dan mengukuhkan kesatuan untuk melindungi penduduk dan alam sekitar rantau ini daripada ancaman dan bahaya perdagangan sisa,” kata Chinkie Pelino-Golle, Koordinator Serantau, International Pollutants Elimination Network – Southeast and East Asia (IPEN-SEA).
Brunai, sebagai Pengerusi ASEAN 2021, seharusnya menggunakan pengaruh positif untuk mempromosikan ratifikasi Basel Convention Ban Amendment oleh negara di rantau ini, kata pertubuhan-pertubuhan tersebut. Hingga ke tarikh ini, hanya Brunai, Indonesia dan Malaysia dari rantau Asia Tenggara telah meratifikasi pindaan pengharaman semua eksport sisa berbahaya dari negara maju ke negara membangun. Pindaan itu mula berkuatkuasa sejak 5 Disember 2019.
Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar Malaysia mendapat anugerah itu bagi tindakan yang diambil untuk memulangkan semula 200 kontena sisa plastik import haram ke negara pengeksport, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Kanada, dan kerana menutup kilang kitar semula plastik haram di negara ini.
Pemungut Daerah Biro Kastam di Mindanao Utara, John Simon dianugerah bagi rampasan dan penghantaran balik sisa haram dari Korea Selatan berjumlah 364 kontena yang dideklarasi secara salah sebagai “kepingan sintetik plastik”, yang sebenarnya sisa campuran tercemar. Pada 19 Januari lepas, EcoWaste Coalition telah menganugerahkan Simon dengan anugerah pertama pertubuhan tersebut iaitu “Environmental Justice Awards” untuk prestasi yang sama.
AEEA mengiktiraf pencapaian cemerlang oleh pertubuhan awam dan individu di Asia untuk memerangi jenayah alam sekitar rentas sempadan.
Anugerah itu dipilih oleh jawatankuasa pemilih yang terdiri daripada Program Alam Sekitar PBB (UNEP), Program Pembangunan PBB (UNDP), Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Sekretariat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Flora dan Fauna Liar (CITES), Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (ICPO), dan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO).
Nota:
1. Pindaan kepada Basel Convention on the Control of Transboundary Movements of Hazardous Wastes and their Disposal yang dikenali sebagai Basel Convention Ban Amendment, diguna pakai pada 1995 dan yang mula berkuatkuasa pada 2019, melarang semua eksport sisa berbahaya dari negara maju ke negara membangun bagi sebarang alasan seperti guna semula, kitar semula, pelupusan atau operasi pemulihan.
2. Antara 10 negara ahli ASEAN hanya Brunai, Indonesia dan Malaysia telah meratifikasi Basel Convention Ban Amendment setakat ini.
Siaran Akhbar, 18 Februari 2021