Perubahan dan Pengawasan Berhubung Pinjaman Koperasi Telah Lama Tertunda

 Kami merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 10 Jun 2019 yang menyatakan bahawa ia akan menyiasat dakwaan koperasi tertentu yang terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman dan memalsukan penyata gaji kakitangan awam dan pekerja syarikat berkaitan kerajaan.

Penipuan pinjaman yang didakwa itu melibatkan Pergerakan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) dan pelbagai koperasi persendirian, mendapat perhatian dan pada masa kini sedang disiasat, demikian mengikut laporan The Star, 8 Jun 2019. Laporan penipuan itu juga melibatkan bayaran pinjaman hanya 50% daripada jumlah yang dimohon oleh kakitangan awam dengan kad ATM mereka juga turut dirampas.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mendedahkan masalah penipuan pinjaman di bawah skim potongan gaji ANGKASA sejak 30 tahun lepas. Kami telah menerima banyak aduan mengenai kadar faedah yang berlebihan dan tidak adil yang dikenakan oleh koperasi yang mengendalikan penjualan dan pembelian balik pinjaman. Kami juga mendapat aduan di mana peminjam dipujuk supaya mengambil pinjaman dan diberikan pinjaman yang lebih tinggi berbanding dengan apa yang dipohon oleh mereka.

Walaupun begitu banyak surat dan laporan daripada kami berhubung perkara ini, Kerajaan Persekutuan dan SKM gagal untuk menangani masalah dan melakukan perubahan yang lebih praktikal terhadap sistem pinjaman ini yang akhirnya peminjam menjadi mangsa.

Skim potongan gaji ANGKASA menjadikan kakitangan awam peminjam yang dicari. Apabila kakitangan awam membuat pinjaman, ANGKASA akan memotong bayaran balik pinjaman bulanan daripada gajinya dan diberikan kepada pemberi pinjaman. Dengan membenarkan kakitangan awam menjadi sasaran pemberi pinjaman, kerajaan bersikap tidak adil kepada keluarga mereka. Pinjaman peribadi ini mengakibatkan kesukaran yang sering dibelanjakan ke atas produk pengguna dan bukannya keperluan.

Walaupun perjanjian pinjaman ditandatangani dengan koperasi, wang itu datangnya daripada peminjam wang berlesen. Pihak koperasi bertindak sebagai agen peminjam wang dan menerima komisyen untuk mendapatkan peminjam.

Kerajaan dan SKM perlu melaksanakan pengawasan yang lebih kukuh dan berkesan terhadap “bank bayangan” ini, yang bukannya bank biasa tetapi memberikan pinjaman, serta terhadap koperasi kredit. Kegagalan untuk berbuat demikian menggambarkan ketidakmampuan SKM untuk mengawal dengan berkesan institusi ini yang mendapati kakitangan awam menjadi peminjam yang baik disebabkan oleh ANGKASA.

Apa yang juga diperlukan sebagai langkah segera ialah untuk mengurangkan jumlah potongan gaji yang boleh dijalankan oleh Angkasa kepada satu pertiga daripada gaji bersih. Adalah difahamkan bahawa garis panduan satu pertiga digunakan untuk mengukur sama ada peminjam mampu untuk membuat bayaran bulanan. Dengan dua pertiga gaji yang ada, keluarga itu mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan untuk keperluan.

Kami juga ingin mengingatkan dengan kebimbangan oleh penemuan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Kajian Kestabilan Kewangan (FSR) yang dikeluarkan pada September lepas, sepertimana yang dipetik dalam laporan berita, kakitangan awam membelanjakan lebih daripada separuh gaji bulanan mereka digunakan untuk membayar hutang. Dalam artikel BNM bertajuk “Hutang Kakitangan Awam: Pertimbangan Dasar dan Risiko”, dilaporkan menyatakan paras hutang yang amat tinggi ini lebih ketara bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Kerajaan mestilah memberikan perhatian segera dan membendung putaran ganas hutang isirumah kerana kesannya ke atas ekonomi. Beban hutang keluarga berpendapatan rendah sering mengakibatkan mereka memotong perbelanjaan penting seperti makanan dan kesihatan. Sementara itu, golongan kaya yang memiliki saham dalam institusi pinjaman akan terus menjadi kaya apabila golongan miskin menbuat pinjaman di institusi ini. Hutang ini meningkatkan lagi jurang ketaksamaan pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

 

Surat Kepada Pengarang, 13 Jun 2019