Perubahan iklim dan air: Lindungi hutan dan kurangkan kehilangan air

SAM berasa amat gusar tentang berita yang melaporkan tentang kejatuhan teruk paras air di empangan-empangan di Pulau Pinang dan Kedah lewat dua bulan ini. Kapasiti paras air di empangan Air Itam dilaporkan kini berada pada kadar 62 peratus, sementara kadar empangan Teluk Bahang pula berada pada 39 peratus. Di Kedah, kadar kapasiti empangan Ahning berada pada kadar kapasiti 62 peratus, empangan Pedu pada kadar 48 peratus, empangan Muda pada kadar 18 peratus, empangan Beris pada kadar 81 peratus dan empangan Malut pada kadar 86 peratus.

Menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), antara September dan Disember 2019, jumlah hujan yang direkodkan di sekitar empangan Air Itam hanyalah 702 mm. Ini cuma 44 peratus dari kadar purata yang direkodkan pada jangkawaktu yang sama antara tahun 2016 dan 2018, yakni, 1,577 mm. Jumlah hujan di sekitar empangan Teluk Bahang untuk empat bulan terakhir 2019 pula adalah 1,732 mm, cuma 56 peratus dari kadar purata bagi jangkawaktu yang sama dari 2016 ke 2018, yakni, 2,101 mm.

Makanya, kami amat bersetuju dengan penilaian yang telah dilakukan oleh ketua pegawai eksekutif PBAPP, bahawa taburan hujan yang rendah di Pulau Pinang di dalam empat bulan terakhir tahun 2019, sememangnya berkaitan dengan perubahan iklim. Hari ini, kita harus menerima hakikat bahawa perubahan iklim adalah keadaan normal yang baru.

Disebabkan oleh perkembangan bencana sedunia ini yang berpunca dari perbuatan manusia sendiri, pendekatan yang lebih berintegrasi di dalam pengurusan sumber air tidak boleh lagi dipandang ringan oleh kerajaan persekutuan dan negeri-negeri. Walaupun kami mengalu-alukan seruan untuk para pengguna untuk tidak membazirkan air, untuk menangani hakikat keadaan normal yang baru ini, tindakan-tindakan dasar dan kepemerintahan yang sewajarnya tetap memainkan peranan yang utama.

Tindakan yang paling mudah dan berkesan dari segi kos yang wajib diambil pada kadar yang segera kini adalah pemuliharaan sumber alam di puncanya sendiri. Kami bersetuju dengan pandangan pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), YB Charles Santiago, supaya kawasan tadahan air diwartakan sepenuhnya supaya ekosistem mereka tidak akan terganggu.

Di Semenanjung Malaysia, subsekyen 10(1) Akta Perhutanan Negara 1984 telah memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk mewartakan hutan tadahan air di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK). Namun, berdasarkan data yang kami temui setakat 2015, cuma 734,731 hektar HSK sahaja yang telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air. Keluasan keseluruhan HSK pada tahun 2015 dan 2018 masih lagi sama, yakni, 4.8 juta hektar. Hari ini, 3 juta hektar dari keseluruhan HSK ini telah dikhususkan sebagai hutan pengeluaran, yakni untuk aktiviti seperti pembalakan dan perladangan.

Kedua, Malaysia juga mempunyai keperluan segera untuk menghentikan kadar tinggi kehilangan airnya, atau non-revenue water (NRW). NRW adalah jumlah air yang telah dirawat yang telah mengalir ke dalam sistem bekalan air, tetapi telah gagal untuk memberikan sebarang pulangan. Ini adalah air yang telang hilang melalui kebocoran paip, tekanan sistem, ketidakberkesanan meter dan pengebilan, serta kecurian.

Untuk lebih dari dua dekad, adalah menjadi perkara biasa apabila kadar NRW kebangsaan tahunan kita gagal diturunkan di bawah kadar 30 peratus, walaupun berjuta-juta ringgit telah diperuntukkan untuk mengatasi masalah ini. Menurut SPAN, kadar NRW pada tahun 2017 masih lagi berada pada paras 35 peratus, satu kadar yang menurut kami amat tidak wajar. Walaupun Pulau Pinang berjaya mengawal kadar NRWnya pada paras yang lebih rendah dari kadar kebangsaan, yakni setakat 22 peratus, Kedah telah hilang hampir separuh dari bekalan airnya pada tahun yang sama. Sebenarnya, lima kadar NRW yang paling tinggi pada tahun 2017 di Malaysia dipegang oleh Kedah (48 peratus), Kelantan (49 peratus), Pahang (48 peratus), Perlis (63 peratus) dan Sabah (54 peratus). Perkara seperti ini tidak boleh diterima sama sekali. Malah, ianya sebenarnya amat berbahaya, memandangkan masa hadapan yang bakal kita lalui.

Oleh itu, di saat ini di mana kesan-kesan perubahan iklim telah mula kita rasai, SAM menyeru agar segala tindakan yang diambil oleh kerajaan persekutuan dan negeri-negeri bagi memastikan pengurusan sumber air yang lestari, wajib dipertingkatkan dan diintegrasi dengan cara yang lebih menyeluruh. Mempertingkatkan usaha pemuliharaan sumber alam di tingkat puncanya, dengan mewartakan dengan segera kesemua hutan tadahan air untuk memberikan mereka perlindungan perundangan, dan mengurangkan kadar NRW kita, adalah dua buah tindakan terawal yang paling mudah yang boleh diambil oleh pihak berkuasa hari ini. Sementara itu, usaha-usaha agensi seperti SPAN mesti disokong secara sepenuhnya untuk mempertingkatkan perlindungan sumber-sumber air negara dan menjamin mutu sumber air kita.

Kita sudah menerima amaran yang cukup tentang bagaimana sumber air negara hari ini begitu terdedah kepada keadaan yang sangat genting. Kita wajib mengambil tindakan yang wajar, sebelum waktu menjadi terlewat dan keadaan menjadi lebih berbahaya.

 

Kenyataan Media, Januari 20, 2020