
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) amat terkejut dan bimbang dengan satu lagi tragedi yang berlaku di kawasan Tanjung Bungah berdekatan Hotel Lost Paradise yang meragut empat nyawa.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyatakan dalam kenyataan akhbarnya bahawa tragedi yang berlaku itu adalah akibat daripada tembok penahan yang sedang dalam pembinaan di kawasan itu tidak mempunyai sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa.
Amat mengejutkan bahawa tiada kelulusan daripada MBPP bagi pembinaan tembok penahan diperolehi oleh pemilik yang membenarkan kerja tanah, yang dilakukan sehingga lewat malam.
Jelas sekali, tiada pengajaran yang diambil daripada tragedi tanah runtuh Granito yang berlaku pada 21 Oktober 2017.
SAM dan TBRA menggesa siasatan segera oleh pihak berkuasa Negeri Pulau Pinang termasuk MBPP berhubung tragedi ini, dan tidak hanya menganggapnya sebagai satu lagi insiden di tempat kerja.
Pemilik yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini mestilah diambil tindakan kerana melanggar undang-undang dan tindakan tegas mestilah diambil dengan denda yang berat dikenakan tidak seperti dalam kes Granito di mana kontraktor hanya dikenakan denda RM35,000.
Apa yang jelas daripada tragedi ini ialah bagi pihak berkuasa terutama sekali MBPP untuk mengambil langkah proaktif dengan memantau dan memeriksa semua aktiviti kerja tanah di bahagian pulau terutama sekali di kawasan yang terdedah kepada hakisan seperti di Tanjung Bungah, Batu Feringgi dan Teluk Bahang serta di bahagian lain Pulau Pinang.
Kami juga menggesa pihak berkuasa yang berkenaan memastikan jalan berdekatan dengan tempat kejadian adalah selamat untuk digunakan.
MBPP mestilah tidak menunggu aduan atau tragedi berlaku sebelum mengambil tindakan, apabila tugasnya adalah terikat untuk memastikan undang-undang dipatuhi. Jika tidak lebih banyak lagi nyawa akan hilang begitu saja.
Siaran Akhbar, 26 Jun 2019