Bayangkan anda pertama kali ingin berkunjung ke Pulau Pinang. Pintu masuk ke negeri ini sangat penting – sama ada melalui lapangan terbang, jambatan pertama, jambatan kedua, terowong bawah laut atau FERI.
Anda sudah kepenatan dan pasti ingin segera sampai ke destinasi. Pintu masuk selain feri adalah lebih pantas.
Tetapi feri memberikan kesan yang berkekalan, dan ia merupakan cinta pandang pertama ketika kali pertama saya datang ke Pulau Pinang ketika muda. Bagi saya perjalanan ke sini sama penting dengan destinasi yang dituju. Feri yang ada kelihatan sangat cantik dengan nama pulau yang berbeza. Adakah saya akan sampai di Pulau Pinang? Feri mempunyai nama pulau-pulau lain kecuali Pulau Pinang. Teka-teki ini kekal di ingatan saya sebagai kenangan yang indah.
Feri memberikan perjalanan yang sempurna. Anda boleh melintasi laut dengan kereta di atas feri. Anda memakir kereta, kemudian anda menikmati apa yang anda lihat dan rasa. Angin laut yang bertiup mampu menghilangkan keletihan anda.
Bertuahnya saya dapat melihat seluruh bahagian pulau negeri ini dan juga tanah seberang. Ia merupakan pemandangan 360 darjah. Jeti, menara jam Kastam, menara jam bangunan Yeap Chor Ee, dan bangunan lain dengan berlatarbelakangkan bukit-bukau yang menghijau. Banyak banyak bot dan kapal berada di tengah laut. Apabila feri perlahan-lahan bergerak ke arah bandar, anda melihatnya dengan lebih dekat dan menyeluruh. Pergerakan feri yang perlahan memberi ruang kepada anda untuk menikmati saat itu.
Dan dengarlah bunyi ombak menghempas.
Mampukah pintu masuk yang lain memberikan pemandangan dan bunyi yang indah ini?
Dan membuatkan anda jatuh cinta pada Pulau Pinang? Memang benar pengangkutan lain lebih pantas … terutama terowong bawah laut di mana anda tidak nampak suatu apa pun!
Kehidupan bukanlah satu destinasi tetapi satu perjalanan. Kini saya masih tinggal di Pulau Pinang dan mencintai tempat ini.
Dan mampukah pengangkutan baharu memberikan perjalanan yang menyenangkan sama seperti feri? Ia mungkin tidak mengangkut kereta dan mempunyai tingkap berkaca, yang membatasi anda daripada menikmati pemandangan secara terus dan hubungan terbuka dengan laut, kecuali anda berada di atas dek yang terbuka?