PSR: Tunggu keputusan rayuan nelayan

Sahabat Alam Malaysia terkejut membaca laporan media yang memetik Gamuda Bhd bahawa projek Penambakan Laut di Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation – PSR) akan dimulakan pada 1 Julai 2023. Ini adalah kerana rayuan nelayan-nelayan belum lagi didengar dan diputuskan secara muktamad.

Pada 25 Mei 2023, Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara), Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan dan Zakaria Ismail bagi pihak Unit Nelayan Sungai Batu telah memfailkan notis-notis rayuan mereka kepada Lembaga Rayuan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Lembaga Rayuan) 2003 dalam mencabar kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang berjudul ‘The Proposed Reclamation and Dredging Works For the Penang South Reclamation (PSR)’  (Revision 03) bertarikh Mac 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan secara bersyarat laporan EIA tersebut dalam surat bertarikh 11 April 2023 dan kelulusan laporan EIA ini telah diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang pada 26 April 2023.

Kerajaan Negeri seharusnya menunggu keputusan rayuan ini dan menghormati proses undang-undang.  Di samping itu antara syarat kelulusan laporan EIA ini ialah suatu Pelan Pengurusan Alam Sekitar yang lengkap hendaklah dikemukakan dan diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang sebelum sebarang kerja pembangunan projek ini dimulakan.  Kami tidak pasti sama ada laporan ini telah disiapkan dan menerima kelulusan. Pihak penggerak projek perlu mendedahkan kepada awam sama ada kesemua syarat kelulusan laporan EIA ini telah dipenuhi.

Kami kesal bahawa penggerak projek masih berhasrat untuk meneruskan projek ini yang akan membawa impak negatif kepada ekosistem marin, sektor perikanan dan seterusnya rezeki nelayan dan semua yang bergantung kepada kawasan persisiran pantai ini.

Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Sahabat Alam Malaysia

Siaran Media, 23 Jun 2023