Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan Negeri Perak mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ancaman bot pukat Apollo yang dihadapi oleh kira-kira 500 nelayan pantai di Kuala Kurau di sini ketika ini.
Masalah yang berlaku sejak 30 tahun yang lalu itu bukan saja menjejaskan sumber pendapatan nelayan-nelayan pantai di kawasan berkenaan mencecah 70% setiap kali mereka turun ke laut malah turut menyebabkan sumber perikanan di perairan ini semakin pupus.
Bot-bot pukat apollo tersebut sering menceroboh kawasan tangkapan nelayan pantai di kawasan ini pada jarak antara 1 batu nautika hingga 2 batu nautika dari pantai. Nelayan-nelayan pukat apollo itu menangkap berbagai jenis hidupan laut termasuk anak-anak ikan dan anak ketam yang kecil untuk dijadikan baja.
Nelayan-nelayan bot pukat apollo ini beroperasi pada waktu malam dari jam 6.00 petang hingga 6.00 pagi keesokan hari. Sebuah bot pukat apollo memerangkap dan membunuh 200kg hingga 300kg anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi seperti gelama, bawal, senangin dan juga anak ketam
CAP mendapati anak ketam yang boleh membesar empat ekor satu kilogram, tetapi sekarang telah ditangkap oleh nelayan-nelayan bot pukat apollo ini berjumlah 15 ekor satu kilogram.
Masalah pencerobohan bot pukat apollo serta kesannya ke atas sumber perikanan dan kehidupan nelayan-nelayan pantai di kawasan Kuala Kurau telah beberapa kali dilaporkan oleh nelayan terbabit kepada APMM dan Jabatan Perikanan di sini namun tidak ada tindakan berkesan yang diambil.
CAP kesal dengan kejadian yang berlaku ini dan jika dibiarkan sumber laut akan mengalami kepupusan dan kehidupan nelayan pantai di sini akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.
Sehubungan itu CAP berharap pihak berkenaan menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan. CAP juga meminta Jabatan Perikanan menarik balik lesen pukat kenka dua bot yang diberikan kepada nelayan-nelayan Perak yang menggunakan pukat apollo ketika menjalankan operasi mereka.
Kenyataan Media, 14 Januari 2016