Pulangkan sisa radioaktif Lynas ke Australia

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM)  mengalu-alukan langkah kerajaan Malaysia yang tidak tunduk kepada tekanan Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk membatalkan syarat kelulusan lesen operasi  pada tahun 2020. Syarat yang paling penting adalah  mengenai peralihan proses retakan dan larut lesap (cracking & leaching) yang melibatkan bahan radioaktif ke luar Malaysia.

Dalam satu kenyataan media semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih-Kang mengesahkan syarat awal Lynas mesti berhenti mengimport dan memproses pekatan lanthanid selepas Julai 2023 dikekalkan. Ini bermakna Lynas hanya boleh menapis bahan tersebut di kilang Gebeng. Proses “cracking & leaching” pekatan lantanida tidak boleh dilakukan di sini.

Pembaharuan lesen tiga tahun yang diberikan kepada Lynas pada tahun 2020 juga memberi syarat kepada Lynas untuk membangunkan kemudahan pelupusan kekal (permanent disposal facility – PDF) untuk sisa radioaktifnya, dan tidak lagi mengimport bahan pekatan lanthanid ke Malaysia mulai Julai 2023.

Dalam semua tahun operasi ini, Lynas masih belum menyediakan PDF untuk sisa daripada proses Water Leach Purification (WLP) yang mengandungi sisa radioaktif termasuk torium dan uranium. Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling  (EIA) untuk PDF di Gebeng yang diluluskan pada Disember 2021 oleh Jabatan Alam Sekitar telah menimbulkan kebimbangan sehubungan kesesuaian tapak dari segi keselamatan dan alam sekitar kerana ia terletak di kawasan banjir dan paya gambut. Kelulusan EIA tersebut kini dicabar oleh rakyat yang prihatin.

Pada pendapat kami, mana-mana tapak yang dipilih untuk PDF adalah bermasalah terutamanya kerana kebimbangan sama ada sisa radioaktif boleh dilupuskan dengan selamat kerana ia adalah radioaktif selama ratusan tahun atau berabad-abad. Sisa WLP mengandungi radionuklid torium yang aktif selama 14 bilion tahun.

Kita tidak boleh mengabaikan kesan buruk sinaran radiasi tahap rendah. Pendedahan kepada tahap radiasi yang rendah mungkin tidak menyebabkan masalah kesihatan serta-merta tetapi tetap berbahaya kerana dalam jangka panjang ia boleh menyumbang kepada risiko kanser secara keseluruhan.

Kami kecewa kerana kerajaan Malaysia tidak memutuskan untuk mengalihkan sisa radioaktif tersebut ke Australia, di mana sisa itu boleh disimpan di kawasan separa gersang dan terpencil di tapak Mount Weld, dari mana bahan mentah untuk kilang Lynas adalah dilombong.

Kerajaan Malaysia harus berurusan dengan kerajaan Australia mengenai pengendalian dan pengangkutan selamat sisa radioaktif ini kembali ke Australia menurut konvensyen antarabangsa yang berkaitan kerana sisa radioaktif tidak berada di bawah skop Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya.

Kita seharusnya tidak lagi memikul beban menyimpan sisa radioaktif untuk beberapa generasi akan datang.

Kerajaan harus kekal teguh dengan keputusannya dan memastikan Lynas tidak menjalankan sebarang proses yang menjana sisa radioaktif dan memastikan apa yang telah dihasilkan oleh Lynas setakat ini dikembalikan ke Australia.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden, Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat, Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Kenyataan Media,16 Februari 2023