Pulau Pinang Mengutamakan Kereta – Pokok Menjadi Korban

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat marah dengan projek melebarkan jalan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang melibatkan pemindahan 16 pokok di tepi jalan di Jalan Masjid Negeri. Kami sekali lagi mengulangi bantahan terhadap “hukuman mati” yang dikenakan ke atas pokok-pokok ini.

Pokok merupakan salah satu aset semula jadi paling bernilai dalam mana-mana landskap jalan raya. Imej ikonik Pulau Pinang adalah barisan pokok di sepanjang jalan. Memindahkannya bermakna membuang kecantikan dan ciri-ciri landskap Pulau Pinang. Bagaimanapun, MBPP nampaknya tidak memedulikan pokok-pokok di tepi jalan ini.

Daripada 16 pokok yang akan dipindahkan di sebahagian Jalan Masjid Negeri, MBPP sudah pun menjatuhkan hukuman mati kepada sekurang-kurangnya tiga daripadanya memandangkan ia dijangka mempunyai 80 peratus peluang untuk hidup selepas dipindahkan. Adakah ini masa depan bagi Pulau Pinang yang MBPP dan Kerajaan Negeri bayangkan – lebih banyak kereta, lebih banyak jalan dan tiada pokok?

Pokok yang mantap iaitu yang telah ditanam sejak tiga tahun atau lebih, mempunyai akar yang menjalar dan berkembang dengan baik. Tidak mengira saiz atau usia pokok, memindahkannya dan mencantas akarnya ketika pemindahan akan memberikan kesan perubahan psikologi kepadanya.

Kami tidak senang hati memikirkan tekanan yang terpaksa dihadapi oleh pokok-pokok tersebut semasa pemindahan dan ditempatkan di kawasan yang baharu. Kenapa menyeksa pokok-pokok ini apabila penyelesaiannya begitu mudah sekali – jangan lebarkan jalan.

Pembangunan yang memfokuskan kereta yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri mempunyai implikasi yang amat besar ke atas alam sekitar, kesihatan awam dan peningkatan jejak karbon. Kita memerlukan perubahan transformatif iaitu daripada pertumbuhan berorientasikan kereta kepada mobiliti rendah karbon.

Di samping tidak menyelesaikan masalah lalu-lintas di dalam jangka panjang, pengenalan lalu-lintas yang lebih cepat melalui pelebaran jalan ini akan memberikan kesan terutamanya kepada kawasan perumahan, sekolah dan zon komersial di sini. Kebimbangan keselamatan juga muncul memandangkan pejalan kaki menghadapi kesukaran untuk melintas jalan dan pengguna jalan juga mendapati sukar untuk memasuki dan keluar di banyak persimpangan.

Jejantas pejalan kaki berdekatan Sekolah Penang Free juga tidak praktikal. Kita sering boleh melihat pejalan kaki melintas jalan dengan risiko nyawa mereka daripada menggunakan jejantas.

Pokok mampu mempertingkatkan kualiti hidup kita. Kehilangan aset semula jadi ini daripada tepi jalan tidak dapat dibayangkan. Kami amat terkejut terhadap sikap tidak peduli yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa dan khalayak ramai yang terus berdiam diri ke atas penebangan pokok-pokok dan pemusnahan bukit-bukau di Pulau Pinang.

Kami menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MBPP berpegang teguh dengan cogan kata “Hijau” mereka.

Jangan pindahkan pokok. Biarkan di tempatnya.

 

Kenyataan Akhbar, 8 Ogos 2016