Rasuah Menggugat Keselamatan Malaysia: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kelemahan  institusi dalam Kementerian Pertahanan (MOD) yang membolehkan berlakunya rasuah dan mengancam keselamatan dan kedaulatan negara

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal perolehan senjata oleh Kementerian Pertahanan (MOD) yang menjangkau tempoh 40 tahun. RCI tersebut harus membuat cadangan untuk mekanisme tadbir urus dan pengawasan yang lebih berkesan bagi menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa di Kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan. Kelemahan serius dalam Kementerian Pertahanan memberikan kesan buruk kepada keselamatan negara kita dan menimbulkan ancaman dalaman kepada kedaulatan kita. Isu ini adalah lebih mendesak pada masa kini memandangkan ketegangan keselamatan di Laut Cina Selatan dan penyusunan semula kuasa politik di rantau ini.

Kami amat mengalu-alukan pengumuman oleh Perdana Menteri baru-baru ini untuk menyah-klasifikasikan laporan rahsia mengenai perolehan tentera bagi membolehkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang mendakwa mereka yang terlibat dalam amalan rasuah ini. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatannya kepada Peguam Negara berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS). Beliau mestilah bertindak dengan segera untuk membawa mereka yang terlibat dalam amalan rasuah ini, tanpa mengira status dan pangkat mereka, ke muka pengadilan, dan dengan itu akan mengukuhkan lagi keyakinan rakyat kita terhadap proses kehakiman.

Sejak 1980-an lagi Kementerian Pertahanan telah terjerumus di dalam skandal pemerolehan yang masih berterusan. Pada 1981, Malaysia membeli 26 unit kereta kebal British Alvis Scorpion. Enjin petrol Rolls-Royce yang disyorkan telah digantikan dengan enjin diesel yang lebih perlahan, dan dengan senjata yang lebih berat. Pengubahsuaian ini menjadikan kereta kebal itu lebih berat dan perlahan, menjadi sasaran mudah dalam sebarang keadaan. Ia telah dilupuskan pada 2018 dengan berlakunya pertukaran kerajaan. Sejumlah 186 kapal pengangkut tentera berperisai SIBMAS yang dibeli oleh Malaysia pada 1983 didapati kurang keberkesanannya pertempuran.

Malaysia juga telah membeli 18 buah jet pejuang Sukhoi Su-30MKM buatan Rusia, menerima penghantaran tiga jet pejuang itu pada 2007 dan selebihnya pada 2009. Perjanjian itu, bernilai RM3.2 bilion, dibuat melalui syarikat negara Rusia yang wakil tempatannya adalah sebuah syarikat yang diketuai oleh bekas Menteri Persekutuan dan Ketua Menteri Melaka. Syarikat tempatan itu dibayar 12 peratus daripada harga pembelian yang berjumlah RM380 juta. Menjelang 2018, kebanyakan daripada jet pejuang ini menjadi tidak boleh diservis. Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa hanya empat daripada 28 jet pejuang Rusia ini yang mampu terbang. Selebihnya sedang dalam pembaikan dan Kementerian Pertahanan telah menamatkan khidmat kontraktor yang nampaknya gagal untuk mengekalkan jet pejuang itu dalam keadaan yang layak untuk terbang.

Pada 2002, Kementerian Pertahanan telah berunding melalui sebuah syarikat tempatan Perimekar Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk membeli dua buah kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta terpakai keluaran kerajaan Perancis pada harga RM4.5 bilion. Perimekar, yang dimiliki oleh rakan rapat Menteri Pertahanan ketika itu, dibayar komisen yang sangat besar iaitu sebanyak RM510 juta, sebelas peratus daripada harga pembelian kapal selam itu.  Laporan berita telah menyerlahkan bagaimana kapal selam ini telah dibelenggu oleh isu prestasi yang menimbulkan keraguan tentang keberkesanan ketenteraan mereka.

Pada 2004, PSC-Naval Dockyard, yang dimiliki oleh seorang kroni menteri, telah diberikan kontrak untuk menghantar enam bot peronda untuk Tentera Laut Malaysia. Dua buah bot telah dihantar pada tahun 2006 yang mana tidak beroperasi sepenuhnya. Menjelang 2007, kos asal RM5.35 bilion meningkat kepada RM6.75 bilion, peningkatan 26%. Ketua Audit Negara melaporkan bahawa pihak kementerian telah membayar RM4.26 bilion walaupun hanya RM2.87 bilion kerja telah disiapkan, lebihan bayaran sebanyak 48%. Kabinet juga mengetepikan penalti lewat sebanyak RM214 juta, menimbulkan syak wasangka menutupi isu ini. Syarikat swasta yang dibelenggu hutang itu akhirnya diambil alih oleh Boustead Holdings. Satu lagi usaha untuk menyelamatkan kroni yang berkaitan dengan politik.

Pada bulan lepas, satu lagi skandal meletup dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), selepas dua tahun siasatan, mengenai pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS). Jawatankuasa itu mendapati Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesyorkan pembelian enam buah kapal Sigma LCS buatan Belanda tetapi Kementerian Pertahanan memilih Govind LCS buatan Perancis tanpa merujuk kepada TLDM sebagai pengguna akhir.

Pada 2014, satu kontrak telah ditandatangani dengan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) untuk membina LCS buatan Perancis dengan kos RM9 bilion. Kapal pertama akan dihantar pada April 2015 dan baki lima lagi akan dihantar pada selang enam bulan sehingga 2023. Walaupun lebih RM6 bilion telah dibayar untuk projek itu, tidak ada satu kapal pun yang telah dihantar. Majlis pelancaran yang memperdaya juga telah diadakan untuk kapal yang diberi nama Maharaja Lela walaupun kapal itu masih belum siap lagi.  Penipuan ini telah menimbulkan rasa malu kepada Sultan Perak yang telah bermurah hati merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Semua skandal yang diketengahkan di atas menunjukkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan dalam perolehan perkakasan dan sistem keselamatan bukan sekadar kes ‘epal buruk’ tetapi masalah sistemik dalam kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan. Ia mempersoalkan integriti institusi keseluruhan pemerolehan dan proses pengurusan keselamatan. Dan ia secara serius menjejaskan keberkesanan dan kesediaan berperang pasukan keselamatan kita dalam melindungi negara kita.

Berikutan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengenai LCS, terdapat beberapa panggilan untuk RCI skandal LCS. Siasatan itu tidak seharusnya terhad kepada penyalahgunaan dalam satu skandal tertentu ini tetapi mesti meneliti kelemahan institusi dalam Kementerian Pertahanan yang membolehkan amalan rasuah dan salah guna kuasa berulang sejak beberapa dekad yang lalu. Malaysia telah membelanjakan dan masih belanja berbilion Ringgit wang awam untuk membeli senjata dan peralatan keselamatan yang canggih tetapi dengan hasil yang buruk untuk melindungi keselamatan negara kita.

Hubungan sumbang antara ejen tempatan yang berkaitan dengan politik dan pengeluar senjata asing serta Kementerian Pertahanan mesti ditamatkan dengan segera. Satu artikel dalam Foreign Policy in Focus mendedahkan “banyak pengeluar senjata asing umumnya menggunakan rakyat Malaysia yang mempunyai hubungan baik sebagai pelobi mereka untuk mendapatkan kontrak. Komisen yang dibayar kepada wakil itu dianggarkan antara 10 hingga 20 peratus.” Komisen berjumlah ratusan juta Ringgit ini boleh digunakan untuk membina lebih banyak hospital, sekolah dan kemudahan sosial lain untuk rakyat kita. Komisen ini bertindak sebagai insentif kepada pegawai dan ahli politik yang makan suap untuk mereka membentuk skim jahat untuk mencuri dana awam.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mestilah diucapkan tahniah di atas laporan cemerlangnya mengenai skandal LCS. Peranan aktif Parlimen untuk mencegah penyalah gunaan kuasa oleh pegawai kerajaan dan ahli politik adalah apa yang diseru oleh orang ramai. Langkah penting seterusnya ialah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk segera memulakan proses bagi membanteras barah rasuah yang memusnahkan negara kita.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat kepada Pengarang / Kenyataan Media, 16 Ogos 2022