Kenyataan bersama Sahabat Alam Malaysia dan Greenpeace Malaysia mengenai “International Nuclear Science, Technology and Engineering Conference (iNuSTEC2023) dan “Nuclear Youth Competition 2023 (NYC 2023)”
Baru-baru ini Sahabat Alam Malaysia dan Greenpeace Malaysia telah dijemput sebagai ahli panel untuk sesi dialog di “International Nuclear Science, Technology and Engineering Conference (iNuSTEC2023) yang dianjurkan di Kampus UNITEN Putrajaya pada 10-12 Oktober 2023. Akan tetapi kami telah menolak jemputan tersebut kerana kami tidak melihat sebarang manfaat dalam menghadiri persidangan tersebut kerana ia memberi tumpuan kepada aspek-aspek menyokong tenaga nuklear.
Kami menentang tenaga nuklear atas sebab-sebab berikut:
- Tenaga nuklear adalah tidak selamat. Kajian telah menunjukkan bahawa penduduk yang menetap sekitar loji tenaga nuklear terdedah kepada risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser, leukemia serta kecacatan DNA akibat pendedahan radiasi yang lebih tinggi[1]. Selain itu, sisa nuklear mampu untuk kekal radioaktif untuk beribu tahun dan tidak boleh dilupuskan dengan selamat. Sehingga kini, tiada penyelesaian terbukti wujud untuk menangani sisa radioaktif. Selain itu, loji tenaga nuklear juga terdedah kepada bencana alam, kemalangan, kesilapan manusia serta sabotaj atau serangan pengganas.
- Pelaburan kepada tenaga nuklear merupakan lencongan yang berkos tinggi daripada pembangunan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga serta proses menubuhkan sistem desentralisasi tenaga pada masa hadapan dengan pelepasan karbon yang lebih rendah.
- Daripada kos pembelian uranium, kos pembinaan dan operasi loji tenaga nuklear hingga ke pengurusan sisa nuklear dan penutupan loji tersebut memerlukan kos yang tinggi. Akhirnya, kos tersebut akan ditanggung oleh rakyat dengan membayar setiap kilowatt yang diterjemahkan kepada peningkatan dalam bil elektrik.
- Tenaga nuklear tidak dilihat sebagai tenaga hijau mahupun bersih. Ini kerana bermula dari perlombongan bijih uranium, pengisaran, pembuatan bahan bakar, pembinaan reaktor, pemprosesan bahan bakar terpakai sehingga pelupusan sisa nuklear akan membebaskan gas rumah hijau, zarah radioaktif serta bahan toksik yang akan mencemarkan udara, air dan tanah.
- Tenaga nuklear juga akan menjadikan Malaysia bergantung kepada teknologi asing dan bekalan bahan nuklear dari negara asing[2], seterusnya mempengaruhi keterjaminan industri tenaga. Pelepasan karbon dapat dikurangkan dengan cara yang lebih murah seperti tenaga boleh diperbaharui yang bersih, kecekapan tenaga serta penjimatan tenaga.
Pada 2018, kerajaan Malaysia telah mengumumkan bahawa tenaga nuklear tidak akan digunakan bagi penghasilan tenaga, hal ini kerana kajian sedia ada mengenai tenaga nuklear masih belum menjumpai kaedah yang sesuai bagi menguruskan sisa nuklear dan menangani kesan radiasi sisa tersebut[3].
Oleh yang demikian, tenaga nuklear dilihat sebagai peyelesaian palsu dalam mempercepatkan peralihan tenaga bagi mencapai masa hadapan yang rendah karbon. Industri nuklear mengambil kesempatan dari isu perubahan iklim bagi menghidupkan semula industri yang telah semakin merundum ini. Melalui hujah mereka tenaga nuklear dapat membantu perubahan drastik penurunan pembebasan karbon, namun hakikatnya ia adalah pembaziran masa, wang, serta mempunyai risiko yang tinggi. Selain itu, ia juga boleh membawa kepada penyebaran senjata nuklear kerana majoriti teknologi dan bahan nuklear yang diperlukan untuk program kuasa nuklear sivil juga penting untuk membangunkan program senjata nuklear. Subsidi besar yang diperlukan oleh industri nuklear mengancam untuk menggugat revolusi tenaga boleh diperbaharui yang merupakan penyelesaian sebenar kepada perubahan iklim.
Oleh itu, kami:
- Menentang dengan tegas sebarang kemajuan lanjut dan promosi awam bagi tenaga nuklear yang akan menghalang Malaysia dari mempercepatkan peralihan tenaga dari bahan api fosil ke tenaga boleh diperbaharui yang bersih.
- Menggesa rakyat Malaysia serta semua ahli Parlimen dari kedua-dua belah bahagian politik untuk mendengar kebimbangan rakyat dan tuntutan mereka supaya projek tenaga nuklear harus diberhentikan atas dasar kesihatan dan keselamatan awam, keselamatan tenaga dan ekonomi negara, perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan.
- Menyeru reformasi sebenar dalam sektor tenaga serta mengelakkan penerimaan tenaga nuklear sebagai salah satu penyelesaian. Kami yakin bahawa keperluan sebenar Malaysia dalam sektor tenaga dapat dipenuhi melalui pengurusan keperluan tenaga yang mampan, penjimatan tenaga, kecekapan tenaga serta sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui di negara ini seperti tenaga solar.
Dikeluarkan oleh:
Meenakshi Raman, President, Sahabat Alam Malaysia
Thing Siew Shuen, Senior Programme Manager, Greenpeace Malaysia
Kenyataan Media, 6 Oktober 2023
[1]https://www.greenpeace.org/usa/nuclear-delusions/
[2] https://foe-malaysia.org/articles/stop-nuclear-power-now/
[3] https://www.nst.com.my/news/nation/2018/09/412608/malaysia-wont-use-nuclear-power-says-dr-m-nsttv