Sahabat Alam Malaysia Membantah Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan Negeri Kelantan

Sidang media yg melibatkan empat NGO iaitu SAM, KUASA, Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Pertubuhan Cakna Alam Sekitar Kelantan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan pengubahan bagi Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan, yang melibatkan Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN), tujuh Rancangan Tempatan (RT) dan satu Rancangan Kawasan Khas (RKK)   kerana bercanggah dengan Rancangan Pemajuan / Pelan Perancangan Fizikal di peringkat nasional yang perlu diterjemah, diselaras dan diperincikan di peringkat perancangan wilayah / negeri melalui RSN, RT dan RKK.

Cadangan pengubahan bagi Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan ini tertumpu kepada pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bagi Kali ke 22 2020 yang bersidang pada 21 Oktober 2020 yang telah memutuskan supaya Kawasan Hutan Simpan Kekal kecuali kawasan punca air tadahan air tidak lagi diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar di Negeri Kelantan.

Cadangan pengubahan ini tidak menuruti Seksyen 6B(5), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang menyatakan, adalah menjadi tugas am Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan tiap-tiap Negeri untuk membantu dalam memastikan bahawa matlamat Rancangan Fizikal Negara tercapai.

Berdasarkan Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4), semua kawasan perlindungan yang diwartakan yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) (kelas perlindungan mengikut Seksyen 10(1)(b – l), Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]), Taman Negara dan kawasan melebihi kontur 1,000 meter dari aras laut (sama ada berstatus HSK atau Hutan Tanah Kerajaan) dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1).

Selain pengkelasan Hutan Tadahan Air mengikut Seksyen (10)(1), Akta Perhutanan Negara (Akta 313) di negeri Kelantan, terdapat juga  pengkelasan hutan perlindungan meliputi Hutan Perlindungan Tanah, Hutan Dara (VJR), Hutan Lipur, Hutan Pelajaran, Hutan Penyelidikan dan Hutan Taman Negeri yang dikategori sebagai KSAS Tahap 1.  

Manakala kawasan berkepentingan biodiversiti tetapi tidak diwartakan sebagai kawasan perlindungan yang berstatus Hutan Tanah Kerajaan seperti hutan paya laut, HSK yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran mengikut Seksyen 10(1)(i), Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), Koridor Rangkaian Ekologi ‘Central Forest Spine’ (CFS) dan rizab sungai pula dikategori sebagai KSAS Tahap 2.

Wakil penduduk Orang Asli dari Gua Musang yang terdiri daripada aktivis Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan.

Masih terdapat kawasan berkepentingan biodiversiti terutamanya hutan paya laut di negeri Kelantan khususnya di Jajahan Pasir Puteh.

Terdapat juga beberapa Rangkaian Ekologi CFS di negeri Kelantan khususnya di Jajahan Gua Musang, Jajahan Jeli, Jajahan Machang, Jajahan Pasir Puteh dan Jajahan Kecil Lojing.

SAM mencadangkan supaya Pihak Berkuasa Negeri Kelantan mengekal dan memelihara HSK / zon hutan sedia ada di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) (Akta 313) sebagai KSAS Tahap 1 dan Tahap 2.

SAM juga mencadangkan supaya Pihak Berkuasa Negeri Kelantan mengekal dan memelihara kawasan perlindungan terutamanya Taman Negara sebagai KSAS Tahap 1.

Di samping itu, SAM mencadangkan supaya Pihak Berkuasa Negeri mengekal dan memelihara serta mewartakan sebagai kawasan perlindungan sama ada HSK atau Rizab Tanah Bagi Maksud Awam (Hutan Perlindungan Rekreasi) semua Hutan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 7, Enakmen Perhutanan (Akta 313) atau Seksyen 62(1), Kanun Tanah Negara 1965.

Cadangan tersebut selari dengan salah satu objektif Dasar Perhutanan Negara, matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada tahun 2020 iaitu keluasan HSK di Semenanjung Malaysia mencapai 5 juta hektar daripada keluasan tanah Semenanjung Malaysia dan saranan Kerajaan Persekutuan supaya semua Kerajaan Negeri mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu,

Tanpa perlindungan sebagai KSAS, terdapat risiko besar bagi pengubahan guna tanah untuk pemajuan atau perlombongan yang akan melibatkan pembukaan hutan dan seterusnya kehilangan habitat bagi hidupan liar. Kehilangan hutan dan biodiversiti akan membawa impak negatif kepada komuniti orang asli dan tempatan, selain daripada menyebabkan banjir yang kerap.

Pihak Berkuasa Negeri Kelantan juga perlu memberi perhatian serius dan memperhalusi terhadap dua kenyataan media Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bertarikh 27 dan 28 Oktober 2023 serta surat daripada Menteri yang sama kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan.   

 Kami menggesa Pihak Berkuasa Negeri Kelantan untuk mempertimbangkan semula dan membatalkan cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan Negeri Kelantan yang akan menyingkirkan status KSAS.

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia

Kenyataan Media, 9 November 2023