SAM BANTAH PROJEK PEMBANGUNAN DI KUALA KEDAH MUSNAHKAN PAYA BAKAU

Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah projek pembangunan yang dirancang pelaksanaannya di Kampung Tengku Laksamana dan Kampung Sematang Tepi Laut Kuala Kedah kerana ia memusnahkan hutan paya bakau di kawasan berkenaan.

Projek tersebut juga bakal menjejaskan sumber pendapatan 200 nelayan tradisional di kawasan ini serta mengancam alam sekitar di tempat tersebut.  Dari laporan akhbar dipercayai bahawa pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Alor Setar, telah meluluskan kerja membersih dan menambun tanah untuk projek pembinaan kondominium di pinggir pantai berdekatan Kampung Tengku Laksamana.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati lebih kurang lima hektar hutan paya bakau di kedua-dua kampung itu telah musnah ditebang dan ditambak bagi tujuan melaksanakan projek pembangunan di kawasan itu.

Namun apa yang menghairankan, projek yang telah bermula sejak tahun yang lalu ini tidak mempunyai papan tanda.

SAM difahamkan, berikutan kemusnahan hutan paya bakau yang berlaku di kawasan tersebut hasil tangkapan nelayan di sini merosot sebanyak 50%. Ikan, udang, ketam, siput dan kerang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka telah berkurangan dan diancam kepupusan.

Di samping menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan, SAM bimbang kesan pemusnahan hutan paya bakau di sini juga boleh menyebabkan berlakunya hakisan pantai dan ancaman serius sekiranya berlaku tsunami pada masa akan datang.

SAM kesal walaupun bantahan telah dibuat oleh penduduk-penduduk di sini kepada pihak kerajaan mengenai projek tersebut namun ia tidak diberi perhatian dan diambil tindakan bagi menyelesaikannya.

SAM menggesa kerajaan Kedah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan segera menghentikan kegiatan memusnahkan hutan paya bakau dan kerja-kerja menambak tanah di kawasan ini.

Jika projek pembangunan di kawasan tersebut diteruskan SAM percaya hutan paya bakau seluas lebih kurang 300 hektar di sini dan kehidupan 130 keluarga di kedua-dua kampung berkenaan akan terjejas dengan lebih serius lagi.

 

Kenyataan Media, 24 Oktober 2016