SAM berang dengan kelulusan EIA projek Penambakan Selatan Pulau Pinang

Sahabat Alam Malaysia (SAM) terkejut dan berang selepas mendapat tahu laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi cadangan kerja-kerja penebusgunaan dan pengorekan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation) telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kami berasa kecewa kerana projek itu telah diluluskan walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan oleh nelayan-nelayan termasuk PEN MUTIARA, dan Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang serta semua unit perkampungan nelayan di sini.

SAM merupakan ahli Jawatankuasa Teknikal Semakan EIA (EIATRC) dan kami juga telah mengemukakan bantahan kami, sebagai sokongan kepada komuniti nelayan serta kebimbangan terhadap alam sekitar.

Pihak lain yang turut membantah dan berada di dalam EIATRC ialah agensi berkaitan perikanan termasuk Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan Institut Penyelidikan Perikanan, yang kesemuanya turut menyuarakan kebimbangan mereka bahawa penambakan itu akan menjejaskan sektor perikanan, mata pencarian nelayan dan kejaminan makanan kerana tapak penambakan mempunyai biodiversiti marin yang tinggi.

Satu aspek penting yang ditinggalkan semasa menilai skala impak projek ialah kesan perlombongan pasir dan bahan isian lain seperti batu. Projek yang dicadangkan yang terdiri daripada tiga pulau tebus guna dengan keluasan keseluruhan 4,500 ekar (1,821.1 hektar) memerlukan bahan isian dianggarkan 207,000,000 meter padu. Jumlah isipadu batuan yang diperlukan untuk pembinaan revetment sebagai perlindungan tepi pulau tebusguna ialah 4,500,000 meter padu. Gesaan kami bahawa kesan alam sekitar dalam perolehan pasir dan batu untuk projek ini mesti diambilkira sebagai kesan kumulatif aktiviti berkaitan PSR juga tidak dipertimbangkan.

Kami kecewa kerana kerajaan baharu mengabaikan kejaminan makanan, pemeliharaan alam sekitar dan skala sebenar kesan negatif dan jangka panjang yang disebabkan oleh projek penambakan ini. Projek penambakan berintensif karbon dan intensif modal ini bertentangan dengan imperatif perancangan kini yang memerlukan pembangunan berdaya tahan iklim.

Ketua Pengarah JAS mesti telus dalam mendedahkan alasan keputusan meluluskan laporan EIA ini dan juga kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mendedahkan kepada umum 71 syarat yang telah dikenakan.

SAM akan terus mengekalkan pendirian kami membantah projek PSR ini.

Kerajaan Negeri dan Persekutuan kini memburukkan lagi ketidakadilan alam sekitar dan sosial dengan meneruskan projek PSR ini.

 

 

Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Sahabat Alam Malaysia

Kenyataan Akhbar, 26 April 2023