SAM – KAJI SEMULA PENGELUARAN LESEN PERLOMBONGAN BAUKSIT DI TERENGGANU

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru agar Kerajaan Negeri Terengganu dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengkaji semula rancangan untuk mengeluarkan lesen perlombongan bauksit yang terdapat dalam radar perancangan Kerajaan Negeri pada ketika ini kerana ia bakal menjejaskan alam sekitar dan memudaratkan kehidupan para penduduk di negeri ini.

SAM mengulas laporan akhbar tempatan (Sinar Harian: 23 November 2015) yang menyatakan bahawa kerajaan Terengganu sedia mempertimbangkan permohonan lesen perlombongan bauksit kerana ianya mampu menjana pendapatan kepada negeri memandangkan harga pasaran bauksit amat tinggi.

SAM menegaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri Terengganu tidak seharusnya memikirkan soal menjana ekonomi negeri melalui aktiviti perlombongan bauksit. Sebaliknya Kerajaan Negeri harus memikirkan soal kebajikan rakyat dari sudut alam sekitar dan kesihatan.

Kerajaan Negeri dan Pihak-pihak Berkuasa harus peka dan mengambil serius dengan situasi semasa mengenai masalah pencemaran dari operasi perlombongan bauksit yang sedang berlaku di Negeri Pahang Darul Makmur. Bagaimanakah kerajaan Terengganu akan menangani masalah pencemaran yang berpotensi berlaku seperti yang dihadapi di negeri Pahang?

Bantahan demi bantahan telah dilakukan oleh penduduk di sekitar kawasan yang terlibat di Pahang namun pihak-pihak berkuasa nampaknya memandang isu ini seolah-olah tiada kesan buruk terhadap alam sekitar dan masalah kesihatan yang akan berlaku terutama kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga mas.

SAM bimbang jika masalah ini tidak dibendung ianya akan bertambah parah dan berkemungkinan besar  aktiviti perlombongan tersebut akan berleluasa dan tidak mampu dikawal.

Berikutan dengan ini SAM menggesa Kerajaan Negeri Terengganu untuk tidak mengeluarkan lesen melombong bauksit di negeri ini dan meningkatkan penguatkuasaan untuk membendung perlombongan haram.

 

Kenyataan Media, 26 November 2015