SAM membantah cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di Hutan Simpan Kenderong di Mukim Kerunai, Daerah Hulu Perak

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat kecewa kerana hutan semula jadi yang memberi perkhidmatan ekologi yang amat penting menjadi mangsa projek-projek perlombongan yang memusnahkan alam sekeliling.

Baru-baru ini sebuah syarikat perlombongan tempatan bernama EMBI Mining Sdn Bhd telah mencadangkan satu projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di dalam kawasan Hutan Simpan (HS) Kenderong di Mukim Kerunai, Daerah Hulu Perak, di mana kawasan hutan seluas 245 hektar (605 ekar) telah dinyahwartakan dari HS Kenderong untuk tujuan operasi pembalakan dan perlombongan.  Seperti dinyatakan dalam laporan EIA, pemegang pajakan melombong ialah Menteri Besar Incorporated (MB Inc. Perak).

Pembersihan hutan, yang dinyatakan dalam EIA sebagai pembalakan cuci mangkuk berhati, seluas 605 ekar akan membawa bencana. Ditambah  dengan kegiatan perlombongan yang mempunyai potensi untuk mencemarkan sumber air tempatan, projek ini mengundang  musibah. Selain dari itu, tapak yang dicadangkan adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di mana sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan.

Di samping itu, tapak yang telah dicadangkan itu terletak di dalam kawasan wilayah Rangkaian Utama-8 dalam Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) di mana ia telah dilaporkan bahawa kawasan ini adalah kawasan habitat  spesies hidupan liar yang terancam dan hampir pupus seperti gajah, harimau, tapir dan beruang matahari.

Rangkaian Utama dalam kawasan CFS adalah satu koridor semulajadi yang amat penting untuk mamalia yang bersaiz besar, yang membolehkan mereka  bergerak dari suatu kompleks hutan utama ke kompleks hutan utama yang lain untuk mencari makanan dan habitat. Cadangan projek perlombongan di lokasi seperti ini akan memburukkan lagi konflik antara manusia dengan hidupan liar yang semakin menjadi-jadi di Malaysia.

Berdasarkan EIA cadangan projek ini, tapak yang dicadangkan adalah kawasan berbukit yang mempunyai ketinggian 320 hingga 450 meter melebihi paras laut. Selain itu, tapak yang dicadangkan juga merupakan kawasan tadahan air, di mana laporan EIA dengan jelas menyatakan bahawa terdapat beberapa anak sungai yang mengalir berdekatan dengan tapak projek yang akhirnya mengalir ke dalam Sungai Perak.

Sungai Perak merupakan sumber air utama untuk negeri Perak, yang membekalkan sumber air sebanyak 45% untuk negeri tersebut. Sebarang ancaman terhadap sumber air tempatan semata-mata untuk keuntungan adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak harus dibiarkan berlaku.

Pada tahun 2019 satu kejadian yang berlaku membuktikan bahawa kegiatan perlombongan di dalam kawasan sensitif alam sekitar hanya akan mengundang bencana. Di sepanjang Sungai Perak terdapat beberapa loji rawatan air dan loji Air Ganda adalah loji yang paling terdekat dengan tapak projek cadangan ini yang terpaksa ditutup pada tahun 2019 selepas penduduk tempatan yang kebanyakan antara mereka adalah orang asli telah mengalami penyakit kulit yang serius.

Siasatan pihak berkuasa mengesani arsenik di dalam anak sungai yang berdekatan yang terutamanya disebabkan oleh aktiviti perlombongan oleh sebuah syarikat perlombongan berlesen di lokasi yang sama di mana EMBI Mining Sdn Bhd mencadangkan projek ini sekarang.

Tidak kira apa jenis pelan mitigasi dan pemulihan yang disyorkan oleh penggerak projek, menjalankan projek pembalakan dan perlombongan dalam satu kawasan yang sensitif sebegini akan memudaratkan kualiti alam sekeliling di sekitar kawasan projek tersebut sehingga ke satu tahap di mana sebarang pelan mitigasi atau pemulihan akan menjadi tidak berguna.

SAM membantah sekeras-kerasnya cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di HS Kenderong dan ingin mengulangi pendirian tegas kami terhadap sebarang cadangan projek yang tidak mampan, memusnahkan alam sekitar, menjejaskan sumber air, kehidupan dan mata pencarian masyarakat.

Justeru, kami menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak meluluskan laporan EIA cadangan projek tersebut dan kerajaan Negeri Perak mengambil langkah segera untuk membatalkan penyahwartaan HS Kenderong, dan mewartakan semula hutan ini sebagai Hutan Simpanan Kekal dengan pengelasan sebagai hutan tadahan air.

 

Nota kepada Pengarang:

 

EIA bagi cadangan projek ini boleh didapati dari pautan berikut https://www.doe.gov.my/portalv1/en/info-hebahan/pengumuman-teks/laporan-penilaian-kesan-kepada-alam-sekeliling-eia-bagi-proposed-project-of-logging-and-tin-mining-operations-compartments-24-and-31-within-hutan-simpan-kenderong-measuring-245-hectares-s/330850

Laporan EIA ini akan dipamerkan dalam tempoh 12 Januari  2022 hingga 10 Februari 2022 dan ulasan awam sehingga 25 Februari 2022.

 

Kenyataan Media, 4 Februari 2022