Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan usaha yang diambil oleh kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan pampasan sebanyak RM100 juta dari kerajaan Persekutuan kerana memelihara Hutan Simpan Ulu Muda di Sik sebagai kawasan hutan tadahan air untuk kegunaan domestik dan pertanian.
Menurut laporan media, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, telah menyebut dalam sidang DUN Kedah bahawa kerajaan Negeri telah berunding dengan Kementerian Sumber Asli bagi mendapatkan pampasan untuk mengekalkan kawasan tadahan tersebut.
SAM juga menyambut baik kenyataan Menteri Besar Kedah untuk meneruskan dasar mengekalkan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai hutan tadahan air dan melarang sebarang kegiatan pembalakan, demi kepentingan 4.2 juta penduduk di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian.
Kami gembira kerana Menteri Besar memahami kepentingan mengekalkan dan memelihara alam sekitar serta melindungi sumber air untuk masa kini dan untuk generasi akan datang.
Di samping itu, SAM turut menggesa Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, agar menyegerakan usaha dalam menyalurkan sumber kewangan yang diperlukan oleh kerajaan Negeri Kedah untuk melindungi kelestarian hutan Ulu Muda, demi kepentingan umum.
Sebagaimana yang Kementerian sedia maklum, terdapat dana antarabangsa bagi perlindungan hutan yang boleh digunakan untuk membantu negeri-negeri yang ingin mengekalkan kelestarian hutan mereka memandangkan hutan sebegini menyumbang kepada khidmat ekosistem yang amat berbarga, terutama dalam memastikan jaminan bekalan air yang mencukupi, mengawal cuaca, melindungi kepelbagaian bio dan sebagainya.
SAM ingin menegaskan bahawa tujuan pemberian dana kepada kerajaan Negeri Kedah mesti dikekalkan kepada memelihara hutan Ulu Muda dan bukan digunakan untuk membayar pampasan kepada syarikat pembalakan yang telah dibatalkan konsesinya.
Dana terbabit perlu disalurkan untuk kebajikan orang awam, bukannya untuk syarikat pembalakan.
Sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mempamerkan kepimpinan dalam memberikan ganjaran kepada negeri-negeri yang melindungi hutan demi kepentingan umum, dan untuk membantu perlaksanaan komitmen antarabangsa Malaysia di bawah Perjanjian Paris dan Konvensyen mengenai Kepelbagaian Bio.
Kenyataan Akhbar, 27hb Ogos 2020