Bersempena dengan Hari Tanah Sedunia yang jatuh pada 5 Disember, Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru para petani, pekebun dan orang ramai untuk mengamalkan sistem pengurusan tanah yang sihat yang akan membantu mencegah degradasi tanah dan seterusnya komplikasi yang timbul.
Pada Disember 2013, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan sambutan Hari Tanah Sedunia pada setiap 5 Disember. Tujuannya adalah untuk memberi tumpuan kepada kepentingan tanah yang sihat dalam mengekalkan kehidupan yang bertenaga dan teguh, serta menggalakkan penggunaan mampan tanah.
Tema untuk Hari Tanah Sedunia 2023 ialah “Tanah dan air, sumber kehidupan”. Kelangsungan bumi sangat bergantung pada interaksi penting antara tanah dan air. Komponen penting ini berfungsi sebagai asal-usul lebih daripada 95% makanan kita.
Keadaan tanah di Malaysia adalah lapuk, berasid, dan tidak begitu subur untuk pengeluaran tanaman. Kebanyakan nutrien tumbuhan di tanah telah dilarutlesap akibat luluhawa tropika yang tinggi. Tanah biasanya berasid dan mempunyai jumlah bahan organik yang rendah. Terdapat enam jenis tanah utama di Semenanjung Malaysia, termasuk tanah marin, sungai, sedentari, diolah semula, Permatang Pantai Berselang-seli dengan Swales (BRIS), dan tanah organik. Lokasi dan aras jenis tanah menghasilkan zon tumbuh-tumbuhan yang tersendiri.
Tanah menyumbang dengan ketara kepada sektor pertanian dengan menyokong pertumbuhan tanaman yang penting untuk bekalan makanan kita, memastikan keterjaminan makanan kita. Tanah bertindak sebagai medium untuk pertumbuhan tanaman, menyediakan nutrien, air, dan penempatan akar.
Tanah juga menyediakan penapisan semula jadi untuk membersihkan dan menyimpan sumber air. Sifat tanah berporos membantu dalam membersihkan kekotoran, sedimen, dan bahan pencemar, menghalangkan mereka daripada masuk ke sumber air bersih. Tanah yang sihat mempunyai kapasiti yang tinggi untuk menyerap dan mengekalkan air, seperti span. Keupayaan ini menghalang aliran air berlebihan, terutamanya semasa hujan lebat, mengurangkan risiko hakisan dan banjir.
Selain itu, tanah bertindak sebagai persekitaran dinamik untuk menyokong pelbagai jenis kehidupan, daripada mikroorganisma hingga serangga, yang penting untuk kitaran nutrien, penguraian bahan organik dan mengekalkan keseimbangan ekologi. Tanah yang sihat juga bertindak sebagai penyerap karbon dengan mengasingkan karbon dari atmosfera, sekali gus menyumbang kepada kedua-dua usaha penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim.
Walau bagaimanapun, tanah menghadapi ancaman yang teruk dari perubahan iklim dan aktiviti manusia, yang selanjutnya meningkatkan cabaran seperti hakisan, kekurangan nutrien dan kehilangan kesuburan. Perubahan iklim memberi kesan yang besar kepada kesihatan tanah. Perubahan dalam taburan hujan dan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap seperti hujan lebat atau kemarau yang berpanjangan dan peningkatan suhu akan mempercepatkan proses degradasi tanah, meningkatkan hakisan dan pengurangan nutrien.
Sementara itu, aktiviti manusia, termasuk penebangan hutan, amalan pertanian intensif, dan pembangunan, mempercepatkan hakisan dan degradasi tanah. Aktiviti-aktiviti ini mengganggu kestabilan tanah, memburukkan lagi hakisan, dan mengurangkan kesuburan tanah, menyebabkan pengurangan peresapan air dan menjejaskan keupayaannya untuk mengekalkan kehidupan tumbuhan.
Untuk menangani isu-isu ini, CAP menjalankan pelbagai kempen kesedaran untuk menekankan kepentingan pemuliharaan tanah, dan aktif dalam menyokong pengurusan tanah yang mampan melalui kaedah organik. CAP membuat kompos daripada sisa-sisa kebun seperti daun, rumpai dan sisa-sisa dapur.
CAP juga menghasilkan baja dan penghalau perosak secara organik dengan menggunakan amalan pertanian asli. Baja organik dan penghalau perosak ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan sisa agrokimia, memgawal hakisan tanah, dan mengekalkan biodiversiti tanah. Latihan disediakan untuk menggalakkan isi rumah dan petani untuk menyuburkan tanah dengan kaedah organik.
Cadangan CAP untuk mengekalkan kesihatan tanah ialah:
- Pengurangan pembajakan untuk mengurangkan gangguan kepada tanah, membantu mengekalkan struktur tanah dan mencegah hakisan.
- Penanaman tanaman penutup bumi semasa luar musim untuk melindungi tanah daripada hakisan, meningkatkan kesuburan tanah dan menambah baik bahan organik.
- Amalan penggiliran tanaman iaitumenukar jenis tanaman setiap musim untuk mengelakkan kekurangan nutrien dan hakisan tanah, sambil mengawal perosak dan penyakit secara semula jadi.
- Gunakan kompos dan bahan organik untuk meningkatkan struktur tanah, kesuburan, dan aktiviti mikrob.
- Amalan sungkupan dengan rumput, daun, jerami atau kulit pokok yang dihancurkan pada permukaan tanah untuk mengekalkan kelembapan, mencegah hakisan dan memperbaiki struktur tanah.
- Elakkan bahan kimia pertanian seperti baja kimia, racun rumpai, dan racun serangga untuk mengelakkan degradasi tanah dan mengekalkan kepelbagaian mikrob.
- Memulihara habitat semula jadi dan zon penampan untuk mengelakkan hakisan tanah dan mengekalkan biodiversiti.
- Amalan teres dan kontur untuk mengikut kontur semula jadi bagi tujuan memperlahankan aliran air, mengurangkan hakisan dan mengekalkan kelembapan tanah.
- Amalan agroforestri dengan memperkenalkan pokok atau pokok renek dalam sistem pertanian untuk meningkatkan kesihatan tanah, meningkatkan biodiversiti dan mengurangkan hakisan.
Kita perlu menyebarkan kesedaran tentang kepentingan tanah. Kami menggalakkan orang ramai untuk berkongsi maklumat tentang Hari Tanah Sedunia dan kepentingannya. Galakkan orang lain untuk mengambil tindakan bagi memulihara tanah.
“Pada asasnya, semua kehidupan bergantung kepada tanah… Tidak ada kehidupan tanpa tanah dan tidak ada tanah tanpa kehidupan; mereka telah berkembang bersama-sama.” – Charles E. Kellogg.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 5 Disember 2023