Sangat tidak bertanggungjawab bagi negeri-negeri menggalakkan penebangan hutan

 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat bimbang dengan perkembangan terkini  di mana beberapa negeri terus menggalakkan penebangan hutan atas pelbagai alasan, dan bukannya mengambil langkah-langkah untuk melindungi dan memelihara sumber hutan negara yang masih ada.

Usaha sedemikian bercanggah dengan pemikiran semasa dan trend di era perubahan iklim dan pasca pandemik COVID-19, iaitu menggalakkan usaha pemulihan hijau dan menggerakkan negara ke arah pembangunan yang lebih lestari, berharmoni dengan alam semula jadi.

Sepertimana yang disebut dalam terbitan terkini Global Biodiversity Outlook, Sekretariat bagi Konvensyen mengenai Biodiversiti (CBD), “Fokus antarabangsa mengenai pembangunan lestari sebagai agenda penting bagi abad kita, dengan keutamaan dalam menangani masalah perubahan iklim sebagai isu yang perlu diberi perhatian segera dalam wacana politik dan awam, membentuk peluang untuk mengetengahkan biodiversiti ke dalam arus perdana. Banyak langkah yang diperlukan untuk menangani soal kemiskinan, mengurangkan kelaparan, menangani perubahan iklim dan mengurangkan risiko pandemik pada masa depan adalah juga yang diperlukan bagi menyokong  biodiversiti. Oleh itu ia berpotensi bagi perkongsian agenda yang kukuh dengan memberi tumpuan dan sumber kepada pemuliharaan dan penggunaan lestari yang sangat berkurangan di masa lalu.”

Di sebalik memulakan transformasi agenda hijau, banyak negeri di negara ini terus mengamalkan dasar perniagaan berjalan seperti biasa dengan memberikan kelulusan bagi penebangan hutan dan pemusnahan biodiversiti kita termasuk di lautan, dengan itu memperkecilkan usaha negara untuk melaksanakan tanggungjawab di bawah Perjanjian Paris, CBD dan Matlamat Pembangunan Lestari.

Berita terbaharu mengenai pelan penebangan hutan adalah tindakan yang diambil oleh kerajaan Kedah yang meluluskan pembalakan di kawasan hutan hujan seluas 25,000 hektar di negeri itu, di mana Menteri Besar mendakwa kegiatan itu tidak akan menjejaskan kawasan hutan tadahan air.

Masalahnya sekarang, kerajaan Kedah hanya mewartakan 16% dari 106,418 hektar Hutan Simpan Ulu Muda sebagai hutan perlindungan di bawah Enakmen Hutan negeri.

Kumpulan masyarakat awam telah berkali-kali menggesa perlindungan diberikan kepada keseluruhan kompleks hutan belantara Ulu Muda, meliputi kawasan hutan seluas 163,000 hektar. Jika kita mengambil kira perkara ini, hanya kira-kira 10% dari kompleks hutan Ulu Muda  dilindungi sepenuhnya, dengan baki hutan yang ada terdedah kepada penebangan  dan penukaran guna tanah hutan untuk pelbagai tujuan.

Jaminan yang diberi oleh Menteri Besar Kedah bahawa penebangan hutan yang dicadangkan itu tidak akan menjejaskan kawasan hutan tadahan air tidak berasas dan tidak memberi kelegaan, kerana ekosistem tidak berfungsi dalam ruang lingkup definisi perundangan yang terbatas. Perlindungan perundangan sepenuhnya perlu meliputi keseluruhan kompleks hutan belantara Ulu Muda demi membantu mengekalkan ekosistem dan integriti alam sekitarnya.

Seperti yang kami tegaskan berulangkali, pemusnahan hutan hujan di Ulu Muda dengan skala sebesar itu mengancam jaminan bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, terutama ketika musim kemarau setiap tahun.

Awal tahun lalu, pesawah di negeri jelapang padi itu berdepan musim kemarau yang berpanjangan, yang menjejaskan mata pencarian dan jaminan makanan. Berikutan perubahan cuaca, kemarau seperti itu dijangka lebih kerap berlaku dan berpanjangan.

Kompleks hutan belantara Ulu Muda yang lebih besar adalah kawasan hutan tadahan air untuk Empangan Muda, yang membekalkan Sungai Muda di Selatan serta Empangan Pedu dan Ahning, yang membekalkan Sungai Kedah di Utara.

Bekalan sumber air mentah kira-kira 70% di Perlis, 96% di Kedah dan 80% di Pulau Pinang bermula dari  hutan hujan Ulu Muda.

Kira-kira 4.2 juta orang akan menerima kesan buruknya selain ribuan lagi akan menderita kesan ekonomi akibat masalah kekurangan dan gangguan bekalan air di wilayah utara.

Pandangan dangkal Menteri Besar Kedah untuk membalak di kawasan hutan hujan serta meluluskan perlombongan, termasuk unsur nadir bumi untuk keuntungan jangka pendek, perlu dihentikan segera.

Kerajaan Persekutuan mesti menasihati kerajaan negeri dalam mengakhiri usaha yang tidak lestari, dan menyediakan sumber kewangan yang sewajarnya kepada negeri tersebut demi melindungi kawasan hutan dan pelbagai hidupan di dalamnya.

Seperti yang ditegaskan oleh SAM sebelum ini, dana antarabangsa ada disediakan untuk usaha seumpamanya, dan negeri-negeri perlu diberi galakan untuk memahami kewajaran dari sudut ekonomi dan alam sekitar untuk terus memelihara hutan dan biodiversiti di dalamnya. Inilah satu-satunya cara untuk menjamin kelestarian masa kini dan masa depan berikutan perubahan iklim dan pandemik kesihatan.

Kami merayu kepada kerajaan Kedah agar melindungi dan mewartakan keseluruhan kompleks hutan belantara Ulu Muda seluas 163,000 hektar sebagai hutan perlindungan untuk selama-lamanya, dan bertindak demi kepentingan bukan sahaja penduduknya malah penduduk di wilayah utara, serta negara secara keseluruhan.

Untuk itu, Menteri Besar Kedah akan diperakui sebagai pemimpin yang meninggalkan legasi yang hebat demi generasi sekarang dan masa depan. Negeri-negeri lain juga perlu mengambil tindakan yang sama.

Sebagai tambahan, kami menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan langkah-langkah pemulihan sejati, yang mengutamakan alam sekitar dan biodiversiti ketika mengambil sesuatu keputusan, jika benar kita ingin mencegah bencana alam pada masa depan yang menjejaskan  ekonomi dan kesihatan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *