Saranan CAP bagi penyediaan belanjawan negara 2023 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mengemukakan cadangan kami bagi penyediaan belanjawan (bajet) negara 2023 kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada minggu lepas. Antara topik yang disarankan ialah tadbir urus, penjagaan kesihatan, perumahan, kejaminan makanan, pembangunan inklusif, isu alam sekitar, pengurusan risiko bencana dan beberapa cadangan pencukaian.

Berikut adalah beberapa ringkasan saranan yang dikemukakan.  Mengenai tadbir urus, CAP mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah dibiayai secukupnya dengan penyiasat yang cekap dan berkelayakan serta berintegriti untuk mempergiatkan siasatan dan pendakwaan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Kami juga mengesyorkan pendidikan orang ramai termasuk kanak-kanak tentang keburukan rasuah dan agar pemberi maklumat dilindungi dan diberi ganjaran.

Mengenai pencukaian, CAP menyarankan cukai keuntungan modal dan untuk meningkatkan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah untuk 5 tahun pertama. Cukai dosa untuk alkohol, produk tembakau dan perjudian telah disyorkan, dengan cukai yang dikutip digunakan untuk promosi kesihatan dan rawatan penyakit tidak berjangkit. Kami juga mencadangkan cukai mewah dikenakan ke atas barangan yang dianggap mahal, tidak perlu dan tidak penting, dan ini hanya ditanggung oleh mereka yang membeli atau menggunakan produk dan perkhidmatan mewah.

CAP telah memberikan beberapa idea dari segi pelaksanaan strategi pengurusan risiko bencana yang komprehensif, merangkumi pengurusan bahaya dan bencana, pengurangan risiko, ketersediaan serta tindak balas semasa bencana dan langkah pemulihan. Antaranya ialah mencegah bencana melalui perancangan mampan dan perlindungan alam sekitar, khususnya di kawasan sensitif alam sekitar seperti hutan, lereng bukit dan tanah tinggi, serta menghentikan semua cadangan aktiviti penambakan pantai dan laut di Malaysia.

Peningkatan pembiayaan untuk penjagaan kesihatan disyorkan, dengan gesaan untuk pengauditan jumlah yang dibelanjakan untuk memastikan tiada pembaziran dan kebocoran. CAP juga mencadangkan agar program pendidikan dan kempen yang berkesan dijalankan untuk menggalakkan kehidupan sihat dan pencegahan penyakit. Pusat kepakaran seperti Pusat Pakar Universiti Malaya juga perlu diwujudkan di hospital kerajaan yang lain.

Memandangkan Malaysia terlalu bergantung kepada makanan import, CAP memberi beberapa cadangan untuk meningkatkan kejaminan dan kedaulatan makanan kita. Antaranya ialah menggunakan tanah terbiar untuk tujuan pertanian, sama ada untuk tanaman makanan atau makanan ternakan; meningkatkan insentif untuk menggalakkan petani dan usahawan tempatan menjana hasil pertanian mampan, dan bebas kimia; dan menghubungkan petani kebun kecil kepada sistem pemasaran yang komprehensif.

CAP juga mengesyorkan pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan nasional agroekologi selain menyokong pertanian bandar dengan menyediakan infrastruktur dan sumber kewangan yang mencukupi untuk kos permulaan, yang bukan berasaskan kimia. Dalam menyokong kepelbagaian benih tempatan, meningkatkan agrobiodiversiti dan memastikan kejaminan makanan, kerajaan mesti menyokong rangkaian petani dan penyimpan benih, serta aktiviti yang menjurus kepada perkongsian benih; menyokong bank benih komuniti dan pemuliharaan biodiversiti pertanian.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan perumahan kepada rakyat dan bukannya menyerahkan tanggungjawab ini kepada sektor swasta. Tanah Persekutuan dan Negeri hendaklah dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Perumahan untuk perumahan sosial dan tidak diberikan kepada pemaju swasta di bawah perjanjian usaha sama yang tidak telus. Kerajaan mesti membangunkan insentif cukai, subsidi dari segi penawaran dan permintaan serta dasar fiskal lain untuk memudahkan perumahan sosial dan penyewaan selain memperoleh tanah untuk perumahan sosial di seluruh negara.

Kerajaan Malaysia harus dengan serius memikirkan tentang penyewaan sebagai penyelesaian kepada krisis kemampuan rumah kerana banyak kajian telah menunjukkan bahawa golongan pertengahan pun tidak boleh memiliki unit rumah kerana harga rumah telah melambung tinggi. Malaysia boleh belajar dari negara Jerman di mana undang-undang telah melindungi penyewa dan tuan tanah secara adil tanpa membekukan bekalan perumahan mereka.

CAP menyarankan pembangunan lestari luar bandar untuk menggalakkan orang ramai kembali ke kawasan luar bandar dengan menambah baik kehidupan luar bandar, infrastruktur dan kemudahan sosial. Kerajaan perlu menyusun strategi dan melaksanakan pelan tindakan agar rakyat berbangga dan yakin dengan cara hidup tradisional kita dan tidak dipimpin oleh budaya materialistik moden. Kerajaan persekutuan dan negeri mesti mengkaji semula rancangan mereka untuk pembangunan ekonomi luar bandar, dengan mengambil kira keperluan masyarakat tempatan dan orang asal.

CAP mengharapkan idea dan cadangan kami dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan Malaysia dalam memenuhi keperluan majoriti, memajukan agenda kemampanan, melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, serta meningkatkan daya tahan negara terhadap perubahan iklim dan mencegah bencana.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang

Surat Kepada Pengarang, 28 Jun 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/