Satu Lagi Hutan Dalam Bahaya: Cadangan Perlombongan di Mukim Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang – SAM Gesa Hentikan Projek

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat bimbang  dan prihatin mengenai projek-projek perlombongan yang dicadangkan di dalam hutan-hutan simpan. Cadangan paling baharu yang mana Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) telah dikemukakan untuk ulasan awam adalah projek perlombongan bijih besi di Mukim Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang.

Projek yang dicadangkan ini adalah untuk mengeluarkan bijih besi di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 2, meliputi 60.75 hektar. Tapak yang dicadangkan adalah di dalam Hutan Simpan Som, dalam koridor central forest spine (CFS1 – SL 2: Rizab Hidupan Liar Krau – HS Bencah – HS Som – HS Yong), yang dikategorikan sebagai KSAS Tahap 2.

Amat menyedihkan bahawa projek yang memusnahkan alam sekitar seperti perlombongan terbuka dicadangkan di tapak yang kaya dengan biodiversiti. Projek ini akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada landskap semula jadi serta flora dan fauna. Habitat hidupan liar akan terjejas dengan teruk memandangkan tapak yang dicadangkan terletak di koridor CFS, hubungan kedua yang menjadi jambatan bagi hidupan liar untuk bergerak dari satu hutan ke hutan yang lain. Dalam kes ini, koridor ini menghubungkan  Rizab Hidupan Liar Krau di Raub dengan Hutan Simpan Som di Jerantut.

Sebarang gangguan akan mengundang bencana kepada hidupan liar tempatan di kawasan itu. Menurut kenyataan yang dibuat oleh bekas Pengarah Perhilitan Pahang dalam tahun 2018, Encik Ahmad Azhar Mohammed, “pemburu haram biasanya memasuki kawasan hutan yang telah dibersihkan dan mereka mempunyai akses ke hutan untuk membawa keluar hasil tangkapan mereka. Hidupan liar yang menduduki kawasan hutan yang telah dibersihkan biasanya meninggalkan habitat mereka untuk mencari makanan. Antara kawasan titik panas yang dikenal pasti di Pahang adalah Kemasul (Bentong), Tekai (Jerantut), dan Berkelah (Kuantan).”

Pemecahan habitat, kehilangan sumber makanan dan habitat semula jadi memaksa hidupan liar untuk melarikan diri daripada habitat asal mereka dan memasuki kawasan penempatan manusia. Ini akhirnya menyebabkan lebih banyak konflik manusia-hidupan liar berlaku di mana pada masa kini ia lebih kerap berlaku.

Berdasarkan laporan EIA cadangan projek, tapak yang dicadangkan adalah tempat di mana terdapat banyak hidupan liar yang diklasifikasikan sebagai lemah ancaman, terancam teruk, dan terancam dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan juga Senarai Merah IUCN. Spesies haiwan yang ditemui di sini adalah Harimau Malaya, harimau kumbang, tapir, gajah, rusa dan kijang.

Bilangan hidupan liar ini semakin merosot dengan serius sekali dalam tempoh beberapa tahun yang lepas disebabkan oleh pembangunan yang berleluasa dan konflik manusia-hidupan liar. Kami amat bimbang jika projek perlombongan ini diluluskan, tapak projek yang dicadangkan tersebut tidak boleh lagi diperbaiki atau dipulihkan dan ia juga akan memaksa hidupan liar ini hidup dalam keadaan bahaya dan ketakutan yang berterusan.

Untuk memburukkan lagi keadaan, jenut garam (salt lick) ditemui kurang daripada 500 meter daripada tapak projek yang dicadangkan. Struktur geologi semula jadi ini memainkan peranan penting dalam menyediakan nutrien mineral penting bagi hidupan liar seperti tapir, rusa, dan gajah. Seksyen 85 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 jelas menyatakan bahawa jenut atau tanah berhampiran dengan jenut tidak boleh diganggu. Oleh itu, jika projek ini dibenarkan, penggerak projek akan mencabuli Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Operasi perlombongan yang dicadangkan juga akan mengubah secara kekal kawasan rupa bumi semula jadi dan ini akan menjejaskan laluan hidupan liar di mana ada di antara hidupan liar yang berkemungkinan besar sesat di sepanjang jalan dan berakhir jauh daripada kawasan rayauan biasa. Ini akan menyebabkan tekanan kepada hidupan liar dan mengakibatkan penderitaan kerana kekurangan nutrien dan tidak mampu mengamalkan cara hidup biasa.

Hutan dan biodiversiti kita seharusnya diberi kepentingan dalam penelitian EIA bagi projek perlombongan yang dicadangkan ini. Kerajaan Malaysia telah menandatangani beberapa perjanjian antarabangsa yang bertujuan menangani masalah perubahan iklim dan melindungi hutan serta biodiversiti. Semua ini perlu dihormati. Jika kita kehilangan hutan dan biodiversiti, kita tidak boleh lagi memulihkan semula kawasan tersebut kepada keadaan asalnya.

SAM menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) agar tidak meluluskan laporan EIA bagi cadangan projek perlombongan ini. Kita perlu memelihara dan melindungi hidupan liar dan alam semula jadi pada masa di mana ramai sedang bekerja keras dalam memelihara dan memulihkan kawasan alam sekitar dan biodiversiti yang sudah kian merosot. Laporan EIA ini mestilah ditolak.

Kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar tidak meluluskan projek perlombongan di dalam kawasan hutan simpan dan kawasan alam sekitar yang sensitif. Kawasan-kawasan ini harus dilindungi daripada semua projek-projek pembangunan yang bakal merosakkan alam sekitar dan ekosistem kita.

Siaran Akhbar, 30 Jun 2021