Satu Pandangan Baharu untuk Penduduk Warga Emas Malaysia Diperlukan

Dalam menanti Hari Warga Emas Antarabangsa yang akan disambut pada 1 Oktober, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengutamakan penggubalan undang-undang bagi melindungi hak warga emas. Pada September 2019, kerajaan Malaysia mahu menggubal undang-undang berdasarkan hasil kajian selama 15 bulan yang dijalankan oleh Universiti Malaya dan kajian itu seharusnya siap tahun ini.

Penduduk warga emas mestilah diberikan peluang untuk hidup secara bebas di rumah mereka sendiri dengan bermaruah. Menghantar mereka ke rumah orang tua bukanlah satu pilihan melainkan mereka tidak lagi mampu untuk menjaga diri mereka sendiri.

Menjangkakan jangka hayat penduduk umum semakin meningkat, banyak kerajaan menaikkan usia persaraan. Pada 2020, Bank Dunia menggesa Malaysia supaya dengan perlahan menaikkan usia persaraan kepada 65 tahun. Kami percaya bahawa ramai orang bekerja melebihi usia persaraan kerana mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk memenuhi peningkatan dalam kos sara hidup dan kemerosotan dalam menjana pendapatan dengan pertambahan usia.

Sebagai perlindungan kepada warga emas, anak-anak boleh didenda, di penjara atau kedua-duanya sekali kerana tidak menyediakan saraan, pengabaian atau penderaan ibu bapa mereka di beberapa negara. Ibu bapa boleh menuntut saraan daripada anak-anak mereka di bawah Akta Saraan Ibu bapa (MPA) 1995 di Singapura. Di India, anak-anak yang gagal untuk menyediakan saraan kewangan, mengabai atau mendera ibu bapa mereka boleh di penjarakan sehingga enam bulan, denda bersamaan RM570, atau keduanya di bawah Undang-undang Warga Emas (Pindaan) 2019.

Sementara itu, tema bagi Hari Warga Emas Antarabangsa 2021 ialah “Ekuiti Digital untuk Semua Usia” untuk melihat kepada “keperluan bagi akses dan penyertaan bermakna dalam dunia digital oleh orang tua”. CAP bimbang kerana dalam kerajaan mengejar teknologi digital telah secara tidak sengaja meminggirkan sebahagian penduduk warga emas yang mengalami kelemahan otot, masalah sendi, sakit, dan kesukaran neurologi. Sebarang kemerosotan seperti itu menyumbang kepada ketangkasan yang terhad, tidak menggalakkan mereka daripada menggunakan peralatan elektronik seperti telefon pintar.

Orang tua dengan kemerosotan ketangkasan dan ingatan akan mendapati perbankan dalam talian satu cabaran dalam beralih antara skrin dan mendapatkan semula kata laluan sekali  sahaja (OTP). Ciri keselamatan perbankan dalam talian akan mengunci pengguna jika mereka gagal untuk memasukkan kata laluan yang betul sebanyak tiga kali dalam tempoh masa yang diberikan.

Kegagalan itu menyebabkan mereka terpaksa menghubungi bank untuk mengaktifkan semula akaun dalam talian. Ini amat merumitkan kerana sistem panggilan automatik bank memerlukan pemanggil menaip jawapan kepada soalan yang diberikan dalam tempoh masa terbatas di atas papan kekunci. Ia boleh menjadi tekanan dan kekecewaan kepada warga emas.

Lebih-lebih lagi, warga emas dalam kumpulan berpendapatan rendah perlu memperuntukkan simpanan terhad mereka ke atas gajet elektronik dan melanggan akses internet. Terdapat kaedah bukan elektronik yang boleh didapati di negara lain yang Malaysia boleh mengguna pakai sebagai pilihan alternatif.

Berhubung isu kebebasan kewangan bagi warga emas, kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan dengan serius gaji berdasarkan kos sara hidup daripada gaji bulanan minimum RM1,200 yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 2019. Gaji minimum yang rendah adalah alasan bagi tiada simpanan atau simpanan yang sedikit dan kenapa orang perlu melakukan pelbagai perkerjaan untuk kelangsungan hidup, bekerja melebihi usia persaraan mereka.

Seseorang itu cenderung berhutang sebaik sahaja memasuki pasaran kerja untuk membayar pinjaman rumah dan kereta yang mungkin mengambil masa sehingga 35 tahun untuk membayarnya. Purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 74.9 tahun dan dengan itu, apabila seseorang itu bersara pada usia 60 tahun dia mungkin sukar untuk mempunyai masa bagi menikmati hidup yang berkualiti disebabkan penyakit berkaitan usia yang mula muncul.

Warga emas memerlukan kerajaan yang penyayang dan masyarakat untuk melibatkan mereka dalam projek komuniti atau peluang untuk bekerja secara bebas atau sambilan. Mereka mempunyai pengalaman yang tidak ternilai untuk disumbangkan dan ini boleh dicapai dengan memulakan pendaftaran pekerjaan oleh kerajaan.

Penjagaan kesihatan merupakan satu lagi bidang yang menjadi kebimbangan memandangkan perangkaan hospital menunjukkan lebih daripada separuh mereka yang menggunakan perkhidmatan pesakit luar di hospital awam atau klinik adalah mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas. Ramai daripada mereka adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah dan oleh itu, kos rawatan merupakan faktor penting untuk warga emas pertimbangkan. Kemudahan perubatan swasta seharusnya mengenakan kadar subsidi yang banyak bagi sejumlah pesakit warga tua yang miskin sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (MoHE) mestilah mengenal pasti bidang pengkhususan perubatan yang diperlukan oleh negara seperti mempunyai doktor yang pakar dalam bidang geriatrik, gerontologi, fisioterapi, psikologi, kardiologi, dan urologi yang diperlukan oleh penduduk berusia.

Adalah penting bagi kerajaan memainkan peranan dalam memastikan semua bangunan dan kemudahan adalah mesra orang kurang upaya dengan mengguna pakai Reka Bentuk Sejagat (UD). UD memastikan bahawa tempat ini boleh diakses oleh semua orang pada semua peringkat usia dan keadaan fizikal. Malaysia sudah pun mempunyai Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan ia perlu dilanjutkan terhadap bangunan dan kemudahan yang dibina sebelum Akta itu diperkenalkan.

Penduduk warga emas kurang bernasib baik dengan kemerosotan seluruh sistem pengangkutan awam sejak beberapa dekad akibat perancangan yang lemah, menyebabkan mereka beralih kepada pemilikan kenderaan persendirian. Jalan dibina dan diperlebarkan, memutuskan hubungan antara kawasan perumahan, menjadikan ia berbahaya kepada pejalan kaki untuk melintas jalan. Kekurangan bas perantara untuk mengambil penumpang daripada perhentian bas ke kawasan perumahan merupakan satu lagi masalah.

Pulau Pinang mempunyai kira-kira 12 jejantas yang kurang digunakan disebabkan orang kurang upaya, warga emas dengan masalah untuk bergerak, atau wanita hamil menghadapi masalah menggunakan tangga jejantas. Kenapa tidak kerajaan mempertimbangkan lebih banyak lintasan pejalan kaki yang lebih murah dan berkesan dengan lampu isyarat berdekatan perhentian bas?

Satu lagi masalah yang sering terlepas pandang ialah keadaan laluan pejalan kaki dan jalan pejalan kaki yang tidak rata dan menyedihkan yang mendedahkan potensi bahaya kepada pejalan kaki. Bahagian jalan khas tidak mudah ditemui untuk akses kerusi roda dan dengan itu kerusi roda terpaksa bersaing dengan kenderaan lain di jalan raya.

Kadangkala warga emas ini terpaksa berjalan di jalan kerana laluan pejalan kaki terhalang oleh kenderaan yang diparkir. Oleh sebab itu, pihak berkuasa seharusnya tidak teragak-agak untuk menyaman kenderaan yang menghalang lalu lintas atau parkir di atas laluan pejalan kaki untuk menanamkan rasa hormat dan patuh kepada undang-undang oleh orang ramai.

Kami menggesa kerajaan supaya bekerjasama rapat dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani pelbagai isu berkaitan penduduk warga emas Malaysia memandangkan Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030. Kerajaan mempunyai kurang daripada sedekad untuk menangani masalah yang dibiarkan bernanah sudah terlalu lama. Pelan jangka panjang diperlukan memandangkan banyak persediaan asas diperlukan untuk bersedia dan pandemik semasa tidak menjadikannya lebih mudah.

 

Kenyataan Akhbar,  3 September 2021