Berkebun di Bandar – Temu bual 1
Mageswari Sangaralingam bersama keluarganya yang menetap di Taman Pekaka, Gelugor, menanam lebih 30 jenis tanaman – daripada sayur-sayuran, tumbuhan herba, pohon buah-buahan dan pelbagai jenis bunga, di mana sesetengahnya ditanam ketika ‘lockdown’ mutakhir. Terung putih, kacang bendi, kangkung, cili hijau, peria, labu, bayam Malabar, cekur manis, kesum, kunyit, halia, serai dan limau kasturi; dan daun pudina, pandan serta daun kari yang mereka tanam membolehkan mereka menikmati makanan yang baik dan berkhasiat.
Tumbuhan herba yang ditanam seperti setawar, daun tulsi, Indian borage, daun lidah buaya dan daun sireh mempunyai nilai perubatan dan menjadi bahan rawatan di rumah bila diperlukan. Daun dari pokok pisang yang terbantut pula dijadikan hidangan daun pisang tradisional.
Another view of the garden.
Bagi tumbuhan estetik dan tanaman untuk menarik perhatian serangga pendebunga, terdapat bunga melur, bunga ros, bunga kertas, bunga ros Jepun, Rangoon creeper, tumbuhan ular, bachelor’s button, dan pelbagai paku pakis.
Ikutilah temu bual dengan Mageswari mengenai pengalamannya berkebun yang memberi banyak manfaat kepada beliau sekeluarga.
“Saya tidak pernah berada lama di sesuatu tempat kerana komitmen kerja. Jadi saya tidak pernah menanam apa jua tanaman kerana kesuntukan masa untuk menjaganya. Tetapi pandemik menjadi masa yang tepat untuk saya mula berkebun. Senangnya hati bila tiba musim menuai sambil membahagikannya dengan orang lain. Kami juga memastikan apa yang kami makan segar tanpa sebarang bahan kimia. Makanan yang ditanam, dimakan dan dikongsi membahagiakan kami.
“Satu acara anjuran Forum Kedaulatan Makanan (FKMM) pada 2020 sempena #InternationalSeedsDay menjadi usaha pertama saya untuk menyemai benih sayuran dan menanamnya. Selama ini saya cuma menjaga tumbuhan yang memang sedia ada di kebun kami.
“Saya mendapatkan sedikit biji benih terung putih dari pejabat CAP dan menyemainya dalam pasu. Betapa gembiranya hati saya apabila ia mula bertunas di mana kami kemudian memindahnya ke pasu lain dan meninggikan sedikit tapak semaian dan di atas bebendul jalan. Hari ini kami masih memetik terung yang kami tanam pertama kali pada April 2020.
“Kami juga mendapat biji benih dan anak pokok dari rakan dan saudara yang membersihkan kebun mereka atau mahu memberinya kepada orang lain kerana ketiadaan tempat untuk menanam. Ada juga biji benih yang kami simpan sendiri. Sebahagian biji benih ini bercambah ketika kami mengkompos sisa dapur di kebun. Kesemua biji benih ini dikongsi bersama rakan dan saudara. Jika kami memperolehi buah yang elok, kami simpan bijinya dan kemudian kami serahkan kepada dusun atau kebun di rumah untuk ditanam.
“Kebun di bandar kami memastikan bekalan beberapa jenis sayuran tidak pernah terputus dan sangat bermanfaat dalam waktu pandemik ini. Kami juga jarang ke pasar. Apabila kehabisan sayur atau bekalan makanan, kami cuma perlu memetik sayur dari kebun kami sendiri yang sememangnya segar tanpa bahan kimia.
Kami berkongsi hasil tanaman dengan kawan, rakan sekerja, saudara dan jiran. Seorang wanita yang agak berumur dan mengutip barangan kitar semula di kejiranan kami, di mana kami memberi terung putih kepadanya, dengan gembira mengingati bagaimana ibunya sering menanam makanan yang sama ketika beliau masih kecil.
“Kami menggunakan baja kompos dari dapur dan sisa kebun. Mengkompos mudah dilakukan – anda cuma perlu menggali lubang dalam plot tanah yang kecil dan memasukkan semua bahan ke dalamnya. Memandangkan tanah secara semula jadi kaya dengan mikro-organisma, proses mengkompos menjadi lebih cepat. Untuk menggalakkan pertumbuhan, sekali sekala saya gunakan vermikompos yang dibeli dari CAP. Kakak saya membekalkan najis lembu yang kami turut gunakan untuk tanaman.
“Kami tidak pernah menggunakan racun makhluk perosak atau bahan kimia penghalau serangga, sebaliknya bergantung kepada kaedah semula jadi. Kami menggunakan kaedah manual untuk menghapuskan serangga seperti belalang. Bagi ulat bulu, ia gemar tanaman tertentu di kebun, jadi kami biarkan saja ia memakan daun tanaman. Daun itu akan tumbuh kembali, jadi tanaman induk masih terpelihara. Jika terdapat serangan lalat putih, kami cuma mencantas daun atau batangnya.
Nasihatnya kepada orang ramai: “Sesiapa saja boleh menjadi pekebun bandar yang berjaya. Cubalah. Jika ada sebarang kemusykilan, pasukan CAP sentiasa bersedia untuk membimbing anda.”
#GreenActionWeek Agroecology Fund
Selepas ini: “Saya Tanam Ulam Berkhasiat Saya Sendiri – dan Mengeratkan Hubungan dengan Anak-anak Saya” & “Kurang ke Doktor, Terima kasih kepada Taman Herba Kami”. Nantikan temu bual ke 2 esok.