Laporan baru-baru ini mengenai tindakan pihak berkuasa Singapura mengarahkan agar telur dari sebuah ladang di Kuala Selangor ditarik balik jelas menunjukkan penduduk Malaysia dianggap pengguna kelas ke 2 apabila membabitkan soal keselamatan makanan. Telur itu ditolak kerana didapati tercemar dengan bakteria salmonella enteritidis.
Sekali lagi kita mendengar pihak berkuasa berkata, telur berkenaan tidak dijual di Malaysia dan ia hanya melibatkan beberapa ladang sahaja.
Bukankah pelik kejadian seperti itu tidak dikesan oleh pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu sungguhpun dianggarkan penduduk negara ini mengambil 30 juta telur sehari. Tidak mustahil ramai pengguna Malaysia telah termakan telur yang tercemar tanpa mereka sedari. Bakteria salmonella enteritidis diketahui boleh menyebabkan cirit-birit, sakit perut, demam, loya dan muntah-muntah.
Undang-undang utama yang mengawal keselamatan makanan di negara ini adalah Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Tujuannya adalah untuk melindungi orang ramai daripada penipuan dan bahaya berkaitan makanan, untuk menggalakkan persediaan, pengendalian, pengedaran yang selamat dan penjualan makanan berkualiti tinggi dan sihat.
Memandangkan keselamatan makanan perlu dikekalkan daripada pengeluaran hinggalah kepada pengambilannya, banyak kementerian dan agensi terlibat dalam proses ini. Antaranya ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, pihak berkuasa tempatan dan Kastam (untuk import dan eksport makanan).
Di sebalik kewujudan undang-undang dan badan penguatkuasa yang diamanahkan bagi memastikan warga Malaysia memperolehi makanan yang selamat dan sihat, kita jarang mendengar hasil keluaran tempatan ditarik semula.
Ini bukan kali pertama makanan dari Malaysia ditarik semula di negara asing. Berikut adalah sebahagian daripada kes penarikan yang dilaporkan:
- Pada 2020, pihak berkuasa Singapura menarik semula hirisan buah kundur dari Malaysia selepas dikesan mengandungi sulfur dioksida melebihi paras maksimum yang ditetapkan di bawah Peraturan Makanan Singapura.
- Pada 2019, air mineral yang dibotolkan ditarik semula oleh pihak berkuasa Singapura. Air minuman tersebut didapati mengandungi Pseudomonas aeruginosa – bakteria umum yang terdapat dalam najis, tanah, air dan sisa kumbahan.
- Pada 2018, iceberg lettuceditarik semula oleh pihak berkuasa Singapura selepas ia dikesan mengandungi paras racun makhluk perosak yang tinggi dalam sayuran yang diimport dari ladang di Malaysia.
- Pada 2017, China menolak buahan dari Cameron Highlands akibat kehadiran organisme ubah suai genetik (LMO)*.
- Pada 2016, udang Malaysia, kebanyakannya dari kolam akuakultur Pulau Pinang, ditolak oleh kerajaan AS akibat kehadiran antibiotik yang diharamkan (nitrofuran dan chloramphenicol).
- Pada 2015, kira-kira 300 kumpulan sayuran – kebanyakannya sayuran berdaun dan buahan tidak dibenarkan dijual di Singapura, selepas sisa racun makhluk perosak ditemui dalam sampel melebihi paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Dikatakan 3%-5% sayuran dan buahan dari Malaysia didapati melebihi had racun makhluk perosak yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Singapura.
Sehubungan dengan penarikan semula terbaharu ini, CAP menggesa pihak berkuasa agar:
- Menyiasat semua ladang penternakan ayam-itik di negara ini untuk memastikan ia mematuhi peraturan keselamatan makanan.
- Memantau kaedah ayam-itik diternak yang mungkin menyumbang kepada pencemaran salmonella.
- Menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kelemahan sistem pemantauan kita berhubung keselamatan makanan.
Laporan berulang mengenai produk makanan Malaysia yang tidak selamat oleh pihak berkuasa negara luar jelas menunjukkan pemantauan keselamatan makanan kita masih belum mencukupi.
Sementara itu pengguna dinasihatkan agar memasak telur dengan sempurna sebelum memakannya.
Kenyataan Akhbar, 15 Mac 2021