Bersempena Minggu Tindakan Hijau pada tahun ini, 45 organisasi dari 25 negara bersama-sama berkempen dengan menggunakan tema “Komuniti Berkongsi”. Sehubungan dengan minggu tindakan ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menganjurkan Hari Kongsi Benih ini demi mempopularkan usaha memiliki dan berkongsi benih dalam kalangan pengguna Malaysia.
Sejak beberapa dekad lalu, dalam proses menggalakkan corak pertanian bebas kimia, CAP menyedari akan kesukaran yang dihadapi akibat terlalu bergantung kepada benih yang dicemari bahan kimia, selain kos benih yang tinggi, di mana kesemuanya mendedahkan politik tersembunyi di sebalik benih yang di luar pemahaman orang awam.
Menyedari akan kepentingan benih sebagai kaitan pertama dalam rantaian makanan dan perlunya menyedarkan pengguna berhubung isu ini, CAP menggalakkan usaha memiliki dan menyelamatkan benih tanaman melalui program pendidikan pertanian semula jadi dan berkebun di bandar. Menyelamatkan benih, atau mengumpul dan menyimpan benih tanaman, adalah satu amalan yang bermula daripada asal usul bertani. Belajar menyimpan benih dari tumbuhanlah yang membolehkan kita memulakan usaha bercucuk tanam dan menjadi masyarakat yang bertamadun. Ia menjadi salah satu cara yang murni bagi mengekalkan kepelbagaian hidupan di muka bumi.
Malangnya, berikutan pertanian industri, menyelamatkan benih seolah-olah lenyap sebagai amalan umum pertanian. Perbadanan besar telah menguasai pengeluaran makanan dan benih. Akibatnya, negara yang suatu ketika dahulu dipenuhi petani yang memiliki benih tumbuhan kini bertukar kepada segelintir perbadanan yang mengawal benih.
Vandana Shiva, saintis terkemuka dan pejuang alam sekitar yang sering bercakap mengenai kepentingan corak pertanian yang mapan dan mengekalkan kepelbagaian benih berkata, “benih menjadi sumber kepuasan dalam kehidupan. Benih tercipta untuk membaharui, menjadi berlipat ganda, untuk dikongsi dan disebarkan. Benih adalah kehidupan itu sendiri. Perbadanan seperti Monsanto, Dupont, Syngenta, BASF, Dow telah menurunkan taraf benih kepada pemilikan persendirian. Benih merupakan sumber umum; oleh itu, kita perlu melindunginya demi generasi akan datang.”
Benih yang suatu ketika dahulu menjadi milik petani kini sudah dikuasai oleh syarikat-syarikat besar dengan tujuan mengawal pengeluaran makanan dunia. Kebanyakan benih telah dicambah oleh petani sejak sekian lama. Kini syarikat benih mendakwa adalah tidak sah bagi petani untuk menyimpan benih. Kesan utama daripada tindakan ini ialah monopoli ke atas benih dan pelenyapan pelbagai benih, peningkatan dalam kos dan penggunaan lebih banyak bahan kimia. Akhirnya, pengguna sendiri dinafikan hak untuk mengetahui apa yang mereka makan.
Misalnya, jika petani berhasrat untuk menanam kacang bendi di atas seekar tanah, beliau terpaksa berbelanja antara RM180 – RM240 untuk membeli benih semata-mata bagi satu musim menanam. Ini akan berlanjutan musim demi musim jika petani berkenaan tidak mempunyai benihnya sendiri. Keadaan ini sudah pasti membebankan petani dari segi kewangan. Kos ini boleh dijimatkan jika petani mengumpul dan menyimpan biji benih mereka sendiri. Hakikatnya, pergantungan kepada benih boleh dikurangkan.
Untuk memastikan benih tahan lama, biji benih akan disalut dengan bahan kimia berbahaya yang mengancam kesihatan petani yang mengendalinya ketika bercucuk tanam. Kebanyakan benih terbabit merupakan benih jenis hibrid[i] di mana petani mendapati benih daripada tumbuhan yang sama apabila digunakan untuk penanaman semula kurang menghasilkan tanaman. Oleh itu, petani terpaksa membeli lagi benih yang sama dari syarikat yang sama untuk musim penanaman berikutnya, maka kitaran ini berterusan.
CAP, menerusi program penanaman bebas kimia, selalu memberi amaran kepada petani mengenai bahaya pergantungan kepada benih seumpamanya bagi keseluruhan komuniti petani dan pengeluaran makanan. Dalam tinjauan CAP pada 2015, benih sayuran yang dijual di kedai-kedai di Malaysia dirawat dengan racun serangga generasi kelima, neonicotinoids, yang mampu meracuni saraf. Tidak seperti benih asli, benih ini mempunyai warna. CAP telah memaklumkan kepada Jabatan Pertanian Pulau Pinang berhubung benih yang dicemari neonicotinoids. Dalam tempoh yang sama, CAP juga turut mendesak kerajaan agar tidak menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Pelbagai Jenis Tumbuhan, yang menghalang petani daripada bebas menyimpan, bertukar-tukar dan menjual benih yang mereka miliki.
Satu cara untuk bebas daripada pergantungan benih adalah melalui usaha menyelidiki dan mengenal pasti benih tradisional (iaitu benih yang tidak menjalani ubah suai genetik), mempelajari kaedah mengumpul dan menjaganya, selain berkongsi dan saling bertukar antara sesama petani.
Hari Kongsi Benih anjuran CAP bertindak sebagai platform untuk mengumpul, berkongsi, menyebar dan memperluaskan benih tradisional demi memastikan jaminan, keselamatan dan kemapanannya untuk generasi masa depan.
Untuk menyedarkan lagi pengguna mengenai isu ini, CAP telah menerbitkan buku panduan mengenai untuk menyelamatkan benih. Panduan bergambar ini mempunyai 10 kad bersama penjelasan mengenai bagaimana untuk mengumpul dan menjaga sendiri benih tanaman, contohnya ttumbuhan bachelor’s button, butterfly pea, four o’clock flower, marigold, snake gourd, biji selasih [holy basil], terung, kacang bendi, kacang panjang, betik, ulam raja dan bayam. Ini adalah langkah yang sihat ke arah menggalakkan rakyat Malaysia memiliki benih mereka sendiri, berkongsi atau saling bertukar-tukar serta menggunakannya untuk kegiatan penanaman.
Marilah kita jadikan usaha menyimpan benih sebagai sebahagian daripada kehidupan kita.
[i] In Malaysia – GM vegetables (if any) are not genetically modified. GM crops for food have not been allowed for planting here.
Kenyataan Akhbar, 6 Oktober 2018