Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan kerajaan negeri mengambil tindakan mengharamkan sebarang aktiviti yang menjejaskan hutan di pergunungan negara ini.
Kegiatan pembalakan, pertanian dan perlombongan yang dilakukan dengan berleluasa boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar yang menyumbang kepada kejadian tanah runtuh, banjir lumpur dan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa.
Pada 2021, Malaysia kehilangan 123,000 hektar hutan semula jadi. Lebih 400 hektar hutan di Bukit Cerakah dinyahwartakan oleh Kerajaan Selangor. Hutan Simpan Bukit Cerakah perlu diselamatkan kerana ia kaya dengan flora dan fauna.
Kawasan hutan yang dimusnahkan ini menjadi sumber makanan dan air bagi Orang Asli. Di tanah tinggi Lojing, Gua Musang, lebih 3,000 Orang Asli terancam kehidupan mereka akibat aktiviti pertanian yang menjejaskan alam sekitar di kawasan itu.
Kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2020 mendapati komuniti Orang Asli memastikan alam semula jadi ini kekal dengan nilai $33 trilion terhadap ekonomi global.
Bagi Orang Asli, hutan bukan hanya sebuah kehidupan tetapi ia adalah cara hidup, budaya dan identiti mereka, tanpa hubungan dengan hutan mereka akan kehilangan cara hidup, kehidupan dan budaya.
Selain aktiviti penebangan hutan, aktiviti pembersihan tanah bagi projek perladangan durian juga turut mengancam gunung-ganang di negara kita, contohnya sepertimana yang berlaku di Gunung Lambak, Kluang, Johor, Gunung Inas, Baling dan Gunung Bongsu, Kulim, Kedah.
Kita perlu mengambil pengajaran daripada kejadian di mana lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai serta taman perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air pada 2021.
Manakala banjir dan fenomena kepala air di Baling pula mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.
Kawasan seluas 600 hektar di puncak Gunung Inas yang digondolkan sebelum ini untuk tujuan penanaman ladang durian Musang King berskala besar didapati mengalami kerosakan sangat teruk dan sukar dipulihkan.
Aktiviti perlombongan juga turut menyumbang kepada kemusnahan gunung-ganang di negara ini. Walaupun aktiviti perlombongan kuari pasir yang telah sedia beroperasi itu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa namun perkara ini perlu dikaji semula kerana ia melibatkan kawasan hutan simpan kekal.
Oleh kerana teknologi kini menjadi semakin canggih, maka lebih banyak bahan galian yang tersimpan di perut bumi dapat dieksploitasi dan dengan ini membolehkan syarikat-syarikat perlombongan masuk jauh ke kawasan pedalaman.
Biasanya kawasan yang dijadikan sasaran ialah hutan belantara, kawasan tadahan air dan kawasan yang bergunung-ganang. Kegiatan perlombongan di kawasan ini menyebabkan kerosakan teruk kepada alam sekitar.
Di Kenering, Hulu Perak, Perak satu projek perintis bagi cadangan perlombongan lantanida di kawasan seluas kira-kira 5,339 ekar (2,161 hektar) yang akan dimulakan tidak lama lagi turut mengancam alam sekitar.
Seperti yang dilaporkan dalam Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), projek itu terletak di dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN), yang disediakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Tapak projek ini juga merupakan sebahagian daripada Central Forest Spine 1 Hubungan Utama 8, yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong, Hutan Simpan Bintang Hijau (Hulu Perak), dan Hutan Simpan Belukar Semang.
Di Bukit Buchu, Kuala Nerus, Terengganu juga turut terancam disebabkan oleh hakisan teruk ekoran aktiviti pencerobohan manusia. Kawasan ini mengandungi banyak khazanah berharga sebagai sumber rujukan penting ahli geologi bagi mengkaji zaman prasejarah di negara ini.
Sehubungan itu, CAP menyarankan supaya pihak kerajaan mengambil tindakan segera dengan menghentikan semua aktiviti penebangan hutan, pembersihan tanah untuk pertanian, perlombongan di kawasan pergunungan.
Pihak berkuasa yang berkenaan juga digesa agar segera menanam semula spesies pokok hutan yang bersesuaian bagi memulihkan kerosakan alam sekitar yang berlaku dan mengembalikan semula kawasan ini sebagai mana keadaan asalnya.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 14 Oktober 2022