Selamatkan Penyu yang Terancam

Penyelidik, ahli alam sekitar dan akademik secara konsisten memberi amaran mengenai kehilangan spesies penyu yang tidak ternilai yang akan berlaku. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mematuhi amaran dan mengambil usaha serius bagi menangani masalah itu.

Penyu belimbing satu ketika dahulu pernah menarik ribuan pelancong ke Rantau Abang di Terengganu. Daripada mengagumi fosil hidup ini dalam diam, ia menjadi mangsa penderaan oleh penonton yang ingin tahu dan pengunjung menjadikan tapak bersarang sebagai tempat untuk pesta pantai.

Menurut laporan berita baru-baru ini, Terengganu melaporkan penurunan berterusan dalam pendaratan penyu dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini. Tiada lagi kelihatan penyu belimbing di negeri ini sejak lima tahun lalu. Data Jabatan Perikanan Malaysia merekodkan dua penampakan yang terakhir ialah pada 2017.

Terdapat tujuh spesies penyu di dunia, empat daripadanya sering mengunjungi pantai kita. Ia  adalah penyu belimbing, penyu karah, penyu lipas dan penyu agar. Malang sekali, bilangannya semakin merudum apabila ia terus bersarang, semakin berkurangan di Malaysia. Ia disenaraikan sebagai terancam dalam Buku Data Merah Kesatuan Antarabangsa bagi  Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Terdapat banyak risiko dan ancaman kepada penyu tetapi ancaman daripada manusialah yang mendorong kepupusannya. Antara pemangsa semula jadi yang dihadapi oleh anak penyu yang baharu menetas ialah burung, biawak dan semut yang menyerbu sarang, dan ketam tetapi ancaman semula jadi ini tidak menyebabkan populasi penyu merudum seperti mana interaksi manusia dengan alam sekitar.

Terutamanya, pengambilan telur penyu, perdagangan haram dan tidak terkawal, memburu penyu untuk makanan, ubat-ubatan, dan perhiasan yang diperbuat daripada karapas yang cantik adalah antara ancaman. Faktor penyumbang lain kepada penurunan bilangan penyu ialah perlombongan pasir, kehilangan habitat akibat pembangunan pantai berhampiran tapak sarang utama, terjerat dalam pukat tunda, pukat hanyut dan peralatan menangkap ikan lain.

Penyu juga mati selepas termakan beg plastik apabila ia menyangka beg plastik terapung itu sebagai obor-obor. Pencemaran marin daripada tumpahan minyak dan bahan kimia juga mempunyai kesan serius terhadap kedua-dua penyu laut dan makanan yang ia makan. Suhu yang lebih tinggi daripada kesan perubahan iklim boleh menjejaskan nisbah jantina penyu yang mengakibatkan ketidakseimbangan dalam jantina yang seterusnya mengurangkan peluang pembiakan dan mengurangkan kepelbagaian genetik.

Penyu penting dan sangat penting dalam mengawal selia ekosistem pantai. Dengan meragut pada alga ia menghalang pertumbuhan alga pada terumbu karang. Sebarang penyingkiran spesies yang meragut alga akan mengakibatkan pertumbuhan alga yang besar yang memberi kesan buruk kepada terumbu karang.

Keadaan kesihatan lautan dipertingkatkan dengan kehadiran penyu. Usaha pencegahan untuk mengelakkan kemusnahannya mesti dimulakan dengan tindakan tegas. Pihak berkuasa perlu menangani perlindungan hidupan liar marin kita yang tidak mencukupi ini. Tanpa campur tangan dan pengurusan yang aktif, populasi penyu marin ini dijangka terus menurun sehingga pupus.

Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa kawal selia untuk bekerjasama bagi memastikan undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan dengan lebih berkesan. Kami juga menggesa supaya larangan penjualan telur penyu, mengurangkan pencemaran marin, mengurangkan pemanasan global dan mengekalkan keadaan semula jadi pantai.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Surat Kepada Pengarang, 4 September 2023