Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agama Islam agar diselaraskan dan diwujudkan satu kawasan tanah perkuburan awam bersepadu khusus di mana setiap kawasan itu dirancangkan untuk jangka panjang bagi beberapa generasi akan datang.
Mengulas laporan akhbar tempatan mengenai ruang kubur yang semakin terhad dan akan penuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang, CAP telah menyuarakan perkara ini sejak beberapa tahun lepas. Kini sudah terbukti, tanah perkuburan bagi orang-orang Islam, semakin ketara kekurangan ruangnya.
Keadaan ini menggambarkan betapa tanah-tanah di kawasan bandar tidak mempunyai ruang untuk dijadikan kawasan perkuburan, sedangkan kawasan itu dibolehkan untuk membina bangunan bertingkat, kawasan perumahan dan kedai, kilang dan lain-lain.
Dengan adanya satu kawasan perkuburan awam bersepadu khusus di peringkat negeri dan daerah, maka ia dapat diselaraskan dalam semua urusan, bahkan ia juga dapat menjimatkan tanah terutamanya di lokasi yang disifatkan sebagai segi tiga emas dengan tanah bernilai tinggi.
Di Pulau Pinang, ruang kubur dikatakan semakin terhad dan terpaksa menggunakan sistem bertindan bagi mengatasi masalah kepadatan kubur, manakala di Kuala Lumpur pula tanah perkuburan Islam secara puratanya mampu menampung pengebumian jenazah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun lagi.
Sebahagian besar daripada 29 tanah perkuburan Islam yang terdapat di Kuala Lumpur sudah menggunakan 70 peratus daripada ruang kosong.
Pihak berkuasa agama Islam juga perlu memastikan pengebumian dilakukan berdasarkan hukum dan cara yang betul dalam mengebumikan mayat, bukan cara pengebumian yang penuh dengan kemegahan khurafat, dengan batu-batu nisan dan tembok kekal.
Cara pengurusan pengebumian di tanah suci Mekah seperti di tanah Perkuburan Ma‘ala atau Perkuburan Baqi‘ di Madinah patut dijadikan contoh dalam menguruskan tanah perkuburan di negara kita.
Membina makam dengan konkrit simen, dengan ruang yang dibeli, perhiasan batu tanda dan lain-lain bukanlah perkara betul. Begitu jugalah apabila dibuat upacara memuja keramat dan wali.
Untuk jangka masa panjang, kita juga dapat membentuk masyarakat ke arah pengebumian yang betul mengikut sistem dan hukum. Ini bagi mengelak keadaan yang menjadikan tanah kubur sebagai ‘hak milik kekal’ dengan menempahnya untuk keluarga atau waris mereka.
Selain itu, pihak pengurusan tanah perkuburan juga perlu memastikan di perkuburan itu tidak dibina tembok atau batu nisan yang melampau.
Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya penyembahan khurafat, nazar dan perbuatan bidaah dan juga pemujaan, kerana ia diawasi oleh badan yang diamanahkan. Ia juga dapat melenyapkan sikap berkasta, status dan darjat daripada keluarga dan waris.
CAP berharap agar pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri di seluruh negara dapat memastikan tanah perkuburan orang Islam diselaraskan dan diwujudkan bagi menampung keperluan pengebumian jenazah untuk jangka masa panjang bagi beberapa generasi.
Kenyataan Media, 24 Februari 2021