Siapa Manipulator? – CAP Tanya Ketua Menteri YAB. Chow Kon Yeow

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak dapat memahami kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB. Chow Kon Yeow bahawa terdapat “orang tertentu” memanipulasi maklumat mengenai projek Transit Aliran Ringan (Light Rail Transit – LRT) dan Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation – PSR) untuk kepentingan mereka sendiri sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar harian bertarikh 24 Julai 2019.

YAB. Chow menyatakan kerajaan Pulau Pinang tidak menyembunyikan sebarang maklumat dan menggesa orang ramai untuk tidak percaya media digital dan melihat gambaran yang lebih besar.

Apakah gambaran yang lebih besar itu? Gambaran yang lebih besar itu ialah sumber asli Negeri akan musnah, nelayan kehilangan kehidupan mereka akibat kehilangan sepenuhnya kawasan penangkapan ikan akibat projek tambak laut, bukit ditarah bagi pembangunan lebuh raya dan projek lain, dan orang awam terpaksa berhadapan dengan banjir dan tanah runtuh.

Pulau kecil seperti Pulau Pinang tidak memerlukan LRT tetapi pertimbangan boleh diberikan kepada Autonomous Rail Transit (ART) dan Bus Rapid Transit (BRT). Kerajaan Pulau Pinang tidak berusaha untuk menjelaskan kenapa mereka memihak kepada LRT berbanding ART atau BRT malah selepas pelbagai usaha dibuat untuk mendidik mereka berhubung cara terbaik untuk mencapai situasi di mana kerajaan dan orang awam berpuas hati dengan hasilnya.

Dr. Lim Mah Hui dari Penang Forum berusaha dengan berulang kali menekankan akan kebaikan ART, malangnya ia ditolak. Kenapa begitu? Tanya CAP.

Sekian lama, Dr. Lim menyatakan bahawa faktor seperti saiz penduduk, penumpang, kos kewangan dan kelestarian, isu alam sekitar (pencemaran bunyi dan visual) mestilah diambilkira untuk menentukan jenis sistem pengangkutan awam yang paling sesuai untuk Pulau Pinang.

Dr. Lim menjelaskan bahawa Konsortium SRS menganggarkan penumpang awal (pada 2023) ialah 42 juta setahun atau 115,000 sehari, sebagai satu bilangan yang tidak realistik. Laluan MRT mempunyai bilangan penduduk 1.2 juta orang sedangkan bilangan penduduk di Georgetown dan bahagian selatan Pulau Pinang ialah kurang 350,000 orang.

Perbandingan lain yang berkaitan oleh Dr. Lim ialah jumlah penumpang harian Rapid Pulau Pinang yang berjumlah hanya 90,000 selepas lebih daripada 10 tahun beroperasi dengan 305 bas berulang alik di 71 laluan seluruh negeri.

Dr. Lim juga menunjukkan bagaimana penumpang harian sebenar laluan rel Kuala Lumpur (LRT, monorel dan MRT) jauh lebih rendah daripada sasaran penumpang yang diramalkan malah selepas beroperasi selama dua dekad.

Penumpang sebenar bagi LRT1 ialah 97% (selepas 20 tahun); 66% bagi LRT2 (selepas 21 tahun) dan 47% bagi monorel (selepas 16 tahun). Dilaporkan bahawa MRT1 memulakan operasi pada pertengahan 2017 dan berbanding kepada 400,000 penumpang harian yang disasarkan, angka sebenarialah 149,000 dalam suku ketiga 2018.

Roger Teoh, penuntut PhD pengangkutan di Imperial College, mengemukakan kebimbangan yang sama sepertimana yang dikatakan oleg Dr. Lim, “Ramalan 42 juta penumpang tidak realistik telah dikemukakan empat kali kepada umum tetapi kami masih belum mendengar maklum balas daripada kerajaan Pulau Pinang.”

Roger Teoh juga menunjukkan bahawa daya maju kewangan projek LRT dan kedudukan kewangan negeri boleh terancam jika ramalan penumpang yang lebih realistik digunakan. Bukan hanya ramalan manfaat ekonomi akan menjadi lebih rendah, kehilangan hasil tiket juga sekurang-kurangnya RM120 juta setahun (bersamaan 24 peratus daripada anggaran hasil pendapatan bagi Belanjawan Negeri Pulau Pinang pada 2019).

Jelas bahawa kerajaan negeri cuba untuk memanipulasi maklumat di sini. Sehubungan itu, CAP menggesa Ketua Menteri menjelaskan kepada orang ramai berhubung manipulasi angka penumpang bagi LRT dan ramalan penduduk bagi projek Tambak Selatan Pulau Pinang (PSR).

 

Kenyataan Akhbar, 25 Julai 2019