Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) supaya menjalankan tinjauan dan siasatan di kilang-kilang yang beroperasi di Taman Industri Seri Juru terutama lesen, status pemilikan tanah, sistem perparitan dan sama ada sisa buangan yang dilepaskan terawat atau sebaliknya.
Tinjauan serta pemerhatian yang kami lakukan mendapati bahawa kilang yang beroperasi kebanyakannya adalah dalam kategori industri berat malah ada segelintir yang tidak mempamerkan papan tanda kilang. Selain itu terdapat lambakan bungkusan sisa plastik yang mana ia mungkin untuk dijadikan bahan proses kitar semula. Sama ada plastik import atau bukan tidak dapat dipastikan namun bungkusan-bungkusan besar plastik terbabit dapat dilihat dengan jelas dari luar serta dalam ruang dalaman premis berkenaan.
Kami juga mendapati beberapa kolam ternakan akuakultur yang beroperasi bersebelahan tapak industri ini. Selain dari itu air dari saliran-saliran parit yang terdapat di kawasan industri ini kelihatan berwarna hitam dan berbau seolah dicemari dengan buangan sisa kumbahan yang tidak dirawat dan bahan pencemar lain. Apatah lagi dibahagian parit besar (Parit Kawalan JPS – PT. 10- Bukit Minyak) yang menjadi penghubung utama bagi sebahagian saliran longkang atau parit kecil di sini.
Tambahan, dapat dilihat mendapan lumpur yang sangat ketara apabila air surut. Pihak berkuasa berkenaan perlu menyiasat punca lumpur terbabit sama ada dari aktiviti akuakultur atau sebaliknya. Apa yang membimbangkan ialah air kotor yang tercemar tersebut langsung memasuki muara Sungai Jawi apabila pintu air dibuka.
Kebimbangan SAM adalah tentang kualiti airdi kawasan ini, dalam muara sungai yang berdekatan dan hidupan marin serta kesan kepada masyarakat nelayan yang berhampiran. Kami sempat menemubual secara rambang beberapa orang awam yang sedang memancing berdekatan muara sungai berkenaan tentang aliran air yang kelihatan kotor dan berwarna hitam. Mereka menyatakan banyak kali mereka melihat air berwarna hitam pekat memasuki ruangan pintu air dan seterusnya dilepaskan ke dalam Sungai Jawi. Mereka juga menyoalkan tahap pencemaran dari industri dikawasan berkenaan.
Pihak-pihak yang berwajib perlu memberi perhatian berat ke atas isu ini memandangkan kawasan ini agak terpencil, jauh dari laluan orang ramai dan dengan itu mungkin berlaku kegiatan haram. Jika siasatan yang dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa mendapati operasi haram serta yang mencemar dalam kalangan industri di sini maka tindakan yang sewajarnya yang bertepatan dengan undang-undang perlu diambil.
Sehubungan itu, SAM menggesa pihak berkuasa berkenaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti tidak sah dan mencemar. Pencemaran di sini perlu dibendung sebelum ianya menjadi lebih serius.
Kenyataan Media, 27 April 2021