Ucapan oleh En. Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pada majlis CAP’s Seeds Fair yang diadakan pada 23 April 2022, bertempat di Pejabat CAP, No. 10, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang.
Selamat datang ke majlis CAP’s Seeds Fair, yang diadakan sempena Hari Benih Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 26 April. Kita berkumpul di sini untuk meraikan benih dan menggalakkan perkongsian dan penyimpanan benih.
Benih adalah hubungan pertama kita kepada rantaian makanan dan penting bagi kehidupan. Selama ini komuniti pertanian memerhati, memilih, menjaga, membiak dan menyimpan biji benih. Secara tradisi pertukaran biji benih yang biasa dilakukan dalam kalangan komuniti dan petani membolehkan tanaman untuk menyesuaikan dengan keadaan, iklim yang berbeza dan berdepan dengan pelbagai cabaran tanah-tanih, serangga dan penyakit. Bagaimanapun, pertanian skala industri dan desakan benih komersial telah menghakis bukan hanya kepelbagaian benih tetapi sistem benih petani.
“Disebabkan benih begitu berpusat kepada sistem makanan dan budaya orang ramai, tindakan mengawal benih ialah mengawal kehidupan,” kata Michael Fakhri, Pelapor Khas mengenai hak untuk makanan, dalam laporan terbaharunya kepada Majlis Hak Asasi Manusia. Laporan itu selanjutnya menyatakan bahawa sejak manusia bergantung kepada tumbuhan untuk makanan, bahan makanan, serat dan fungsi ekosistem, tidak lebih daripada hak untuk hidup menjadi taruhan apabila sistem benih petani dicabar atau mendapat sokongan yang lemah.
Oleh itu adalah penting bagi kita untuk menjaga benih dan jauhkan ia daripada cengkaman korporat. Undang-undang benih dan hak varieti tumbuhan sentiasa disemak semula untuk menyesuaikannya dengan permintaan industri benih dan bioteknologi. Matlamat akhir sektor perniagaan adalah untuk memastikan mustahil bagi petani untuk bebas menyimpan, menanam semula, menukar, dan menjual benih dan dengan itu menjadikan mereka bergantung kepada pembelian benih. Contohnya Kenya baru-baru ini memperkenalkan undang-undang baharu untuk memastikan bahawa semua benih yang dijual atau diedarkan di negara itu disahkan, oleh itu menjenayahkan penjualan varieti tumbuhan yang tidak diindeks.
Ini mungkin berlaku di Malaysia kerana dengan menandatangani perjanjian perdagangan bebas tertentu Malaysia akan dikehendaki menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (yang dikenali sebagai UPOV91). UPOV91 akan menimbulkan beberapa sekatan untuk menggunakan benih yang disimpan petani, bahan cambahan varieti yang dilindungi PVP dan melarang pertukaran dan penjualan oleh petani.
Di Honduras, Persatuan Kebangsaan bagi Promosi Pertanian Organik (ANAFAE), sebuah kumpulan yang menyokong pertanian organik dan kedaulatan makanan menyuarakan bantahan terhadap undang-undang PVP sejak ia diluluskan pada 2012, dan pada 2016, mengambil tindakan undang-undang untuk mengisytiharkan bahawa ia tidak mengikut perlembagaan. Pada 2021, Mahkamah Agung Keadilan Honduras mengisytiharkan undang-undang PVP tidak ikuti perlembagaan dengan menyatakan antara lain ia seperti serangan ke atas kedaulatan negara dan hak untuk menentukan sendiri, di samping mencabuli prinsip perlembangaan bagi kehidupan, maruah manusia, dan hak rakyat Honduras.
Sehingga sekarang akibat daripada tindakan oleh pertubuhan masyarakat sivil kita mampu untuk menangguh Malaysia daripada menyertai UPOV91 dan juga penanaman tanaman ubah suai genetik di sini. Namun begitu, tekanan semakin meningkat contohnya cadangan Rang Undang-undang Kualiti Benih Tanaman untuk dibentangkan di Parlimen. Biji benih yang berkualiti amat penting kepada petani dan pengguna. Bagaimanapun, Rang Undang-undang Kualiti Benih Tanaman mungkin memberikan kesan yang jauh melangkaui kawalan “kualiti benih”, dengan menafikan hak petani dalam melaksanakan sistem benih petani sementara menyokong pengeluar benih komersial.
Sebagai petani dan pekebun, kita perlu menyedari cubaan untuk mengawal benih kita. Laporan Pelapor Khas itu merumuskan bahawa lebih banyak sistem benih mengakui dan menyokong petani sebagai pengelola sistem benih untuk semua, lebih-lebih lagi sistem ini memenuhi hak asasi manusia. Sistem benih yang berkembang dan berdaya tahan merupakan kunci kepada hak untuk kehidupan dan makanan sepenuhnya.
CAP telah lama mempromosikan agroekologi, pertanian bandar dan perkongsian benih melalui acara seperti ini dan telah menubuhkan rizab benih komuniti yang mempunyai koleksi sayuran dan herba tempatan yang ditanam secara organik. Anda bebas untuk menyebarkan dan bertukar benih-benih ini. Sebarang gangguan terhadap hak untuk menukar benih, sistem benih petani dan kedaulatan benih kita akan dicabar memandangkan benih amat penting bagi kemanusiaan. Benih yang merupakan warisan semula jadi kita perlu berada di tangan kita.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
23 April 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/