Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa pada 2017 kira-kira 80% antibiotik digunakan ke atas ternakan ladang. Lebih banyak antibiotik digunakan pada haiwan berbanding manusia.
Antibiotik digunakan ke atas ternakan ladang sebagai mencepatkan pembesarannya, untuk mencegah wabak penyakit dan untuk merawat haiwan yang sakit.
Penyalahgunaan antibiotik dalam ternakan ladang dikatakan menjadi penyebab lebih besar ketahanan bakteria berbanding penyalahgunaannya sebagai ubat untuk manusia.
Menurut PBB, penternakan ladang secara intensif membabitkan pengeluaran 72% ayam-itik, 42% telur dan 55% daging babi di seluruh dunia.
Mengikut laporan kajian pada April 2018 dalam Journal of Food Protection, “Sisa … antibiotik (yang digunakan) dalam daging ayam-itik ditemui … dalam pelbagai kajian di seluruh dunia dan dianggap menjadi salah satu penyebab ketahanan antibakteria dalam patogen manusia. Kehadiran sisa antibiotik dalam daging ayam-itik dan produk berdaging yang jauh melebihi paras maksimum dibenarkan menjadi suatu hal yang amat membimbangkan.”
Satu lagi kajian yang diterbitkan dalam jurnal, Food Control (Oktober 2017) menunjukkan sisa antibiotik pada paras tinggi dalam daging, susu dan produk akuatik.
Kajian tersebut mengesan sisa 20 antibiotik umum di dalam 125 sampel ternakan biasa serta di dalam daging ayam-itik, susu dan produk akuatik di Shanghai, China.
Hasil penemuan itu: 15 daripada 20 antibiotik ditemui dengan kekerapan dikesan secara keseluruhan 39.2%.
Antibiotik ditemui dalam 28.6% ternakan dan daging ayam-itik (35.3% bagi daging babi dan 22.2% bagi daging ayam), 10.6% bagi susu, dan 52.1% bagi produk akuatik.
Adakah daging dan produk akuatik di Malaysia juga mengandungi sisa antibiotik? Pada Mei 2016, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS mengharamkan udang dari Malaysia kerana didakwa mengandungi dua antibiotik yang diharamkan, chloramphenicol dan nitrofuran.
Anehnya, kedua-dua antibiotik itu telah diharamkan penggunaannya di Malaysia sejak 1985. Namun ia masih dikesan dalam produk ternakan akuatik kita — selain ditemui dalam produk daging dari ladang ternakan.
Pada penghujung 1980-an, siasatan CAP mendapati daging babi dan ayam-itik dari ladang ternakan komersial menggunakan chloramphenicol. Pada 2002, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa sisa antibiotik nitrofuran dan chloramphenicol ditemui dalam daging ayam yang diuji.
Pada November 2012, Pihak Berkuasa Veterinar Kerajaan Negeri Sarawak mengharamkan import sesetengah produk makanan yang diproses ke negeri itu berikutan chloramphenicol dikesan dalam sampel frankfurter ayam.
Dalam tinjauan CAP mendapati penggunaan antibiotik tanpa kawalan di ladang ternakan ayam-itik dan babi secara komersial di samping penjualan antibiotik di kedai yang menjual makanan haiwan. Sehingga Januari 2016, CAP mendapati antibiotik erythromycin dijual secara bebas di kedai yang menjual makanan haiwan di Kedah dan Perlis.
Kami dimaklumkan antibiotik itu disarankan untuk diberikan secara rutin kepada haiwan bagi mencepatkan pembesarannya.