Situasi Rumah Jagaan Orang Tua

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan berita bahawa orang tua dalam rumah jagaan di Seremban, Negeri Sembilan didakwa didera secara sistematik dan berterusan. Pekerja di situ mendakwa orang tua dipaksa minum air kencing, memakan cili dan diberikan lebih banyak ubat tidur berbanding daripada apa yang ditentukan. Mereka yang bertanggungjawab terhadap tindakan yang kejam ini perlu dihukum.

Bagaimana perkara ini boleh dibenarkan berlaku apabila pusat jagaan sepatutnya menyediakan perlindungan, penyeliaan, pemulihan dan latihan?

Kami memahami bahawa banyak rumah jagaan beroperasi tanpa berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak berkuasa yang mengawasi semua pusat jagaan. Terbukti tiada tindakan diambil terhadap rumah jagaan yang menyeleweng ini dan ini menggambarkan kelemahan bahagian penguatkuasaan JKM. Di bawah Akta Pusat Jagaan 1993, pegawainya mempunyai hak untuk memasuki premis bagi menentukan kesihatan dan kesejahteraan penghuni.

Situasi ini tidak boleh berterusan. Kita hidup dalam masyarakat di mana jangka hayat telah meningkat tetapi masih dibelenggu oleh masalah kesihatan berkaitan usia seperti diabetes, tekanan darah tinggi, dementia dan banyak lagi yang memaksa orang tua bergantung kepada generasi muda.

Walau bagaimanapun, realitinya tidak semua anak-anak yang sudah dewasa mampu untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah berusia. Ini menyebabkan orang tua yang ditempatkan pusat jagaan orang tua semakin meningkat.

Orang tua yang berada di rumah jagaan sering dikunjungi oleh ahli keluarga mereka dan ini menjadikan kami hairan bagaimana ahli keluarga itu tidak menyedari jika orang tua itu didera. Jawapannya ialah orang tua itu sendiri yang menyembunyikan penderaan yang dilakukan terhadap mereka.

Dinyatakan dalam artikel itu mengenai dakwaan kes penderaan di Seremban, orang tua itu menyembunyikan penderaan yang dilakukan ke atas mereka disebabkan mereka takut kesan yang lebih buruk berlaku jika ia diketahui.

Oleh itu, mestilah terdapat undang-undang yang lebih baik dan penguatkuasaan yang tegas untuk melindungi penghuni pusat jagaan, tidak kira tua atau muda, daripada menderita didera oleh mereka yang sepatutnya menjaga mereka.

Pada Mac 2018, Akta Perkhidmatan dan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Orang Tua Persendirian atau Akta 802 diterbitkan dalam Warta Persekutuan; tetapi sehingga sekarang Akta 802 masih belum dikuatkuasakan. Kita masih belum meneroka undang-undang yang baharu ini dan masih belum jelas jika ia mengawal semua rumah jagaan atau hanya yang menyediakan penjagaan perubatan?

Dalam kes yang didakwa penderaan di Seremban, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Negeri berkata tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pusat jagaan jika didapati melanggar undang-undang. Kita tidak boleh bersikap naif dan berpuas hati dengan meyakinkan diri sendiri bahawa ini adalah hanya satu insiden yang terasing. Jika penderaan boleh berlaku di satu rumah jagaan, ia juga boleh berlaku di mana-mana rumah jagaan di seluruh negara.

CAP menggesa JKM supaya mengambil langkah proaktif untuk menjalankan pemeriksaan berjadual secara mengejut (jika belum melakukannya) di semua premis yang mendakwa menjadi pusat jagaan walaupun tidak terdapat aduan yang dibuat.

 

Surat Kepada Pengarang, 21 Jun 2019