Sokong Gesaan Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang Dibatalkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong gesaan oleh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, bagi Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation – PSR) dibatalkan.

Kami juga ingin memberikan maklum balas kepada ulasan oleh Zairil Khir Johari, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan yang antara lain mendakwa projek itu dikenal pasti oleh kerajaan negeri sebagai “pendorong pemulihan utama negeri”.

Zairil mengaitkan dengan apa yang dikatakannya dengan “kajian bebas” yang disediakan oleh Pricewaterhouse Coopers (PwC) berdasarkan trajektori perindustrian Pulau Pinang sebelum ini yang “akan membawa RM70 bilion daripada pelaburan langsung asing (FDI) dan mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan dalam tempoh masa 30 tahun.”

Kami tidak melihat kajian ini dan oleh sebab itu tidak dapat mengesahkan bilakah ia dilakukan iaitu sama ada sebelum negara dan dunia dilanda pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan ketara bagi semua ekonomi. Kami juga tidak tahu apakah asas kenyataan lapuran tersebut dan oleh yang demikan, tidak dapat menerima dakwaan tersebut.

Seterusnya, kajian PwC ini tidak pernah dirujuk sebelum ini sebagai asas untuk projek PSR tetapi muncul kini kerana mungkin difikirkan kemudian, berikutan bantahan kuat terhadap projek daripada NGO dan pihak lain, berdasarkan aspek sosio-ekonomi dan sains yang kukuh dan berasas.

Tambahan lagi, menurut laporan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Conference on Trade and Development – UNCTAD) yang dikeluarkan pada tahun lepas, “Kemerosotan ekonomi akibat kejutan Covid-19 sedang berlaku dan semakin sukar untuk diramalkan tetapi terdapat petanda jelas bahawa sesuatu yang semakin buruk bagi ekonomi negara membangun akan berlaku sebelum ianya bertambah baik.” Jadi terdapat ketidaktentuan terhadap ekonomi dan dakwaan aliran FDI perlu diteliti semula.

Walaubagaimana pun, persoalan utama ialah kenapa menebus guna 4,500 ekar tanah di kawasan alam sekitar yang sensitif? Fakta bahawa tapak projek tersebut berada di kawasan alam sekitar yang sensitif tidak dipertikaikan.

Tambak laut untuk tiga pulau ini akan melibatkan longgokan kira-kira 190 juta meter padu bahan isian terdiri daripada pasir dan batu ke dalam laut. Ini tidak mengambilkira bahan pada skala besar yang perlu diambil dari luar kawasan itu dan apakah kesan yang akan melibatkannya.

Jumlah ini adalah bersamaan saiz 76,000 kolam renang bersaiz olimpik dibina di laut. Disebabkan tebus guna ini berlaku di bawah air, hasil skala kerosakan yang besar ini tidak disedari dan tidak dapat dilihat. Bayangkan jika ini di atas tanah!

Malah Jabatan Alam Sekitar (JAS) apabila meluluskan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk projek tersebut mengakui bahawa akan terdapat kesan negatif kekal yang amat ketara kepada sumber perikanan, nelayan dan jaminan keselamatan makanan.

Kelulusan EIA oleh Ketua Pengarah JAS sedang dicabar oleh kumpulan nelayan yang akan terjejas oleh projek PSR melalui proses perundangan yang dibenarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan akan didengar pada pertengahan bulan depan. Rayuan ini oleh nelayan memberi peluang untuk menyemak asas, kewajaran kelulusan EIA oleh Ketua Pengarah.

Semua dakwaan kelestarian alam projek ini oleh Kerajaan Negeri termasuk langkah mitigasi dan offset yang akan dilakukan sedang dicabar secara perundangan dan ia menjadi subjek utama pertikaian.

Pada hakikatnya rayuan ini tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu meneruskan projek tanpa menunggu hasil rayuan. Ia bertentangan dengan tadbir urus yang baik dan penghormatan kedaulatan undang-undang.

Kembali kepada punca utama kontroversi – kenapa korbankan kawasan sensitif alam sekitar  memandangkan kerajaan negeri boleh menjalankan pembangunan yang dicadangkan itu di tanah besar Pulau Pinang, iaitu di Seberang Perai, jika ini memang perlu.

Isu ini bukanlah dilemma ‘sama ada atau tidak’, iaitu pembangunan lawan pemuliharaan kawasan alam sekitar yang sensitif. Kita boleh mempunyai kedua-duanya jika kerajaan negeri sanggup untuk mempertimbangkan peluang alternatif di kawasan Seberang Perai.

Zairil merujuk kepada kebimbangannya bahawa penduduk Pulau Pinang “akan meninggalkan pulau ini untuk mencari peluang yang lebih baik di tempat lain” jika projek ini tidak dibangunkan. Ini tidak sepatutnya demikian. Sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang serius mengenai mewujudkan pekerjaan mampan sebenar termasuk di Seberang Perai ia boleh lakukannya tanpa mengorbankan kehijauan di negeri ini.

Pada hakikatnya, memandangkan kepada pandemik dan kesannya ke atas ekonomi dan pekerjaan terdapat banyak bukti bahawa ramai orang di negara ini terutamanya golongan berpendapatan rendah, kembali ke laut untuk menangkap ikan dan ke tanah bagi berkebun untuk menyara keluarga mereka dan untuk menambah pendapatan bagi menyara kehidupan.

Sudah pastinya kita mesti memulihara kekayaan sumber biodiversiti yang wujud di lautan.  Jangan korbankannya untuk keuntungan ilusi pada masa depan!

Apa yang paling membimbangkan kami ialah berdasarkan rancangan semasa dan trajektori  kerajaan negeri, tidak ada apa lagi yang hijau yang ada di Pulau Pinang, memandangkan kita akan kehilangan ekosistem kita yang amat berharga ini.

Pada 5 Jun ini kita akan menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia dan 8 Jun pula ialah Hari Lautan Sedunia.

Demi untuk kelangsungan alam sekitar dan lautan kita, kami sekali lagi mengulangi sokongan kepada gesaan oleh Nurul Izzah bagi projek tambak laut PSR dibatalkan kerana  pandemik Covid-19 yang perlu ditangani harus diutamakan, dan dalam usaha untuk memulihara kawasan perikanan yang amat bernilai, kehidupan nelayan dan jaminan keselamatan makanan negara.

 

Surat Kepada Pengarang, 2 Jun 2021