Subsidi bersasar adalah cara terbaik

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan pengumuman oleh kerajaan mengenai rancangan untuk melaksanakan subsidi bahan api bersasar bagi mereka dalam kumpulan Bawah 40 (B40). Kami menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaannya kerana perang di Ukraine tidak mungkin akan berakhir tidak lama lagi dan bertentangan dengan apa yang difikirkan oleh sesetengah pengguna, subsidi datang daripada pembayar cukai. Oleh sebab itu, ia tidak menguntungkan Malaysia atau rakyat.

Malah, perang di Ukraine adalah satu peringatan untuk Malaysia. Ia menyebabkan indeks minyak mentah Brent melebihi USD130 setong pada awal Mac, tertinggi dalam tempoh 14 tahun. Sehingga kini harga masih kekal tinggi melebihi USD80 setong.

Pada masa ini kerajaan memberikan subsidi petrol RON 95, diesel, dan gas petroleum cecair (LPG) dan mantan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menganggarkan subsidi sahaja akan menelan kos sebanyak RM28 bilion pada 2022.

Harga petrol bersubsidi Malaysia (RON 95) menjadikannya paling berpatutan dalam kalangan sembilan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) yang disenaraikan. Harga petrol di Malaysia adalah 47.44 peratus lebih rendah daripada Indonesia (RM3.90) dan 54.24 peratus lebih rendah daripada Vietnam (RM4.48).

Sebenarnya, sistem subsidi semasa secara menyeluruh adalah cacat kerana ia memberi manfaat kepada golongan kaya berbanding golongan miskin. Alasannya kerana kebanyakan kereta, termasuk banyak kereta mahal, juga boleh menggunakan RON95 dan ini bermakna bahawa subsidi harga petrol akan diagihkan secara tidak sekata antara pelbagai kumpulan berpendapatan dengan mereka dalam kumpulan berpendapatan rendah mendapat faedah yang paling kurang kerana mereka lebih berkemungkinan kurang memiliki kenderaan dan kenderaan yang dimiliki pula dengan kapasiti enjin yang rendah.

Lebih-lebih lagi, petrol bersubsidi juga terbuka kepada penyalahgunaan seperti penyeludupan diesel. Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengguna pakai sistem kad subsidi elektronik bagi memberi subsidi bersasar kepada golongan B40 bagi pembelian RON 95, gas memasak (LPG), minyak masak dan juga barangan harga terkawal lain seperti yang ditentukan kerajaan. Kumpulan 40 Pertengahan Bawah (M40) juga perlu diberikan bantuan.

Kerajaan boleh mengkreditkan subsidi bulanan minimum secara tetap ke dalam kad subsidi elektronik seseorang yang boleh digunakan oleh orang itu untuk membeli petrol, minyak masak, gas memasak, dan apa sahaja yang kerajaan putuskan untuk memberi subsidi. Untuk membuat pembelian, seseorang itu hanya perlu menunjukkan kad pengenalannya untuk tujuan pengesahan.

Subsidi menyeluruh adalah tidak mampan kerana ia membebankan kewangan negara. Pada 2020, kerajaan membelanjakan RM4.66 bilion untuk jumlah subsidi; pada 2021, RM13.13 bilion; dan pada 2022, hampir RM80 bilion yang dikatakan sebagai “tertinggi dalam sejarah”.

Pada jumlah RM80 bilion, subsidi ini adalah lebih daripada peruntukan RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan atau RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan pada 2022, hanya RM5 bilion kurang daripada peruntukan bagi kedua-dua Kementerian itu apabila digabungkan!

Dengan penjimatan subsidi ini, kerajaan perlu menambah baik pengangkutan awam yang secara amnya masih kekurangan di negara ini, memastikan perkhidmatan yang kerap serta memastikan sistem bas pengantara yang cekap untuk kemudahan yang lebih baik kepada penumpang.

Mengeluarkan kad subsidi elektronik kepada golongan miskin, dan kawalan harga makanan yang berkesan, perlu menjadi keutamaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Kad subsidi elektronik ini agak mudah dilaksanakan memandangkan kerajaan sudah mempunyai pangkalan data penerima B40 bagi pelbagai bentuk bantuan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) juga perlu mempunyai data mereka yang berada dalam kumpulan bawah M40.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 2 Disember 2022