SUMBER PERIKANAN NEGARA DIANCAM KEPUPUSAN

Anak ikan musnah akibat penggunaan pukat tunda

Sektor perikanan di Malaysia ketika ini semakin malap berikutan ancaman ke atas hidupan laut yang berterusan sejak lebih 40 tahun yang lalu. Keadaan yang membimbangkan itu bukan saja melibatkan jumlah pendaratan ikan yang berkurangan tetapi juga keluhan dan rintihan puluhan ribu nelayan yang terjejas sumber pendapatan akibat kemerosotan hasil tangkapan.

Namun begitu sehingga kini tidak ada tindakan berkesan yang diambil ke atas punca-punca yang boleh membawa padah kepada salah satu sektor penting yang membekalkan keperluan protein.

Bot pukat tunda menimbulkan masalah kepada sumber perikanan negara.

Menurut Jabatan Perikanan, stok ikan dalam perairan Semenanjung Malaysia sekarang berada pada paras kritikal apabila biomass sumber perikanan demersal semasa direkodkan hanya berbaki 4.4 peratus saja pada masa ini berbanding 60 tahun yang lalu. Stok ikan semakin merosot dan sumber hasil laut negara hanya mampu bertahan dalam tempoh kurang 30 tahun saja lagi.

Kajian Jabatan Perikanan tersebut pada 2016 mendapati stok ikan demersal seperti spesies gelama, kerisi, lolong bara, udang dan sotong semakin menyusut daripada 473,345 tan metrik kepada 21,002 tan metrik. Ini menunjukkan stok ikan di Semenanjung Malaysia kini berada pada tahap merah dan memerlukan pemuliharaan segera.

Penggunaan pukat tunda dan lain-lain peralatan tangkapan yang memusnahkan benih ikan dan tempat semulajadi pembiakannya termasuk projek penambakan laut, pencemaran dan kemusnahan hutan paya bakau merupakan ancaman yang menyumbang kepada masalah  kepupusan sumber perikanan di perairan negara ini.

Sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60% anak ikan. Ini termasuklah spesies anak ikan berkualiti tinggi seperti jenahak, merah, kerisi, bawal, gelama, kerapu termasuk anak sotong dan ketam  serta ikan rakyat iaitu kembung turut menjadi mangsa. Jika anak-anak ikan tersebut dibiarkan membesar ia boleh mendatangkan hasil pendapatan yang lumayan kepada golongan nelayan pantai.

Di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, selain masalah pencerobohan bot pukat tunda yang mengancam sumber perikanan dan mata pencarian nelayan-nelayan pantai di negeri tersebut, aktiviti bot rawa sorong, kisa, siput retak seribu, apollo dan bubu naga turut membebankan lagi kedudukan sumber perikanan di perairan negeri-negeri itu sehingga pendapatan mereka terjejas mencecah 70% setiap kali turun ke laut.

Manakala di Pulau Pinang, Melaka dan Perak puluhan ribu nelayan pantai mengeluh serta bimbang kerana hasil tangkapan mereka semakin  berkurangan. Ikan, udang, ketam, siput dan kerang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka kini telah pupus dan berkurangan akibat projek tambak laut dan kemusnahan hutan paya laut.

Justeru itu adalah perlu punca-punca ancaman ke atas sumber perikanan diberi perhatian serius dan diambil tindakan berkesan bagi mengawalnya. Peralatan tangkapan yang terbukti memusnahkan benih ikan seperti pukat tunda wajar diharamkan penggunaannya. Akta Perikanan 1985 mesti dikuatkuasakan dengan tegas agar perbuatan pelanggaran peraturan yang termaktub di bawahnya dapat dibanteras.

Hong Kong, Indonesia, Palau, Belize dan Jepun telah mengharamkan penggunaan pukat tunda kerana ia memberi kesan buruk ke atas sumber perikanan di negara tersebut. Langkah ini turut disokong oleh Amerika Syarikat, Australia, Brazil dan Jerman. Para saintis meramalkan bahawa jika pukat tunda terus beroperasi lautan mungkin ketandusan sumber menjelang 2048.

Kerajaan-kerajaan negeri dan kementerian yang terlibat perlu memberi keutamaan kepada aspek alam sekitar dan sumber-sumber semulajadi dalam apa jua perancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan. Projek akuakutur yang memusnahkan hutan paya bakau dan aktiviti penambakan laut hendaklah dihentikan demi kesejahteraan hidup golongan nelayan dan masa depan sektor perikanan negara.

 

Surat kepada Pengarang, 14 Ogos 2020