Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mendedahkan hasil siasatan tersebut kepada umum punca sebenar berlakunya pencemaran Sungai Dingin dekat Serdang baru-baru ini.
CAP kesal walau pun sungai ini sudah lapan tahun mengalami masalah itu namun hingga sekarang puncanya masih belum dikenal pasti oleh pihak berkenaan.
Mengulas laporan akhbar tempatan ( Sinar Harian : 26 Mac 2015 ) mengenai keresahan penduduk di tiga buah kampung yang terlibat dengan ancaman pencemaran ini, CAP turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membantu JAS menyiasat dari mana datangnya sisa buangan toksik yang mencemarkan air sungai tersebut sehingga menyebabkan ikan di dalamnya mati keracunan.
Kampung-kampung terbabit ialah Kampung Sungai Buluh, Kampung Dingin dan Kampung Sungai Tengas. Penduduk di sini mendakwa air sungai di kampung mereka menjadi hitam, berkelodak serta berbau busuk.
CAP merasa hairan dan mempersoalkan mengapa kilang yang dinafikan oleh JAS membuang sisa buangan serta mencemarkan sungai ini diarah membersihkan parit berdekatan kilang itu. CAP meminta JAS menjawab soalan ini serta memberi penjelasan pihak manakah yang sah melakukan pencemaran tersebut.
Perkara ini perlu dibuktikan dengan laporan hasil kajian ke atas contoh air sungai yang tercemar dan ikan yang mati akibat di dalam sungai berkenaan.
CAP bimbang dan percaya jika masalah seperti ini dibiarkan berterusan bukan saja alam sekitar yang akan teruk tercemar malah kehidupan serta kesihatan penduduk-penduduk kampung di sini akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.
CAP berharap JAS memandang serius masalah ini dan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dengan tegas tanpa memberi sebarang pertimbangan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta tersebut.
Kenyataan Media, 1hb April 2015