alt

Tanah yang Subur Untuk Pengeluaran Makanan Berkhasiat

alt

Tanah adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui dan terhad, bermakna jika ia rosak dan terjejas maka ia tidak dapat dipulihkan semula dalam jangka hayat manusia. Oleh itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang memandangkan laporan oleh Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) menyatakan bahawa 33 peratus daripada kawasan adalah sederhana hingga amat terjejas tanahnya disebabkan oleh hakisan, salinisasi, pemadatan, pengasidan dan pencemaran oleh bahan kimia.

Kemerosotan kesuburan tanah disebabkan oleh penggunaan tanah yang tidak lestari, amalan pengurusan dan iklim yang semakin melampau. FAO menyatakan bahawa kawasan semula jadi tanah yang produktif amat terhad memandangkan ia semakin berada di bawah tekanan intensifikasi dan persaingan penggunaan untuk tanaman, pembalakan, padang rumput/ternakan dan perbandaran serta untuk memenuhi permintaan penduduk yang semakin berkembang untuk penghasilan tenaga dan makanan serta pengeluaran bahan mentah. Pendorong kepada kehilangan kesuburan dan kemerosotan tanah gagal untuk mengenalpasti atau dengan sengaja tidak mempedulikan hakikat bahawa ia akan mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk membentuk satu sentimeter tanah.

Esok, 22 April, Hari Bumi Sedunia dan tema pada tahun ini ialah “Kini Giliran Kita Untuk Memimpin”. Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 2015 sebagai Tahun Antarabangsa Tanah, dan sempenanya CAP telah mengambil langkah penting dalam memerangi kemerosotan tanah di Malaysia. Langkah pertama kami ialah untuk menganalisis tanah-tanah di Negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia. Ia dilakukan memandangkan kurangnya kajian berhubung situasi keseluruhan kualiti tanah di Malaysia.

Kajian rintis ini telah menilai sama ada terdapat sebarang keperluan khusus untuk menambahkan input bahan kimia pertanian ke atas tanah di Malaysia. Hasil dari persampelan di 10 kebun jelas menunjukkan keperluan itu tidak perlu sama sekali. Kajian kami mendedahkan petani konvensional (petani yang biasanya menggunakan bahan kimia pertanian di ladang mereka), selain dari menggunakan baja kimia dan racun perosak yang mahal harganya juga bergantung kepada input organik untuk menambahbaik kandungan Bahan Organik Tanah (Soil Organic Matter – SOM) dan pada masa yang sama menambah mikronutrien. Apabila perkara itu boleh dicapai melalui input organik, kami mempersoalkan penggunaan bahan kimia.

Wilayah Asia merupakan pengguna terbesar baja di dunia. Jumlah penggunaan nutrien baja di Asia ialah 58.5 peratus daripada jumlah penggunaan dunia. Baja mineral merupakan lebih daripada 90 peratus daripada baja yang digunakan oleh semua jenis sistem pertanian di Malaysia. Baja utama adalah urea, ammonium sulfat, kalsium ammonium nitrat, batu fosfat, super fosfat, ammonium fosfat, kalium klorida, kalium sulfat dan NPK, NP dan baja sebatian PK. Penggunaan baja di Malaysia pada 2012 adalah 1,570.7kg/ha daripada tanah pertanian. (http://data.worldbank.org/indicator/AG.CON.FERT.ZS)

Kesan negatif ekologi daripada baja kimia amat membimbangkan. Nitrogen sintetik mengurangkan kandungan humus dan biodiversiti dalam tanah, menyebabkan pengasidan tanah dan meningkatkan pengeluaran nitrus oksida, gas rumah hijau penyebab perubahan iklim yang akan menjejaskan pengeluaran makanan pada masa depan. Peningkatan dalam keasidan tanah mengurangkan pengambilan fosfat oleh tanaman, meningkatkan kepekatan ion toksik dalam tanah, dan menghalang pertumbuhan tanaman. Kelenyapan humus dalam tanah menghilangkan kemampuan untuk menyimpan nutrien. Gas rumah hijau diperolehi daripada lebihan nitrogen adalah menjejaskan iklim. Ringkasnya, nitrogen sintetik memusnahkan prinsip asas utama pengeluaran pertanian dan membahayakan jaminan keselamatan makanan masa depan.

Pada masa ini kita memerlukan kuantiti baja yang banyak untuk pertanian organik, yang seharusnya dikeluarkan sendiri atau bersumberkan dari ladang. Salah satu penyelesaian kepada masalah ini bagi memenuhi tuntutan tanah serta penyelesaian kepada masalah pengurusan sisa organik ialah membuat kompos. Teknologi kompos adalah amat banyak, boleh diperolehi dan telah terbukti amat berjaya dalam situasi lapangan. Teknologinya terdiri daripada kompos anaerobik biasa hinggalah kepada pelbagai prosedur kompos aerobik seperti kompos bio-tahi lembu dan kompos cacing. Semburan foliar seperti vermiwash dan panchagavya terbukti amat berkesan sebagai semburan cecair ke atas tanaman.

Kadar kemerosotan tanah semasa mengancam kemampuan generasi masa depan untuk memenuhi keperluan paling asas mereka. Siasatan awal CAP menuntut Kerajaan Malaysia menjalankan kajian ke atas tanah Malaysia secara besar-besaran dan melakukan analisis sistematik dan memajukan dasar negara berhubung penggunaan input organik untuk meningkatkan pemulihan tanah yang terjejas. Langkah ini perlu bukan hanya untuk menyelamatkan tanah kita, tetapi mengembangkan tanah yang subur yang membolehkan kita menuai hasil makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan manusia.

 

Kenyataan Media, 21 April 2015