Tangani Segera Punca Populasi Anjing Terbiar

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat prihatin dengan operasi penakaian (culling) anjing yang dijalankan di beberapa buah negeri akibat penularan wabak rabis (penyakit anjing gila) yang dialami oleh kebanyakan anjing terbiar. Walaupun tumpuan hanya diberikan kepada Pulau Pinang, kumpulan haiwan perlu juga memberikan perhatian kepada negeri Perlis dan Kedah untuk melihat bagaimana anjing terbiar ini dibunuh. SAM masih belum membaca sebarang bantahan atau kenyataan yang membantah keputusan negeri lain untuk membunuh anjing yang disyaki pembawa wabak rabis. Perhatian perlu diberikan bagaimana anjing di negeri lain dibunuh dengan berperikemanusiaan atau tidak.

Wabak penyakit rabis membawa kepada tumpuan terhadap isu yang menjadi masalah di mana pihak pentadbiran negara ini gagal untuk tangani sejak sekian lama kecuali melalui menembak secara berkala populasi anjing terbiar ini.

Populasi anjing dan kucing terbiar telah menjadi masalah utama bukan kerana kesalahan haiwan ini tetapi akibat daripada pemilik haiwan peliharaan yang tidak bertanggungjawab. Persoalan yang perlu ditangani dengan serius ialah percambahan kucing dan anjing yang tidak dikehendaki.

Faktor penyumbang ialah: Orang ramai memiliki haiwan tanpa mempertimbangkan komitmen sepanjang hayat yang diperlukan untuk menjaganya. Biasanya mereka ini tidak mempedulikan haiwan kesayangan mereka apabila menjadi “sukar” atau terlalu mengganggu untuk mempunyai haiwan yang dikasi dan dimandulkan. Anjing dan kucing ini kemudiannya membiak dan menghasilkan banyak anak anjing dan kucing.

Kemudian terdapat pula pembiak baka, kedai peliharaan haiwan dan kedai yang menghasilkan baka anjing menambahkan lagi krisis populasi haiwan peliharaan yang berlebihan dengan membawa lebih banyak haiwan ke dunia yang sudah pun dipenuhi dengan haiwan yang tidak dikehendaki. Setiap kelahiran baru anjing dan kucing bermakna semakin kurang peluang bagi anjing atau kucing di rumah perlindungan haiwan atau berkeliaran di jalan untuk dipelihara.

Pembiak baka menjalankan pelbagai jenis operasi. Ada yang bertindak macam “profesional” yang berterusan menghasilkan anak anjing dan kucing “pedigree” dengan harapan memenangi pertunjukan dan membuat wang daripada baka haiwan ini. Ada yang merupakan “pembiak baka lorong belakang” yang dengan secara sewenang-wenangnya membiarkan haiwan-haiwan itu mengawan untuk mengaut keuntungan  dengan menjual anak anjing dan kucing ini. Mereka menyumbang kepada populasi haiwan yang hidup sengsara dan tiada tempat tinggal.

Kedai haiwan peliharaan memiliki kebanyakan anak anjing yang mereka jual dari operasi menghasilkan baka anjing. Anak anjing ini diambil daripada ibu-ibu pada usia yang masih awal, dimasukkan ke dalam sangkar dan dihantar selama berhari-hari atau diterbangkan beratus kilometer kepada pengedar dan kemudiannya ke kedai haiwan peliharaan, seringkali tanpa makanan, air atau peredaran udara yang mencukupi. Kedai haiwan peliharaan menjual haiwan kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayarnya, sering membawa haiwan itu ke rumah penjaga yang tidak bersedia, tidak berkelayakan atau pendera. Banyak haiwan yang dibeli dari kedai haiwan peliharaan kemudiannya terbiar apabila penjaganya menjadi bosan.

Kedai pembiak baka anjing yang membekalkan majoriti kedai haiwan peliharaan dengan anak anjing, melayan anjing seperti mesin pembiak baka. Ibu anjing dikurung dalam sangkar dan dipaksa membiak berulangkali sehingga ia tidak lagi menghasilkan anak anjing. Kemudian, biasanya anjing ini akan dilelong kepada pembida yang paling tinggi atau dibunuh, tanpa mendapat pengalaman sentuhan dan kata-kata lembut atau mendapat sinar matahari dan memijak rumput.

Ramai orang masih mendapatkan haiwan daripada pembiak baka atau kedai haiwan peliharaan (dengan itu turut menyokong kedai pembiak baka anjing yang membekalkan kepada mereka) sebagai ganti kepada mengambil haiwan yang tidak mempunyai tempat berteduh.

Terdapat percambahan anjing yang dipelihara di bangunan dan tapak pembinaan, limbungan dan gudang, di mana ia akan dibiarkan apabila projek siap atau tempat itu ditutup atau dipindahkan ke tempat lain.

Wang pembayar cukai dibelanjakan untuk menangani masalah ini kerana gagal untuk memandulkan dan mengkasikannya. Kos untuk mengkasi dan memandulkan adalah jauh lebih rendah berbanding belanja yang melibatkan penangkapan anjing terbiar, memberikan makan dan menempatkan haiwan terbiar ini, dan mematikannya bagi yang tidak dapat dipelihara.

Wabak rabies boleh ditangani melalui penyelesaian berperikemanusiaan secara jangka panjang termasuk menyuntik semua haiwan yang dimiliki untuk mencegah kelahiran yang tidak diingini, menjalankan kempen vaksinasi secara besar-besaran untuk mencegah wabak pada masa depan, menyediakan haiwan yang dijangkiti wabak rabis dengan kematian secara lebih berperikemanusiaan dan menjalankan program pendidikan di sekolah untuk mendidik kanak-kanak mengenai tanggungjawab terhadap pemilikan haiwan peliharaan.

Sehingga populasi anjing dan kucing yang berlebihan ini dikawal melalui pemandulan dan mengasi, kita mestilah mencegah penderitaan haiwan yang tidak diingini dalam cara yang paling bertanggungjawab dan lebih berperikemanusiaan.

 

Surat Kepada Pengarang, 5 October 2015