Tarik Balik Tawaran Kementerian Kewangan kepada Gamuda dan Konsesi Lebuh Raya Lain

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kabinet supaya tidak meluluskan RM6.2 bilion yang dibuat oleh Kementerian Kewangan kepada Gamuda dan konsesi lebuh raya lain untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol, dan melantik jawatankuasa pakar untuk mencari penyelesaian yang akan membawa manfaat sebenar kepada pengguna dan tidak membebankan kerajaan dengan lebih banyak hutang.

Dalam satu analisis yang tajam mengenai tawaran itu, bekas pengarah strategi korporat dan pelaburan, Pankaj C. Kumar merumuskan: “Bagi pemegang konsesi, ia keuntungan durian runtuh RM2.82 bilion dan mengambil semua pendahuluan keuntungan masa depan mereka, tanpa perlu mengendalikan aset dalam baki tempoh konsesi dan bahagian terbaik, bebas cukai memandangkan tiada cukai keuntungan modal di Malaysia.” Kabinet perlu mengkaji dengan serius dan mempertimbangkan analisis dan hasilnya sebelum membuat keputusan terhadap tawaran oleh Kementerian Kewangan itu.

Konsesi lebuh raya bertol kita dikritik sebagai memihak kepada pemegang konsesi untuk membuat keuntungan sementara pengguna pula terpaksa membayar harga tol yang tinggi dan kerajaan perlu membayar berbilion ringgit sebagai pampasan untuk tidak menaikkan bayaran tol. Dalam jawapannya kepada soalan di Parlimen, Menteri Kerja Raya, Baru Bian menyatakan pemegang konsesi tol telah mengutip lebih daripada dua kali ganda kos pembinaan lebuh raya mereka daripada mula operasi mereka sehingga 2017.

Alasan bagi kerajaan untuk mengambil alih lebuh raya bertol ialah untuk menghentikan konsesi yang berat sebelah ini untuk memberikan manfaat kepada pengguna dan kerajaan. Tawaran Kementerian Kewangan tidak memenuhi objektif ini.

Di bawah tawaran Kementerian Kewangan ini, lebih satu juta pengguna lebuh raya akan menikmati penjimatan RM180 juta setahun yang hanya kurang 50 sen sehari bagi setiap pengguna, tidak cukup untuk membeli secawan kopi atau sekeping roti canai. Malah selepas pengambilalihan, mereka perlu membayar caj kesesakan pada 6 waktu puncak, bersamaan maksimum kadar tol semasa.

Di samping itu, “kerajaan juga membayar lebih kepada pengendali lebuh raya, terutama sekali bagi aset LDP dan SPRINT.” Konsesi tol Litrak dinilai kira-kira RM5.20 sesaham, jauh lebih tinggi daripada harga terakhir yang diniagakan iaitu RM4.21 dan lebih daripada 40% lebih tinggi daripada apa yang diniagakan pada pasca Pilihan Raya Umum Ke 14. Premium yang dibayar oleh kerajaan kepada pemegang konsesi tol ialah kira-kira RM2.82 bilion.

Kerajaan juga akan dibebankan dengan peningkatan hutang. Ia juga perlu mendapatkan RM6.2 bilion melalui pengeluaran bon dan membayar RM220 juta setahun sebagai kadar faedah. Menurut Kumar, kerajaan sudah pun memanjangkan hutang kepada nisbah KDNK yang akan dinaikkan lagi kepada 0.4 mata peratus. Kemerosotan dalam aliran lalu lintas di lebuh raya ini, dengan peningkatan penggunaan pengangkutan awam, juga akan membawa kepada hasil perolehan yang lebih rendah dan kerugian.

Kami menggesa Kabinet supaya mengarahkan Kementerian Kewangan menarik balik tawarannya dan menubuhkan satu jawatankuasa pakar ekonomi untuk membuat kajian lengkap dan menyeluruh berhubung masalah yang dikaitkan dengan konsesi tol dan untuk mencari penyelesaian yang akan memberikan manfaat kepada rakyat dan bukannya membebankan kerajaan dengan lebih banyak hutang. Menunaikan janji manifesto pilihan raya tidak seharusnya membawa kepada keuntungan durian runtuh bagi pemegang konsesi tol, dan meningkatkan beban kewangan bagi kerajaan yang sebenarnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.

 

Surat Kepada Pengarang, 5 Julai 2019