Tarik semula halwa kundur dari pasaran – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan agar menarik semula halwa kundur dengan segera dari pasaran.

Gesaan ini dibuat berikutan tindakan kerajaan Singapura menarik semula halwa kundur dari Malaysia yang dikesan mengandungi sulphur dioxide melebihi had maksimum yang ditetapkan dalam Peraturan Makanan Singapura.

Halwa kundur sering digunakan untuk membuat inti makanan tradisional Cina dan Melayu seperti inti kuih bulan, teh herba dan manisan pencuci mulut seperti barli dan ais kacang. Ia diperbuat daripada buah kundur segar dan gula. Kandi yang manis ini juga dipercayai  membantu menyahtoksik, menghilangkan kepanasan dan mengurangkan bendungan cecair.

Menurut Jadual Keenam (Peraturan 20) Akta Makanan 1983, kundur dibenarkan mengandungi 2000 bahagian persejuta (bps) sulphur dioxide.

Sulphur dioxide digunakan sebagai pengawet kerana ciri-ciri antimikrobnya. Sebagai pengawet, ia mengekalkan keadaan buah dan mencegahnya dari membusuk. Bagaimanapun, sulphur dioxide boleh mencetuskan serangan dalam penghidap asma dengan gejala seperti nafas mengeluarkan bunyi berdehit (wheezing) dan sukar bernafas.

Paras sulphite yang berlebihan dalam makanan juga boleh menimbulkan tindakbalas alahan dalam individu yang hipersensitif kepada sulphite dengan gejala seperti kegatalan, sakit perut, cirit-birit dan muntah.

Undang-undang utama yang mengawal keselamatan makanan di negara ini adalah Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Tujuannya adalah untuk melindungi orang ramai daripada penipuan dan bahaya yang berkaitan makanan, untuk menggalakkan persediaan yang selamat, pengendalian, pengedaran dan jualan makanan berkualiti tinggi dan sihat.

Memandangkan keselamatan makanan perlu dikekalkan daripada pengeluaran hinggalah kepada pengambilannya, banyak kementerian dan agensi terlibat dalam proses ini. Antaranya ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, pihak berkuasa tempatan dan Kastam (untuk import dan eksport makanan).

Di sebalik kewujudan undang-undang dan badan penguatkuasa yang diamanahkan bagi memastikan warga Malaysia memperolehi makanan yang selamat dan sihat, kita jarang mendengar hasil keluaran tempatan ditarik semula.

Ini  bukan kali pertama makanan dari Malaysia ditarik semula di negara asing. Berikut adalah sebahagian daripada kes penarikan yang dilaporkan:

·   Pada  2019, botol air mineral ditarik semula oleh pihak berkuasa Singapura.  Air minuman tersebut didapati mengandungi Pseudomonas aeruginosa – bakteria umum yang terdapat dalam najis, tanah, air dan sisa kumbahan.

·   Pada 2018,  iceberg lettuce ditarik semula. oleh pihak berkuasa Singapura selepas ia dikesan mengandungi paras racun makhluk perosak yang tinggi dalam sayuran yang diimport dari ladang Malaysia.

·   Pada 2017, China menolak buahan dari Cameron Highlands akibat kehadiran organisme ubah suai genetik (LMO)*.

·   Pada 2016, udang Malaysia, kebanyakannya dari kolam akuakultur Pulau Pinang, ditolak oleh kerajaan AS akibat kehadiran antibiotik yang diharamkan (nitrofuran dan chloramphenicol).

·   Pada 2015, kira-kira 300 kumpulan sayuran – kebanyakannya sayuran berdaun hijau dan buahan dihentikan daripada dijual di Singapura, selepas sisa racun makhluk perosak ditemui dalam sampel melebihi paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Dikatakan 3%-5% sayuran dan buahan dari Malaysia melebihi had racun makhluk perosak yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Singapura.

Sehubungan dengan penarikan semula yang terbaharu ini, CAP menggesa Kementerian Kesihatan segera menarik semula halwa kundur dari pasaran dan pada masa yang sama, ia perlu menjalankan ujian ke atas halwa kundur bagi kandungan sulphur dioxide di dalamnya.

Kerajaan juga perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat kenapa isu tersebut tidak dikesan lebih awal oleh pihak berkuasa tempatan. Bukankah pelik setiap kali muncul perkara seumpamanya, pihak berkuasa dari negara lain yang akan mengetengahkannya kepada penduduk di Malaysia.

Sementara itu pengguna dinasihatkan agar tidak memakan halwa kundur sehingga pihak berkuasa dapat memastikan bahawa ia selamat untuk dimakan.

 


* inisikan sebagai sebarang organisme hidup yang mempunyai kombinasi bahan genetik yang diperolehi melalui bioteknologi moden. Bioteknologi moden membolehkan pemindahan gen antara organisme berbeza. Pada masa ini produk LMO diimport ke negara kita termasuklah biji benih, makanan haiwan dan beras. LMO biasa termasuklah tanaman pertanian yang telah diubah suai secara genetik untuk pengeluaran yang lebih besar atau bagi rintangan kepada makhluk perosak atau penyakit.

 

 

Kenyataan Akhbar, 15hb Julai 2020