Terburu-buru ke ‘kredit karbon hutan’ tidak akan membantu menangani perubahan iklim

Ini adalah maklum balas kepada pindaan terbaharu kerajaan Sarawak terhadap Kanun Tanah  dan Ordinan Hutan terutamanya berkenaan tindak balas untuk menangani perubahan iklim.

Kita sememangnya memahami keperluan kerajaan Sarawak untuk membuat peruntukan bagi mengawal selia penggunaan tanah sama ada di darat atau di luar pesisir bagi tujuan penyimpanan karbon oleh syarikat minyak dan gas di negeri ini seperti dalam Penyata Penjelasan dalam Rang Undang-undang Kanun Tanah (Pindaan) 2022, tetapi Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang pindaan itu akan membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Terburu-buru untuk mendapatkan ‘kredit karbon hutan’ tidak akan membantu menangani perubahan iklim, dan lebih teruk lagi, ia juga boleh menimbulkan kesan negatif yang serius.

Pertama, ia tidak akan membantu menangani perubahan iklim apabila kredit karbon hutan ini  dijual di pasaran karbon dan dibeli oleh pencemar besar untuk mengimbangi pelepasan berterusan mereka. Ini adalah kerana karbon dioksida terkumpul di dalam atmosfera selama ratusan atau ribuan tahun. Apabila karbon dioksida terkumpul, suhu akan meningkat. Untuk menghentikan pemanasan, kita perlu berhenti melepaskan karbon dioksida ke atmosfera. Oleh itu, terdapat kontroversi mengenai pasaran karbon, kerana ia membolehkan syarikat bahan api fosil membeli kredit karbon hutan sambil terus berkembang dan beroperasi seperti biasa melepaskan karbon dioksida.

Para saintis menegaskan bahawa terdapat perbezaan asas antara karbon dalam pokok, tumbuhan dan tanah serta pelepasan daripada bahan api fosil. Pengambilan karbon dalam ekosistem semula jadi ialah kitaran pantas yang beroperasi pada jangka masa jam (contohnya fotosintesis) dan dari hari hingga berabad-abad. Contohnya, tanah boleh menyimpan karbon sehingga ladang dibajak atau kemarau atau banjir menyebabkan tanah merosot; hutan boleh menyimpan karbon sehingga kerosakan oleh serangga, kemarau, kebakaran, atau sebarang kombinasi kesan tersebut yang menyebabkan kemerosotan atau kerugian. Sebaliknya, karbon fosil secara berkesan adalah simpanan kekal. Pembakaran bahan api fosil membebaskan karbon daripada simpanan kekal ke dalam atmosfera, yang membawa kepada peningkatan jumlah karbon di darat, lautan dan atmosfera.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata pada 2021 bahawa tidak sepatutnya ada medan minyak dan gas asli baharu dalam senario sifar bersih global. Berdasarkan laporan daripada Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dan pada kadar pelepasan global semasa, kita hanya mempunyai kira-kira 10 tahun untuk bertindak pada skala dan kadar yang diperlukan untuk mengekalkan kenaikan suhu di bawah 1.5°C berbanding sebelum era perindustrian ini.

Kedua, kami juga mendapati bahawa pindaan-pindaan seperti berikut membenarkan teknologi penyerapan dan penyimpanan karbon.

1. Kanun Tanah (Pindaan) termasuk tambahan baharu untuk takrifan “simpanan karbon”:

“’penyimpanan karbon’ bermaksud sebarang rongga, telaga, struktur, kemudahan atau loji yang dibina, dipasang atau diselenggara di atas mana-mana tanah, sama ada di atas atau di bawah permukaan, untuk tujuan penyimpanan kekal, pengekalan pengumpulan, lambakan atau penyerapan karbon dioksida atau gas rumah hijau dalam sebarang bentuk atau perihalan…”

2. Kanun Tanah (Pindaan) kepada seksyen 231 menunjukkan bahawa akan ada simpanan karbon di pesisir bawah pantai atau dasar laut.

“(dd) lokasi tepat dan saiz kawasan yang akan digunakan untuk penyimpanan karbon ini dan di mana tanah itu berada di tepi pantai atau dasar laut dalam sempadan Sarawak seperti yang dilanjutkan oleh Sarawak (Alteration of Boundaries) Order dalam Majlis…”

3. Rang Undang-undang Hutan (Pindaan) 2022 mentafsirkan “penyerapan karbon” sebagai:

“’penyerapan karbon’ bermaksud proses semula jadi atau buatan (seperti menanam pokok untuk menyerap karbon dioksida) atau mengepam karbon dioksida ke dalam takungan bawah tanah untuk mengurangkan dan mengeluarkan karbon dioksida dari atmosfera dan disimpan dalam bentuk pepejal atau cecair, demi menghalang pengumpulan gas rumah hijau di dalam atmosfera bumi”

Pengumpulan dan penyimpanan karbon (carbon capture and storage – CCS) atau sebarang  teknologi pengurangan karbon yang berskala besar yang berupaya untuk memanipulasi sistem iklim Bumi ialah satu lagi penyelesaian iklim yang palsu.

Beberapa kebimbangan utama ialah penggunaan CCS (yang sangat mahal dan dalam peringkat percubaan) memanjangkan lagi penggunaan bahan api fosil (yang selalunya terikat dengan komitmen ‘sifar bersih’ korporat); penggunaan saluran paip yang boleh merosakkan landskap dan kawasan sensitif alam sekitar; keselamatan pengangkutan dan penyimpanan karbon dioksida  iaitu sama ada karbon dioksida akan bocor keluar dari takungan ini dan menyebabkan apa yang dikenali sebagai cetusan kegempaan dan sebagainya.

Ini bertentangan dengan seruan yang mendesak bagi mengurangkan pembakaran bahan api fosil dengan kadar pantas yang diperlukan untuk mengekalkan  peningkatan suhu kepada 1.5°C.

Selanjutnya, pindaan itu membuka pintu seluasnya kepada penyertaan syarikat dan kerajaan negeri Sarawak dalam pasaran karbon sukarela antarabangsa. Kita perlu mempertimbangkan implikasi cadangan Sarawak berhubung dengan keupayaan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan sasarannya di bawah Sumbangan Nasional yang Ditentukan  (Nationally Determined Contribution – NDC) negara di bawah Perjanjian Paris yang merangkumi sektor perhutanan.

Akhir sekali, terdapat banyak kajian kes dan contoh bagaimana pasaran karbon akan menimbulkan kesan yang tidak diingini, terutamanya apabila ia berkaitan dengan kredit karbon hutan yang melibatkan Wilayah Tanah Adat dan implikasinya terhadap hak orang asal ke atas tanah dan hutan mereka.

Sarawak mempunyai sejarah panjang mengenai pencerobohan wilayah tanah adat anak negeri  yang didorong oleh ladang monokultur dan aktiviti pembalakan yang tidak mampan. Tetapi punca utama pencabulan Hak Tanah Adat (Native Customary Rights – NCR) adalah kelemahan sistemik dari sudut kepemerintahan, polisi dan perundangan, iaitu ketiadaan jaminan pegangan tanah. Kami khuatir bahawa pindaan baharu itu akan memburukkan lagi pencabulan NCR di Sarawak.

Terburu-buru untuk pasaran karbon akan menggalakkan penanaman pokok berskala besar bagi tujuan kredit karbon hutan. Ini mungkin akan melibatkan pemindahan pertanian oleh komuniti luar bandar dan komuniti orang asal dan menjejaskan kumpulan terpinggir yang tidak menyumbang kepada perubahan iklim. Penetapan sasaran berasaskan karbon boleh memberi insentif kepada penukaran “hutan yang kononnya miskin atau rosot” kepada ladang pokok berskala besar. Ini akan membawa kepada kemusnahan ekosistem yang kaya kerana hutan yang kaya dengan ekosistem tidak semestinya mempunyai nilai penyerapan karbon yang tinggi.

Seseorang tidak perlu melihat lebih jauh; Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi Sabah (Nature Conservation Agreement – NCA) yang berkontroversi adalah contoh bagaimana terburu-buru dalam menandatangani perjanjian karbon tanpa penilaian penuh dan pelaksanaan Prinsip Izin Maklum Awal Bebas dan Telus (IMABT) (Free, Prior and Informed Consent – FPIC) boleh mendatangkan kesan yang tidak diingini.

Banyak Peraturan Standard Karbon termasuk Draf Protokol bagi Kerangka Kewangan REDD Plus di Malaysia sememangnya komited, pada tahap tertentu, untuk melindungi hak orang asal dan komuniti tempatan. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian kes di negara lain mendedahkan cabaran dalam pelaksanaan IMABT yang betul dan menyeluruh bagi memastikan penyertaan penuh dan yang bermakna bagi komuniti terutamanya dalam proses membuat keputusan. Bagaimana komuniti orang asal dan tempatan boleh mengakses manfaat REDD Plus secara adil adalah tidak jelas.

(Nota: REDD Plus bermaksud Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau daripada Aktiviti Penyahhutanan dan Kemerosotan Hutan, serta Peranan Pemuliharaan, Pengurusan Hutan Secara Berkekalan dan Peningkatan Stok Karbon Hutan. Ia merupakan mekanisme global yang dibangunkan oleh negara-negara di Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) yang mencipta nilai kewangan untuk karbon yang disimpan di dalam hutan. Kerajaan Malaysia juga sedang dalam proses membangunkan Kerangka Kewangan REDD Plus di Malaysia.)

Kami memahami keperluan untuk mendapatkan dana bagi melindungi hutan dan biodiversiti. Ini terutamanya amat penting bagi Sarawak memandangkan peningkatan kejadian banjir dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh penebangan  hutan dan perubahan iklim.

Perjanjian antarabangsa yang telah tandatangani oleh Malaysia, iaitu Perjanjian Paris (PA) dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), menawarkan sokongan kewangan kepada negara-negara membangun dalam membiayai usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan. Dana antarabangsa yang tersedia ialah Green Climate Fund (GCF), Adaptation Fund (AF), Global Environment Facility (GEF), dan Special Climate Change Fund (SCCF).

Malaysia adalah sebuah negara membangun dan berhak untuk menerima sumber kewangan bagi memenuhi komitmen antarabangsa kita. Sarawak perlu meningkatkan penyelesaian berasaskan komuniti untuk menangani perubahan iklim, dan bukannya “penyelesaian” palsu yang meminggirkan orang asal dan komuniti tempatan serta menggugat hak mereka kepada tanah dan sumber asli. Peranan orang asal dan komuniti tempatan dalam melindungi hutan tropika dan memelihara ekosistem semakin diiktiraf di seluruh dunia. Memperkukuhkan hak orang asal adalah penting untuk memelihara hutan dan biodiversiti dan juga memerangi perubahan iklim.

Kesan perubahan iklim semakin dirasai di seluruh rantau di dunia ini. Banjir baru-baru ini yang melanda negara kita adalah peringatan yang jelas mengenai perubahan iklim. Beberapa unjuran perubahan iklim mungkin kelihatan jauh tetapi kita sudah menyaksikan hari ini peningkatan suhu, kadar hujan yang lebih tinggi dan lebih kerap serta kejadian cuaca melampau. Ia akan menjadi lebih teruk tahun demi tahun dan pelepasan terus meningkat.

Kita perlukan penyelesaian yang sebenar dan kukuh, bukannya penyelesaian palsu, bukannya teknologi berskala besar yang mahal dan belum diuji dan yang berkontroversi yang tidak menangani kecemasan iklim yang sedang kita hadapi.

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia

Surat Kepada Pengarang, 27 Mei 2022