Tidak kepada penyelesaian yang salah dalam menangani sisa plastik yang tidak dapat dikitar semula

Longgokan plastik global di bawah nama kitar semula dan perdagangan telah menjadi wabak dengan kesan yang amat teruk. Sahabat Alam Malaysia (SAM) sangat prihatin bahawa kerajaan Malaysia menyelesaikan kebanjiran sisa plastik import yang tidak boleh dikitar semula dengan cara “membakar” sisa ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipetik sebagai berkata bahawa mereka akan melihat kepada kemungkinan menukarkan sampah plastik sebagai bahan api alternatif dan sumber bagi penghasilan simen. Syarikat tempatan The Asher, yang menggunakan teknologi “pyrolysis plasma” untuk membakar sisa plastik juga mengemukakannya kepada pihak kementerian.

Kerajaan Malaysia mestilah tidak terpedaya dengan penyelesaian yang salah ini dan sebagai ganti mengambil langkah untuk menghalang pembakaran sisa plastik, sama ada dalam insinerator sisa, dalam tanur simen, dalam relau sementara sebagai bahan api, atau dalam operasi plastik kepada bahan api, dalam pembakaran terbuka dan tempat pembuangan sampah. Ini kerana sisa plastik yang dibakar akan menghasilkan pelepasan toksik dan abu toksik yang akan menyebarkan bahaya yang selanjutnya kepada alam sekitar dan mengancam kesihatan awam.

Empat tahun yang lepas, SAM membantah pembakaran dalam tanur simen sisa import yang ditukarkan kepada bahan api proses kejuruteraan. Kami menuntut syarikat pengimport, Resourceco Asia supaya menghantar pulang semua sisa pepejal yang diimport dari Australia ke negara asal. Ini adalah teknologi yang kini sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia untuk membersihkan sisa plastik yang tidak dikitar semula yang membanjiri negara kita.

Kenapa komuniti kita perlu menjadi tuan rumah kepada teknologi pelupusan yang mencemarkan dan terdedah kepada pencemaran daripada pembakaran sisa negara lain?

Adakah pelepasan daripada tanur simen dipantau secara berterusan oleh kerajaan atau komuniti kita menjadi sasaran bahaya daripada pelepasan ini? Malah teknologi kawalan pencemaran udara terbaik mungkin tidak mampu untuk memerangkap semua gas toksik.

Pembakaran sisa atau insinerasi melepaskan pelbagai bahan cemar ke udara, air dan tanah. Pelepasan udara termasuklah karbon monoksida, gas rumah hijau, gas asid (Nox, Sulfur dioksida, HCI), dioksin, furan, logam berat seperti raksa, kadmium bergantung kepada jenis sisa yang dibakar. Pendedahan secara langsung dan tidak langsung kepada bahan seperti ini termasuklah melalui penghirupan udara yang tercemar, sentuhan langsung dengan tanah atau air yang tercemar, atau penghadaman toksin yang memasuki rantaian makanan yang boleh memberikan kesan sampingan kesihatan yang menjejaskan neurologi, imun, sistem reproduktif dan endokrin.

Memandangkan sisa pembakaran dalam sebarang bentuk mempunyai kesan sampingan, kami menggesa kerajaan Malaysia supaya mengkaji pelbagai pilihan untuk memangani masalah sisa plastik. Buat sementara waktu sisa pembakaran plastik perlu disimpan dengan selamat sehingga pilihan yang melindungi kesihatan awam dan alam sekitar ditemui.

 

Kenyataan Akhbar, 19 Julai 2019