Tragedi Tanah Runtuh: Perlunya Perlindungan yang Lebih Ketat Terhadap Bukit dan Cerun Bukit

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa amat sedih dengan kejadian tanah runtuh di KM34 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley ke Cameron Highlands, di mana seorang pemandu lori dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

Walaupun terdapat banyak kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands dan sekitarnya, ia jelas menunjukkan bahawa langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah tragedi sebegini masih tidak mencukupi.

Sering kali, kita mendengar tanah runtuh dan kegagalan cerun berlaku berikutan hujan yang berterusan bukan hanya di Cameron Highlands tetapi juga di bahagian lain negara. Kejadian hujan lebat bukan sesuatu yang luar biasa dan sudah dijangka tetapi ia bukanlah penyebab utama tanah runtuh dan kegagalan cerun.

Bagi suatu kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun untuk berlaku dan dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan, mestilah terdapat gangguan kepada rupa bumi semula jadi di kawasan berkenaan.

Kami menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat dengan segera tragedi di KM34 dan menzahirkan hasil siasatan itu kepada orang ramai.

Khususnya, kami bimbang sama ada terdapat sebarang pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian atau pembangunan lain yang telah atau sedang dijalankan, di mana ini perlu dihentikan segera, supaya langkah perlindungan dan pemulihan dapat dilakukan dengan segera.

SAM juga menggesa pihak berkuasa berkenaan di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya supaya memantau semua kawasan berisiko tinggi dan mengambil langkah untuk mencegah daripada berlakunya tanah runtuh atau kegagalan cerun lain.

Kita semua mesti tahu sekarang bahawa kawasan tanah tinggi dan bukit adalah kawasan alam sekitar yang sensitif, dan amat terdedah kepada tanah runtuh dan kegagalan cerun.

Dengan berlakunya perubahan iklim, kita boleh melihat kekerapan dan keamatan hujan lebat. Kini tiba masanya untuk pihak berkuasa bertindak dengan was-was dan mengawal dengan ketat pembangunan di atas tanah bukit dan tanah tinggi, menjalankan pemantauan dengan lebih kerap dan menguatkuasakan dengan tegas undang-undang dan peraturan yang sedia ada. Kita perlu menghentikan penukaran tanah bukit dan tanah tinggi dan mestilah mengawal dengan lebih tegas aktiviti yang sedia ada. Jika tidak, kita akan mengundang tragedi sebegini.

 

Kenyataan Akhbar, 3 Disember 2021