Tragedi Tanah Runtuh Tambun: Perlu Elakkan Projek Di Kawasan Alam Sekitar Yang Sensitif

Tanah runtuh yang berlaku di The Banjaran Hotsprings Retreat di Tambun, Perak  milik Sunway Group yang telah menyebabkan kematian dua tetamu pada Isnin, 9 November 2020, sekali lagi mendedahkan betapa perlunya dielakkan projek di kawasan alam sekitar yang sensitif.

Langkah baik oleh Kerajaan Negeri Perak ialah mengarahkan agar jabatan dan agensi yang berkaitan supaya memantau setiap bukit batu kapur yang berisiko di seluruh negeri itu, terutama sekali yang terletak berdekatan kawasan kediaman, berikutan tragedi itu.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengharapkan laporan pemantauan ini akan didedahkan untuk kepentingan awam.

Kami juga mengalu-alukan arahan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya pusat peranginan Tambun itu ditutup sehingga notis selanjutnya, memandangkan tempat itu masih berisiko berlaku tanah runtuh lagi.

Sepertimana yang dijelaskan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Perak, bukit batu kapur berpotensi mengalami tanah runtuh atau batu jatuh.

Menurut laporan media, Timbalan Pengarah JMG, Mat Niza Abdul Rahman berkata pusat peranginan itu di kelilingi oleh dinding lembah batu kapur dan akibat hujan lebat, “hujan telah melemahkan tanah sisa residual yang runtuh ke atas sebahagian vila di mana mangsa tinggal.”

Pihak JMG juga mendapati masih terdapat aliran air yang aktif sepanjang cerun bukit, yang melalui rekahan. “Sesetengah batu kapur di kawasan itu sudah pun mengalami luluhawa yang tinggi dan memudahkan batu runtuh,” jelas Pengarah JMG.

Menteri Besar Perak dilaporkan memberitahu media bahawa pemeriksaan dengan Majlis Bandaraya Ipoh mendedahkan pihak pengurusan pusat peranginan itu telah mendapat kelulusan yang perlu termasuk mewujudkan zon penampan, daripada semua jabatan berkaitan sebelum membangunkan tempat itu 20 tahun lalu.

Jelas, insiden ini mendedahkan bahawa kelulusan oleh pihak berkuasa tidak semestinya menjamin keselamatan bangunan atau struktur untuk masa akan datang terutama sekali apabila ia terletak di kawasan atau berdekatan dengan kawasan alam sekitar yang sensitif seperti bukit batu kapur dan cerun bukit serta tanah tinggi lain, yang mudah terdedah kepada tanah runtuh/gelinciran tanah seperti yang telah kita saksikan banyak kali di negara ini.

Paling diingati antaranya ialah tragedi Highland Towers pada 1993 di Bukit Antarabangsa yang menyebabkan runtuhnya satu daripada tiga blok pangsapuri serta kematian hampir 50 orang.

Kebimbangan dalam kebenaran yang diberikan bagi pembinaan di kawasan alam sekitar yang sensitif seperti bukit batu kapur dan bukit/tanah tinggi lain menjadi lebih serius memandangkan kita kini menyaksikan taburan hujan yang semakin lebat, kerap dan yang belum pernah terjadi sebelumnya akibat perubahan iklim, yang meningkatkan lagi kerentanan dan risiko kepada pergerakan tanah, hakisan, tanah runtuh dan gelinciran tanah.

Penting bagi kita untuk memerhatikan tragedi ini dan mempelajarinya serta mengambil langkah pencegahan dengan mengelakkan pembinaan di kawasan atau berdekatan kawasan alam sekitar yang sensitif.

Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati!

 

Surat Kepada Pengarang, 16 November 2020