Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, telah mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merancang untuk menggubal satu undang-undang baharu – Akta Kawalan Merokok dan Tembakau (TSCA) – di Parlimen pada tahun ini (2022).
Memang baik jika kerajaan boleh membanteras tabiat merokok. Tetapi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin memberi amaran kepada KKM mengenai industri tembakau yang sebaliknya mungkin mempromosikan kaedah alternatif ketagihan nikotina dan kemudian melobinya kepada kerajaan.
Kami mengalu-alukan pembentukan TSCA yang begitu lama tertangguh kerana tabiat merokok menjadi punca pelbagai jenis penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit jantung iskemik dan penyakit pulmonari gangguan kronik (COPD). Penyakit yang kronik dan melemahkan itu memerlukan rawatan yang mahal, menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun. Pada 2018, dianggarkan kerajaan perlu membelanjakan sekitar RM7.4 bilion untuk kos rawatan kesakitan utama yang berpunca daripada tabiat merokok.
Adalah tidak masuk akal bagi mana-mana kerajaan untuk mempertahankan satu industri yang merosakkan kesihatan penduduk dan mempertaruhkan kos kesihatan yang besar, dengan membuatkan penduduk ketagih nikotina. Justeru, TSCA yang dicadangkan itu merupakan satu langkah ke hadapan dengan syarat Akta berkenaan turut meliputi produk berasaskan nikotina dan bukan nikotina. Ini termasuklah produk tembakau yang dipanaskan (HTP) dan sistem penyampaian nikotina elektronik (ENDS).
KKM perlu menimbangkan untuk mengkelaskan HTP dan ENDS sebagai alat penyedutan rekreasi agar Akta berkenaan akan turut melibatkan inovasi pihak industri terbabit di masa hadapan.
Alasan bagi gesaan ke arah pengharaman produk bukan berasaskan nikotina adalah kerana tidak terdapat satu alasan yang baik kenapa seseorang perlu menyedut bahan kimia ke dalam paru-parunya sementara produk seumpamanya menjadi pembuka laluan kepada eksperimen dan ketagihan kepada sesuatu produk berasaskan nikotina di kemudian hari. Pengharaman tersebut perlu dilanjutkan dengan turut memasukkan alat penyedutan untuk tujuan rekreasi kerana ia mungkin membawa kepada penyalahgunaan bahan penyedutan dan/atau ketagihan nikotina.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan, berlaku pertambahan outlet runcit bagi HTP dan ENDS kerana pihak industri berjaya melobi kerajaan pada 2021, memikat kerajaan dengan kemungkinan memperolehi keuntungan bernilai RM300 juta daripada hasil cukai.
Ia akan menjadi sia-sia bagi kerajaan mengharamkan rokok tetapi sebaliknya membenarkan penjualan HTP dan ENDS kerana ketagihan nikotina – masalah yang terselindung di sebaliknya – tidak dihapuskan. Sehubungan itu kami menggesa KKM agar memasukkan pengharaman yang menyeluruh ke dalam Akta yang dicadangkan itu.
Kenyataan Akhbar, 7 Februari 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/