Tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menyiasat punca sebenar banjir dan membuat saranan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Parlimen, yang dijadualkan akan mengadakan sidang khas mengenai bencana banjir yang amat dahsyat pada Isnin depan, supaya menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi mengenal pasti punca sebenar banjir, termasuk corak cuaca yang tidak menentu akibat krisis iklim, dan membuat saranan untuk menanganinya.

Pihak Jawatankuasa perlu mengenal pasti alasan bagi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertindak segera dan berkesan terhadap krisis itu. Ia perlu menyiasat punca kegagalan institusi yang diberikan mandat untuk melindungi alam sekitar kita, untuk melakukan tugas mereka.

Ia juga perlu menangani isu rasuah, salah guna kuasa, pengaruh yang tidak wajar oleh individu berkuasa dan institusi dalam pemberian kelulusan bagi penjualan dan/atau pembersihan tanah hutan.

Banjir besar di negara ini dalam tempoh 10 tahun lepas seharusnya memberi amaran bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena pada asasnya dalam model pembangunan kita. Kita lebih mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan keuntungan persendirian dengan mengorbankan perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial. Kita mengabaikan banyak khidmat yang disediakan oleh alam sekitar dan melebarkan jurang antara yang kaya dan miskin. Ketamakan elit untuk kekayaan kebendaan telah menyumbang kepada krisis iklim yang mengancam kelangsungan hidup kita.

Sebahagian besar kawasan hutan simpan dibersihkan untuk memberi laluan kepada perbandaran dengan kilang dan bangunan bertingkat tanpa mempedulikan kesannya kepada alam sekitar. Kita kini sedang dihukum akibat pembangunan yang memusnahkan seperti itu. Contohnya, Taman Sri Muda, yang mengalami salah satu daripada bencana banjir yang paling buruk baru-baru ini, merupakan kawasan hutan simpan yang ditetapkan untuk kawasan tadahan air.

Siapakah yang bertanggungjawab bagi penukaran status tanah itu? Tiada siapa yang tahu. Hanya Suruhanjaya Siasatan boleh mendedahkan kebenaran. Adakah pihak berkuasa bersedia untuk melakukannya? Pemaju dan penaung politik mereka telah mendapat untung tetapi rakyat biasalah yang terpaksa menanggung akibatnya – kehilangan nyawa, kemusnahan rumah dan perniagaan terjejas.

Sembilan daerah di Pahang mengalami banjir buruk akibat pembalakan dan pembersihan berleluasa hutan semula jadi termasuklah hutan simpan. Beberapa orang terkorban dan sekitar 250,000 orang dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Terdapat iklan dalam talian yang menawarkan penjualan tanah balak dan lesen pembalakan dalam hutan semula jadi kita. Adakah hutan kita, yang kaya dengan biodiversiti, flora, fauna, hidupan liar dan ekosistem ini untuk dijual? Adakah pihak berkuasa menghalang urusniaga seperti itu dengan menyedari bahawa ekosistem hutan menyediakan kita air, makanan, kawalan penyakit dan banjir serta rekreasi dan manfaat spiritual?

Pendedahan yang amat mengejutkan di dalam media baru-baru ini adalah Jabatan Alam Sekitar Pahang pada 2021 telah meluluskan 46 penilaian kesan alam sekitar (EIA) termasuk untuk pembalakan dan perladangan. Jabatan Alam Sekitar diberikan kuasa untuk melindungi alam sekitar kita – bukit, hutan, sungai, laut dan atmosfera – dan tidak menyekat kemusnahannya.

Krisis iklim dan kemiskinan global telah muncul memandangkan isu paling penting bagi komuniti antarabangsa menanganinya. Pada Persidangan COP26 yang berakhir baru-baru ini Malaysia telah menyatakan komitmennya untuk menghentikan penebangan hutan dan mencapai sifar bersih pelepasan menjelang 2050.

Enam tahun yang lalu pada 2015, kita turut menandatangani 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Matlamat ke 13 memerlukan kita mengambil tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesannya dengan menyepadukan langkah perubahan iklim ke dalam dasar, strategi dan perancangan negara. Tarikh yang disasarkan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan PBB ialah 2030. Enam tahun telah berlalu dan kita masih belum mempunyai pelan pembangunan pelepasan rendah untuk mencapai objektif itu.

Kita perlu memajukan dan melaksanakan pelan lengkap dengan sasaran untuk diambil bagi memenuhi komitmen kita yang dibuat semasa COP26, dan di bawah 17 Matlamat Pembangunan Mampan PBB.

Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak bergerak seiring dalam menangani isu alam sekitar. Kerajaan negeri meluluskan pembersihan hutan dan tebus guna tanah, dan pihak berkuasa tempatan meluluskan pelan bangunan, tanpa mengambil kira pelepasan gas rumah hijau (GHG) kerana aktiviti seperti itu menghasilkan, memburukkan lagi krisis iklim.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran kepada pemimpin dunia pada perasmian COP26: “Kita berdepan dengan kenyataan. Kita semakin mendekati satu titik yang akan mencetuskan tindak balas pemanasan global.” Kerajaan perlu segera menggantung semua projek tebus guna tanah dan pembersihan hutan yang menyumbang dengan ketara kepada pemanasan bumi.

Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil pendekatan serius bagi menangani bencana iklim. Pemimpin politik dan para pegawai di peringkat pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan mestilah berkongsi visi yang sama dan bekerja bersama untuk mencapai komitmen antarabangsa kita dengan mengambil kira pembangunan mampan dan krisis iklim.

 

Kenyataan Akhbar/Surat Kepada Pengarang, 15 Januari 2022