Tuntutan bagi Perjanjian Plastik Global yang kuat dan berkesan dalam Rundingan Pusingan Ketiga (INC-3) di Nairobi, Kenya

Plastik ialah krisis yang semakin meningkat dengan kesan buruk terhadap alam sekitar, kesihatan manusia, hak asasi manusia, keadilan alam sekitar, hak Orang Asli, kepelbagaian biologi dan iklim. Seperti mana yang ditunjukkan oleh banyak kajian, plastik ditemui di mana-mana, bukan sahaja dalam ekosistem dan atmosfera tetapi juga dalam makanan yang kita makan, air yang kita minum, dan juga di dalam tubuh. Oleh itu tindakan global untuk menangani krisis plastik amat diperlukan dengan segera.

Pada Mac 2022, Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA) memutuskan mandat untuk mewujudkan Perjanjian Plastik pertama di dunia, undang-undang antarabangsa yang mengikat secara sah yang bertujuan untuk mengurangkan pencemaran plastik di seluruh dunia dan meliputi kitaran hayat penuh plastik. Bagi Perjanjian Plastik Global ini berkesan dalam membalikkan arus pencemaran plastik, mekanisme dan penyelesaian untuk menanganinya perlu wujud dalam sempadan iklim dan planet. Perjanjian ini adalah peluang untuk memperbaikinya. Ia berpotensi menjadi salah satu perjanjian alam sekitar yang paling penting dalam sejarah.

Rundingan Pusingan Ketiga (daripada lima pusingan) Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC) bagi Perjanjian Plastik Global akan berlangsung di Nairobi, Kenya dari 13 hingga 19 November. Mendahului INC-3, pada awal September 2023 Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan Pengerusi INC, telah mengeluarkan teks draf sifar perjanjian, atau pada asasnya pelbagai sudut pandangan yang akan menjadi asas kepada rundingan di INC-3, dan seterusnya draf pertama teks perjanjian itu.

Sorotan draf sifar antara lain termasuklah pilihan bagi pengurangan progresif pengeluaran plastik, penghapusan polimer dan bahan kimia yang membimbangkan, penghapusan plastik bermasalah jangka pendek dan boleh dielakkan, pengiktirafan keperluan bagi ketelusan, peralihan yang adil, dan penubuhan sistem dan sasaran bagi pengurangan plastik dan sistem penggunaan semula.

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), ahli Global Alliance for Incinerator Alternatives (GAIA), pertubuhan yang mengambil bahagian dalam International Pollutants Elimination Network (IPEN), dan anggota utama pergerakan Break Free from Plastic  bersama-sama dengan pertubuhan masyarakat sivil berhati-hati terhadap percubaan untuk melemahkan perjanjian dengan tumpuan hanya kepada membersihkan sisa plastik dan bukannya mewajibkan pengurangan pengeluaran plastik.

Mandat bagi perjanjian itu menetapkan bahawa ia mestilah meliputi kitaran hayat penuh plastik iaitu daripada pengeluaran bahan mentah, namun teks draf sifar tidak membuat rujukan yang jelas kepada keperluan untuk menyekat pengeluaran bahan api fosil yang digunakan untuk membuat plastik iaitu satu-satunya cara untuk menangani masalah daripada puncanya.

Satu lagi aspek yang bermasalah dalam teks draf sifar ialah rujukan kepada “plastik alternatif,” seperti plastik berasaskan bio, boleh terbiodegradasi, boleh dikompos, menggambarkan bahawa ini adalah plastik “baik” atau “lebih baik” yang perlu ditingkatkan. Plastik jenis ini juga mempunyai masalahnya sendiri. Perjanjian itu sepatutnya menetapkan pengurangan semua jenis plastik sekali guna, bukan mewujudkan jalan keluar yang hanya menggantikan satu jenis bahan sekali guna dengan yang lain.

Sebahagian daripada draf sifar cenderung kepada kitar semula sebagai penyelesaian, yang tidak sesuai kerana ini mengabaikan kesan buruk utama yang berkaitan dengan kitar semula, termasuk pendedahan pekerja kepada bahan kimia toksik, pelepasan mikroplastik semasa proses kitar semula, dan penyebaran bahan kimia toksik yang lebih meluas. melalui produk yang diperbuat daripada plastik kitar semula. Kaian CAP yang dijalankan dengan IPEN terhadap pelet plastik kitar semula di Malaysia mendapati bahan kimia toksik dalam pelet ini. Pelet ini tidak boleh digunakan untuk membuat produk baharu kerana ketoksikan akan dibawa kepada produk kitar semula yang baharu.

Kami menggesa agar Perjanjian Plastik memilih sistem guna semula. Satu penyelesaian utama bagi krisis plastik yang tidak diberikan perhatian ialah guna semula. Guna semula tidak dimasukkan dalam bahagian Tanggungjawab Lanjutan Pengeluar (EPR) walaupun guna semula merupakan strategi kritikal EPR yang perlu diberikan keistimewaan melebihi kitar semula (seperti dalam hierarki sisa). Di samping mengurangkan keperluan bagi lebih banyak pengeluaran sumber, guna semula menghasilkan banyak manfaat ekonomi, termasuk mewujudkan 200 kali lebih banyak pekerjaan berbanding pelupusan sisa. Guna semula telah berakar umbi dalam amalan tradisional kita dan perlu dihidupkan semula dan menjadi satu kebiasaan.

Satu bahagian mengenai Peralihan yang Adil disebut dalam draf sifar. Peralihan yang Adil dalam Perjanjian Plastik mestilah menggalakkan perubahan sistemik yang menjunjung hak asasi manusia dan membenarkan komuniti sepanjang kitaran hayat plastik untuk hidup dan bekerja dengan bermaruah. Peralihan yang adil mestilah benar-benar inklusif, daripada membuat keputusan kepada pelaksanaan, dan membenarkan komuniti yang terjejas untuk menentukan visi mereka sendiri bagi dunia bebas plastik.

GAIA memantau peningkatan promosi yang dipengaruhi industri untuk membakar sisa dalam tanur simen dan insinerator lain, kredit plastik dan “kitar semula kimia” dalam konteks perjanjian, yang semuanya mengancam untuk menjejaskan matlamat perjanjian untuk menghapuskan pencemaran plastik.

Berjuta-juta tan sisa plastik gred rendah, kotor dan bercampur dilambak di negara-negara di Selatan Global termasuk Malaysia setiap tahun. Perjanjian Plastik mesti menamatkan penjajahan sisa ini dan menjadi pelengkap kepada langkah-langkah sedia ada di bawah Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusan yang bertujuan untuk mengawal selia perdagangan sisa plastik.

Selanjutnya, langkah dan penyelarasan perdagangan diperlukan untuk menjamin bahawa peruntukan Perjanjian, termasuk larangan ke atas jenis produk plastik, bahan kimia dan bahan tambahan tertentu, boleh dikuatkuasakan dengan betul. Pemantauan import dan eksport bentuk utama plastik dan bentuk plastik pertengahan juga adalah penting.

Gesaan kepada kerajaan-kerajaan untuk memastikan bahawa instrumen Perjanjian Plastik yang baharu ini termasuklah:

>  Sasaran mandatori untuk menghadkan dan mengurangkan secara mendadak pengeluaran plastik baharu, sepadan dengan skala dan graviti krisis pencemaran plastik dan sejajar dengan sempadan planet. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, penyingkiran plastik sekali guna, dan produk dan aplikasi plastik lain yang tidak penting, tidak perlu atau bermasalah, termasuk mikroplastik yang ditambah dengan sengaja. Sistem ini perlu disokong oleh langkah-langkah untuk menghalang negara yang bukan pihak dalam perjanjian daripada menjejaskan perjanjian ini.

>  Mengharamkan bahan kimia toksik dalam semua plastik baharu dan kitar semula berdasarkan kumpulan bahan kimia, termasuk bahan tambahan (contohnya, kalis api berbrominasi, ftalat, bisfenol) serta polimer yang toksik (contohnya, PVC).

>  Sasaran yang mengikat secara sah, terikat dengan masa dan penuh dengan harapan yang tinggi untuk melaksanakan dan meningkatkan guna semula dan isi semula untuk mempercepatkan peralihan daripada plastik sekali guna. Sejajar dengan itu, perjanjian itu mesti menolak penyelesaian palsu, pengganti yang dikesali, dan pembaikan teknologi yang mencemarkan dan tidak berkesan seperti “kitar semula kimia”, pembakaran, pembakaran sisa kepada tenaga, pemprosesan bersama RDF yang kaya plastik dalam tanur simen, perdagangan sisa antarabangsa, kredit plastik, dan skim lain yang mengekalkan perniagaan seperti biasa dan menyokong pengeluaran plastik dan pencemaran yang berterusan sehingga menjejaskan iklim, kesihatan manusia dan alam sekitar.

>  Peralihan yang adil kepada mata pencarian yang lebih selamat dan mampan bagi pekerja dan komuniti merentasi rantaian bekalan plastik, termasuk mereka dalam sektor sisa tidak formal; dan menangani keperluan komuniti barisan hadapan yang terjejas oleh pengeluaran plastik, penunuan dan pembakaran terbuka. Pendekatan ini perlu menghormati hak asasi manusia dan hak Orang Asal, dan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada pengetahuan tradisional dan kepakaran Orang Asli di tanah yang terjejas, serta komuniti tempatan, pemungut sisa dan kitar semula sektor formal ke arah menyelesaikan krisis.

>  Peruntukan yang mempertanggungjawabkan syarikat pencemar dan negara pengeluar plastik atas kemudaratan yang mendalam terhadap hak asasi manusia, kesihatan manusia, ekosistem dan ekonomi yang timbul daripada pengeluaran, penggunaan dan pelupusan plastik.

>  Peruntukan juga perlu menyediakan penyelesaian berasaskan sains, termasuk Pengajaran Tradisional dan Pengetahuan Orang Asal.

>  Perjanjian itu juga perlu menetapkan keperluan yang boleh diakses secara umum, diselaraskan, mengikat secara sah bagi ketelusan bahan kimia dalam bahan dan produk plastik sepanjang keseluruhan kitaran hayatnya.

>  Pihak yang mencemar hendaklah dijauhkan daripada proses perjanjian. INC perlu menghasilkan perjanjian yang mengehadkan pengaruh entiti dengan konflik kepentingan (seperti pengeluar plastik) dalam kerja berterusan Persidangan Pihak (COP) perjanjian yang akan diwujudkan.

CAP telah memberikan input kepada Jawatankuasa Rundingan Kebangsaan Malaysia  mengenai draf sifar ini dan kami berharap kebimbangan dan cadangan oleh pertubuhan masyarakat sivil akan dipertimbangkan dengan serius semasa rundingan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang

Kenyataan Media, 8 November 2023