Salam sejahtera dan selamat datang ke majlis Minggu Tindakan Hijau (Green Action Week GAW) 2023 anjuran CAP. Tema GAW tahun ini ialah “komuniti berkongsi” yang bertujuan untuk mempromosikan cara yang mampan, usaha sama, saksama dan kreatif dalam kalangan komuniti di seluruh dunia. CAP memberikan tumpuan kepada perkongsian benih pada tahun ini di mana kami telah menganjurkan beberapa acara untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sistem benih komuniti dan petani yang mengabadikan penyimpanan dan perkongsian benih.
Pertanian berskala besar secara perindustrian dan kuasa di sebalik pengkomersialan benih di Malaysia telah menghakis kepelbagaian benih, agrobiodiversiti, dan sistem benih petani. Selain kehilangan varieti dan benih tumbuhan asli kerana benih dianggap sebagai komoditi, kita juga kehilangan banyak pengetahuan dan budaya makanan tradisional kita.
Adakah anda semua tahu bahawa kira-kira 90% penanam sayur di Malaysia bergantung kepada benih import? Fortune Business Insights melaporkan bahawa saiz pasaran benih komersial global bernilai USD40.70 bilion pada 2017 diunjurkan mencecah USD61.32 bilion menjelang akhir 2025. Pasaran benih global ini dikuasai oleh sepuluh syarikat gergasi yang sebahagiannya merupakan pemain besar dalam pasaran agrokimia. Tidak hairanlah bahawa selalunya apabila petani membeli benih, ia digabungkan dengan bahan kimia pertanian.
Kita perlu mengawal semula benih kita. Oleh itu, matlamat kempen CAP adalah untuk mengarusperdanakan sistem benih petani dan rizab benih komuniti. Kami melakukannya dengan meningkatkan kesedaran mengenai varieti tumbuhan tempatan dan asli melalui pesta perkongsian benih seperti hari ini. Kami juga mempromosikan penyimpanan dan perkongsian benih dalam kalangan petani dan pekebun. Sehubungan itu, agak banyak rizab benih komuniti telah diwujudkan dan penjaga benih termasuk CAP telah didokumentasikan oleh Inisiatif Rizab Benih Komuniti.
Sebelum majlis ini, CAP telah menganjurkan webinar awam pada 12 September untuk mendedahkan kesan kejuruteraan genetik dan pengkomersialan benih. Ramai peserta termasuk orang ramai tidak mengetahui bahawa sejak 2010 sehingga kini Malaysia telah meluluskan permohonan 57 pengimportan organisma yang diubahsuai secara genetik seperti jagung, kacang soya, kentang, alfalfa, bit gula, kapas, kanola dan biji minyak sesawi untuk tujuan makanan, makanan haiwan dan pemprosesan.
CAP bersama dengan pertubuhan lain dan pergerakan petani juga telah berkempen agar kerajaan Malaysia tidak menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan (biasanya dikenali sebagai UPOV91). UPOV91 akan mengenakan beberapa sekatan terhadap penggunaan benih yang disimpan di ladang, bahan penyebaran varieti yang dilindungi PVP, dan pertukaran serta penjualan benih oleh petani.
Tanpa kepelbagaian benih tradisional kita, petani dan pekebun kita akan kehilangan daya tahan dalam menangani cabaran seperti perubahan iklim, serangan penyakit tanaman dan perosak. Kita semua mesti bangkit dan mempertahankan hak individu dan kolektif kita terhadap benih. Kita perlu menerapkan kepentingan kedaulatan benih kepada anak-anak kita, iaitu generasi akan datang.
Sehubungan itu, CAP telah mengadakan pertandingan seni dan membuat kolaj dengan tema “Benih Adalah Warisan Kita”. Kami menerima penyertaan sekolah di kelima-lima daerah di Pulau Pinang. Bagi pertandingan seni dalam kalangan murid sekolah rendah, dari Darjah 4 hingga 6, kami telah menerima lukisan dari 95 murid dari 18 sekolah. Pertandingan membuat kolaj benih telah dijalankan pada 23 September, yang disertai 60 pelajar yang telah dibahagikan kepada 20 kumpulan daripada keseluruhan 17 sekolah menengah di Pulau Pinang.
Pertandingan ini adalah aktiviti yang menyeronokkan untuk menyampaikan pengetahuan mengenai benih kepada kanak-kanak di samping menonjolkan bakat seni mereka. Karya seni itu amat menarik dan kami kagum dengan pemikiran mendalam, kreativiti dan pemahaman para peserta mengenai benih tanaman. CAP mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan semua sekolah, pelajar, guru dan sukarelawan yang terlibat. Kami juga amat menghargai pengadil pertandingan yang menawarkan diri untuk memikul tugas sukar ini untuk menentukan pemenang daripada semua karya seni yang luar biasa itu.
Sila pastikan anda melawat galeri di mana kami telah meletakkan karya seni ini apabila anda melawat gerai di pesta benih CAP. Hari ini anda juga akan mempelajari lebih lanjut daripada barisan penceramah kami yang akan berkongsi pengetahuan mengenai benih warisan, kaedah pengumpulan dan menyimpan benih, cara percambahan dan membuat minuman berkhasiat daripada kacang. Anda juga boleh membeli sayur-sayuran, buah-buahan dan input pertanian bebas-kimia.
Paling penting tolong kongsi benih dan anak pokok yang anda bawa bersama. Kita perlu menjadikan perkongsian benih sebagai norma untuk membina daya tahan kita, meningkatkan agrobiodiversiti, dan memupuk tindakan usaha sama untuk menggalakkan keterjaminan makanan dan kedaulatan benih. Benih adalah pusat kehidupan kita, dan kita mesti memastikan ia tidak dikomersialkan untuk kepentingan segelintir orang. Simpan dan kongsi benih, warisan semula jadi kita.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang
7 Oktober 2023
Nota: Minggu Tindakan Hijau (Green Action Week) ialah kempen tindakan bersama untuk mempromosikan penggunaan mampan di peringkat komuniti, negara, serantau dan antarabangsa. Persatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Sweden (Swedish Society for Nature Conservation – SSNC) memulakan kempen Green Action Week Sweden pada 1990 dan kempen antarabangsa pada tahun 2010 untuk menyebarkan aktiviti yang dijalankan oleh organisasi di seluruh dunia yang menyumbang kepada mewujudkan dunia yang lebih sejahtera untuk semua. SSNC menjalankan kempen ini dengan kerjasama Consumers International (CI), di mana CAP adalah ahlinya.