Ucapan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Encik S. M. Mohamed Idris pada Pelancaran Buku CAP “Bergerak Ke Arah Sisa Sifar: Tindakan Komuniti di Pulau Pinang”

Terlebih dahulu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud, di atas kerjasama untuk melancarkan bersama-sama kami buku CAP bertajuk “Bergerak Ke Arah Sisa Sifar: Tindakan Komuniti di Pulau Pinang”.

Buku ini menonjolkan penyelesaian berasaskan komuniti terhadap masalah sisa. Banyak amalan dan juara sisa sifar yang dipaparkan dalam buku ini adalah inisiatif yang dilakukan di Seberang Perai sejak beberapa tahun lalu. Kami merasa amat gembira kerana sekolah, pertubuhan berasaskan komuniti, persatuan penduduk dan individu yang dimuatkan dalam buku ini dapat turut serta dalam majlis hari ini.

Laluan ke arah sisa sifar adalah lebih daripada mengalihkan sisa daripada tapak pelupusan  atau insinerator. Misi kami adalah untuk mencegah sisa daripada dijana dengan mengubah budaya penggunaan.

Pengguna sering inginkan sesuatu, bukan hanya apa yang diperlukan tetapi juga apa yang dimahukan atau diinginkan. Ini ditambah lagi oleh dorongan pengeluar dan pengiklan yang ingin mendapatkan keuntungan daripada tingkah laku pengguna. Tabiat penggunaan semasa, pengeluaran, pengangkutan, pembungkusan menambahkan lagi krisis alam sekitar global.

Pengguna kini terpisah daripada mana produk itu datang, bahan mentah yang diperlukan, proses yang terlibat, sisa yang dihasilkan. Kita sedang memusnahkan planet ini, sama ada kita sedar atau tidak.

Bagaimanapun, amat menggembirakan untuk mengetahui bahawa ramai individu, pertubuhan dan perbandaran telah mengambil langkah untuk bertindak ke arah sisa sifar. Kita memerlukan kesedaran pengguna dan pada masa yang sama menuntut pengeluar dan penjual menjadi lebih peka, beretika dan berubah ke arah yang lebih baik. Jika kita meneruskan amalan seperti biasa, kita akan bergerak menghampiri keruntuhan tamadun.

Tindakan kecil yang anda lakukan dengan pengomposan sisa organik, mengurangkan penggunaan, mengelakkan plastik, menanam tanaman makanan anda sendiri, menghidupkan semula amalan tradisional, menjimat air, mengurangkan tenaga dan menggalakkan orang lain melakukan perkara yang sama, adalah langkah ke arah masa depan yang lebih baik.

Kita adalah sebahagian daripada komuniti global yang sedang mencari jalan bagi penyelesaian masalah sisa. CAP ingin mengucapkan terima kasih kepada Global Alliance for Incinerator Alternatives yang CAP anggotai dan bekerjasama rapat semenjak ia ditubuhkan pada 2000 kerana menyokong kami dalam projek ini.

Daripada tindakan bersepadu yang kita ambil ini, kita boleh mencetuskan kesan gelombang terhadap seluruh sistem. Di Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan dan Negeri adalah proaktif dari dahulu lagi dengan tindakan menghentikan pemberian percuma beg plastik di sesetengah outlet, mengharamkan bekas makanan polistirena, dan menguatkuasakan  pemisahan sisa pepejal di punca.

Kini, kita perlu bergerak ke arah lebih banyak tindakan seperti mengenakan pengharaman sepenuhnya ke atas barangan plastik sekali guna termasuklah straw minuman, perkakas guna buang, pisau, sudu, garpu, beg membeli-belah, botol air plastik, mikroplastik.  Ia tidak mustahil memandangkan banyak majlis perbandaran lain, negeri dan negara telah mengumumkan pengharaman ini dan telah mula untuk fasa keluar barangan-barangan ini.

MPSP, MBPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya sekali lagi mengambil langkah ke hadapan dengan memimpin ke arah mengurangkan pencemaran plastik dan penjanaan sisa pada keseluruhannya. Pengomposan sisa organik dan pengurangan sisa makanan juga mestilah diutamakan dan dipertingkatkan lagi.

CAP dan saya pasti penduduk Pulau Pinang akan terus memberikan sokongan mereka memandangkan ianya akan memastikan kualiti kehidupan dan alam sekitar yang lebih baik kepada semua.

 

3 April 2018